Menu

 

A+ A A-

PERNIAGAAN KELAB MALAM

Soalan: Saya mempunyai seorang kawan yang ingin membuka perniagaan kelab malam. Walaupun dinasihati, beliau bertegas untuk meneruskan dengan alasan ia adalah perniagaan yang halal tanpa ada unsur penipuan, memakan harta orang lain secara tidak sah, mencuri dan merampas hak orang lain? Apakah pandangan ustaz di dalam hal ini.

Jawapan:

Saya ingin mengucapkan tahniah atas kesudian saudara menasihati sahabat saudara. Ini menunjukkan bahawa saudara menyayangi beliau dan tidak mahu beliau terjerumus dalam perkara-perkara tidak patuh syariah.

Sikap saudara ini bertepatan dengan sabda Rasulullah yang menyatakan bahawa tidak beriman seseorang Muslim itu sehinggalah beliau menyayangi saudara Muslimnya yang lain sebagaimana beliau menyayangi dirinya sendiri. Namun perlu juga diingat bahawa teguran tersebut perlulah dilakukan secara berhikmah dan bijaksana.

Saya juga amat bersimpati atas kefahaman agama sahabat saudara yang agak dangkal. Saya menyarankan agar beliau terus belajar, bertanya dan menambah ilmunya, khususnya berkaitan dengan hukum-hakam agama.

Berbalik kepada soalan saudara, keterlibatan sebagai pemilik atau pemegang saham dalam perniagaan kelab malam yang dalamnya ada berbagai-bagai aktiviti tidak patuh syariah adalah haram. Aktiviti tidak patuh syariah ini termasuklah penyajian minuman keras, menggalakkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, menggalakkan pendedahan aurat dan lain-lain lagi. Pengharaman ini adalah berasaskan kepada larangan Allah dan Rasul-Nya untuk kita tidak bertolong-tolongan dalam perkara maksiat dan mungkar.

Sebagaimana yang saya terangkan dalam majalah al-Ustaz keluaran terdahulu (sila rujuk majalah al-Ustaz isu 10), sumber rezeki yang haram itu bukan hanya melibatkan aktiviti yang bersifat ta‘addi (pencerobohan) seperti berjudi, mencuri, merompak dan menipu, tetapi juga melibatkan aktiviti takassub apabila di dalamnya ada elemen tidak patuh syariah.

Rezeki haram yang diperoleh ini, jika menjadi darah daging, maka dikhuatiri sebagaimana amaran Rasulullah bahawa nerakalah yang lebih berhak atasnya, wal’iyazubillah.

Kepada sahabat saudara tersebut, saya mendoakan agar beliau diberi hidayah dan sesungguhnya masih belum terlambat untuk beliau menukar perniagaan yang lain. Jika ada kemahuan, insya-Allah akan diberi jalan oleh Allah dan dimurahkan rezeki yang halal untuk beliau.

Wallahu a‘lam.

Prof. Dr. Ashraf Md Hashim
Sumber artikel dripada majalah al-Ustaz isu No.13


Prof Dr Ashraf Md Hashim

Sarjana Muda Syariah,Universiti Islam Madinah, Sarjana Fiqh dan Usul al-Fiqh, Universiti Jordan dan Doktor Falsafah, Universiti Birmingham, United Kingdom. Memegang banyak jawatan penting antaranya anggota Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia (MPS BNM), ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dan Profesor (Syariah) di Pusat Pendidikan Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (INCEIF). Pengarah Urusan, ISRA Consultancy dan juga Timbalan Presiden, Persatuan Penasihat Shariah Kewangan Islam Malaysia.

Kembali ke atas