Menu

 

A+ A A-

7P RESIPI KEBAHAGIAAN SUAMI ISTERI

SAYA peminat Prof. Muhaya dan selalu mengikuti ceramah Prof. di radio. Bila saya mendengar banyak masalah rumah tangga yang berlaku, saya jadi takut untuk berkahwin. Kini saya telah bertunang dan insya-Allah hujung tahun ini akan melangsungkan perkahwinan. Saya ingin menjadi isteri yang baik dan melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah. Setakat ini, saya mengenali bakal suami sebagai seorang yang setia dan bertanggungjawab. Namun saya bimbang tentang sikapnya setelah berkahwin. Apakah caranya untuk mengelak masalah rumah tangga dan mengecap kebahagiaan? Harap dapat pencerahan daripada Prof.

Setiap pasangan ingin mengecap kebahagiaan dalam alam rumah tangga. Namun adat resam dalam berumah tangga, akan berlakunya masalah sama ada ia besar ataupun kecil. Setiap masalah datangnya daripada individu. Individu itu pula datangnya daripada sebuah keluarga. Terbinanya sebuah keluarga itu hasil daripada perkongsian hidup seorang ibu dan ayah. Untuk menjadi ibu bapa, kita pasti melalui proses sebagai suami isteri dahulu.

Justeru, apabila pasangan suami isteri bermasalah menjadi ibu dan ayah, maka akan bermasalahlah zuriatnya. Anak-anaknya hasil didikan ibu bapa. Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kami daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati dan jadikanlah kami ikutan bagi orang yang bertakwa.” (Surah al-Furqan: 74)

resipi-kebahagiaan-suamiIsteri-1

Untuk Bahagia, Berikan Bahagia

Untuk mendapat kebahagiaan, kita perlu membahagiakan orang lain terlebih dahulu. Begitu juga untuk disayangi, maka kita perlulah menyayangi orang lain terlebih dahulu. Pengalaman hidup sebelum mendirikan rumah tangga telah mempertemukan kita dengan pelbagai ragam manusia. Maka lihatlah kawan di sekiling kita. Jika mereka mempunyai sikap yang negatif, bertanyalah pada diri sendiri: “Mengapa Allah meletakkan diri kita di tempat seperti ini? Apa hikmah di sebaliknya?”

Ada beberapa pengajaran yang boleh diambil melalui gaya hidup yang kita lalui. Boleh jadi jika kita dikelilingi oleh orang yang bersifat negatif, itu tandanya kita juga memiliki sifat negatif. Namun secara positifnya kita harus berfikir bahawa boleh jadi Allah amanahkan kita untuk menjadi agen pengubah orang lain. Boleh jadi juga supaya kita dapat menginsafi dan perbaiki kelemahan diri sendiri. Oleh kerana itu, Allah takdirkan kita berada di tempat seperti itu.

resipi-kebahagiaan-suamiIsteri-2

Kehidupan Sebenar

Sebenarnya manusia yang kurang sopan akhlaknya punya harga diri, namun keyakinan dirinya yang sangat rendah. Begitu juga dengan orang yang punya imej diri dan akhlak yang sangat negatif menyebabkan aura negatif tersebut akan menarik perkara-perkara negatif kepadanya. Oleh sebab itu, kita perlu tahu erti kehidupan yang sebenar. Erti kehidupan bukan perkara yang berlaku ke atas diri kita tetapi makna daripada apa yang berlaku dalam kehidupan kita.

Ketahuilah bahawa dunia kita adalah dalam minda. Oleh sebab itu, apabila kita sentiasa berpandangan baik terhadap orang lain, maka dengan sendirinya kita akan menjadi seorang yang positif. Maka akan lahirlah generasi khalifah yang beriman dan bertakwa kepada Allah sekali gus memakmurkan dunia ini mengikut kehendak-Nya.

Tujuh P

Di sini saya ingin berkongsi tip-tip untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat:

1. Puji: Setiap pasangan perlu saling memuji dan menghargai antara satu sama lain terutamanya dalam semua aspek kehidupan seperti bantu-membantu dalam menguruskan rumah tangga.

2. Peluk: Pasangan suami isteri hendaklah menzahirkan kecintaan melalui pelukan yang mesra sekerap mungkin kerana pelukan menghasilkan kasih sayang yang berterusan.

3. Penghargaan: Sentiasa menghargai pasangan dengan ucapan sayang dan cinta, senyuman dan juga pemberian hadiah.

4. Perhatian: Sentiasa memberi perhatian yang khusus terhadap pasangan agar pasangan tidak merasa dirinya terpinggir dan diabaikan.

5. Persefahaman: Mewujudkan suasana yang ceria melalui sikap toleransi terhadap pasangan.

6. Pergaulan: Menjaga batas-batas pergaulan dengan orang lain bagi mengelakkan daripada berlakunya salah faham, menimbulkan perasaan cemburu seterusnya membawa kepada keretakan rumahtangga.

7. Permohonan: Sentiasa memohon rahmat dan keampunan kepada Allah supaya hubungan yang terjalin kekal terpelihara sehingga ke akhir hayat.

Apabila kita mendekatkan diri dengan Allah dan niat perkahwinan yang dibina untuk mencari keredaan Allah, insya-Allah kita akan beroleh kebahagiaan di dunia dan akhirat serta dikurniakan ketabahan dalam mengharungi cabaran hidup.

resipi-kebahagiaan-suamiIsteri-3

Prof. Dr. Muhaya Hj. Mohamad

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Prof. Dr. Muhaya Hj. Mohamad

Pakar Mata dan personaliti dakwah tanah air ini memegang PhD dalam bidang Ocular Immunology, University of London, 1998. Antara jawatan sekarang ialah Profesor Oftalmologi, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Profesor Adjung Oftalmologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Menerima anugerah Tokoh Ilmuwan Selangor 2010.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas