Menu

 

A+ A A-

RESIPI MENJADI KETUA

SOALAN: Dalam mesyuarat tahunan organisasi baru-baru ini, saya telah dilantik sebagai salah seorang ahli jawatankuasa tertinggi. Saya tak menyangka juga yang saya dilantik, sebab saya baru sahaja menyertai organisasi ini. Sekarang saya rasa terbeban dengan jawatan ini. Saya ingin minta pandangan Prof., bagaimana caranya saya boleh atasi masalah ini dan menjadi pemimpin yang baik?

JAWAPAN

Soalan ini sangat relevan. Sebelum saya jawab soalan ini, saya nak terangkan satu situasi yang biasa saya lihat di fan page Facebook saya. Saya perhatikan, terlalu ramai orang yang mengadu masalah dan mengeluh. Orang yang bermasalah sebenarnya orang yang menghadapi masalah dalam mindanya. Minda manusia hanya boleh dikawal oleh dirinya sendiri, bukan orang lain.

Bila kita dilahirkan, memang emak yang menjaga kita. Akan tetapi pengalaman yang dialami oleh roh kita ialah kita. Sebagai contoh, kita makan durian. Kelazatan durian yang kita rasai tidak boleh sama dengan kelazatan yang dirasakan orang lain. Kita tidak tahu apa yang mereka rasa. Jadi dalam hidup kita ini, merasa ada masalah itu ditentukan oleh diri kita sendiri.

Maka bila sebut tentang pemimpin, orang selalu menganggap pemimpin itu ketua jabatan, pengarah syarikat, Perdana Menteri dan ahli politik. Sebenarnya, pemimpin adalah seseorang yang mempunyai agenda atau sesuatu matlamat dalam tindakannya. Dan dalam kehidupan ini, kita sebenarnya pemimpin kehidupan sendiri.

Saya nak bincangkan tentang kepemimpinan dari segi hamba Allah. Kita dijadikan di dunia ini kerana tiga perkara. Menjadi hamba Allah, menjadi khalifah dan mengimarahkan segala aktiviti mengikut hukum Allah. Oleh itu untuk menjadi hamba, kita mesti ada sifat ubudiyah (kehambaan).

Imam Suhaib Webb dalam rancangan Reflection di TV Al-Hijrah ada menyebut bahawa perkara yang paling tinggi dalam kehidupan ini adalah ubudiyah. Katanya, kita mesti dapatkan tiga perkara sebelum mendapat ubudiyah. Yang pertama ialah ilmu. Yang kedua tasawuf iaitu pembersihan hati dan ketiga dakwah ataupun ibadah.

Perhatikan orang yang tidak terpimpin dan mempunyai bermacam-macam masalah itu, adakah mereka mempunyai ilmu? Ramai orang yang hanya mahu jalan pintas dan tidak mahu berfikir. Ramai orang tidak mahu refleksi diri dan cari punca masalah. Pada saya punca masalah sebenarnya kita sendiri. Jadi kita amat perlu kepada ilmu.

Banyak rancangan tasawuf di televisyen seperti Tasawuf Harian oleh Dr. Zulkifli al-Bakri. Tetapi berapa orang daripada kita yang mengikutinya? Kita sibuk cari berita sensasi, tetapi tidak mencari ilmu. Perhatikan orang yang sibuk menyebut isu sensasi dan kontroversi. Mereka tidak menyebut langsung: “Apa saya boleh beri?” atau“Apa perubahan yang saya boleh buat?”

Contoh lain, ramai pelajar sibuk berkempen untuk jadi presiden persatuan. Jadi pemimpin itu suatu kebanggaan? Itu adalah kesedaran keegoan. Sangat bahaya sekiranya pemimpin ada kesedaran keegoan. Kerana pemimpin yang tiada ilmu dan jiwanya masih keruh, pimpinannya tidak akan berjaya.

Seterusnya perkara ketiga adalah dakwah. Ada pemimpin yang tidak boleh berdakwah, alasannya tidak tahu. Puncanya kembali kepada kekurangan ilmu dan keinginan untuk mencari. Pemimpin yang tidak dipandu oleh ilmu dalam setiap tindakannya akan mendatangkan bahaya kepada mereka yang dipimpin. Sebab apabila kuasa berada di tangan orang yang tidak beriman, mana-mana organisasi pun akan musnah.

Persatuan atau Pelajaran?

Kita ambil contoh di universiti. Masa saya masuk universiti orang tanya dua perkara, sama ada nak terkenal dalam persatuan atau dalam pelajaran. Saya buat keputusan untuk menjadi terkenal dalam pelajaran. Ketika itu saya hanya ingin menjadi yang terbaik. Saya fikir, bila kita belajar, dapat ilmu banyak, dan boleh dapat skor yang bagus. Lagi banyak ilmu kita ada, lagi banyak manfaat kita boleh beri.

Sebutlah tentang pemimpin atau apa-apa sahaja, tiga elemen pertama iaitu ubudiyah, ilmu tasawuf dan dakwah mesti sentiasa diaplikasikan. Sebelum kita memperbaiki orang, tolonglah perbaiki diri sendiri. Caranya, kita pimpin diri kita dari segi fizikal dan mental. Kita pastikan fizikal kita sentiasa sihat dan kuat. Dari segi mental pula, mencari ilmu dan menggunakan minda untuk kebaikan. Penjagaan aspek kerohanian juga dijadikan keutamaan iaitu dengan menjaga perhubungan dengan Allah.

Pertanggungjawaban

Saya sebut dalam fan page, sesiapa yang tidak mantap hubungannya dengan Allah, janganlah mengimpikan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Elemen keempat, jaga perhubungan dan pergaulan kita sesama manusia. Elemen kelima pula dari segi kewangan. Pastikan kita lebih banyak memberi daripada menerima.

Tidak kira apa jua jawatan atau posisi kita, berikan ilmu untuk manfaat semua. Kita akan disoal tentang orang di bawah pimpinan kita. Bagaimana kebajikan pimpinan kita? Bagaimana solat mereka? Salah satu tanggungjawab utama kita sebagai pemimpin yang bertanggungjawab mesti memastikan para pekerja sentiasa bersolat.

Pemimpin mempunyai tanggungjawab yang besar. Oleh itu, janganlah terlalu mengimpikan untuk menjadi pemimpin. Biarlah orang yang memilih kita atas kelayakan dan kepercayaan orang kepada kita. Saya pernah dengar orang berkata, jika kita sibuk melobi diri untuk jadi pemimpin, tentu kita ada agenda tersendiri. Ingatlah bahawa pemimpin mudah masuk ke neraka, kerana dia akan dipersoalkan atas semua perbuatan orang yang dipimpinnya.

Wallahu a‘lam.

resepi-menjadi-ketua-2

resepi-menjadi-ketua-3

PROF. DR. MUHAYA HJ. MOHAMAD

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.18


Prof. Dr. Muhaya Hj. Mohamad

Pakar Mata dan personaliti dakwah tanah air ini memegang PhD dalam bidang Ocular Immunology, University of London, 1998. Antara jawatan sekarang ialah Profesor Oftalmologi, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Profesor Adjung Oftalmologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Menerima anugerah Tokoh Ilmuwan Selangor 2010.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Artikel berkaitan: « ETIKA DALAM MAJLIS
Kembali ke atas