Menu

 

A+ A A-

KASIH SAYANG MENCAIRKAN SEGALANYA

Soalan: Saya mempunyai seorang adik lelaki yang bermasalah. Kami sekeluarga bersepakat ingin menghantarnya ke pusat pemulihan sebelum terlambat tetapi ayah tidak bersetuju. Walaupun adik banyak berbuat dosa dan kesalahan, ayah tetap berlembut dengannya. Apa pendapat Prof?

Jawapan:

Saya menyokong tindakan ayah saudari. Menghantar ke pusat pemulihan itu seharusnya menjadi keputusan terakhir yang diambil kerana tidak ada badan yang boleh membetulkan seseorang kecuali ibu bapa. Apabila situasi dalam rumah penuh dengan kebahagiaan dan kesyukuran, insya-Allah tidak akan ada lagi masalah. Jika ibu bapa rajin melakukan solat malam, ibu menutup aurat, tetapi masih ada juga masalah, maka itu adalah ujian.

Ustaz Pahrol pernah berkata: “Hidup ini adalah ujian dan balasannya adalah akhirat. Jangan sebut masalah, tapi katakan itu adalah ujian. Selepas setiap ujian kita akan naik gred.”

Begitulah apabila ditimpa musibah. Katakanlah itu sebuah ujian. Kita mesti ingat kuasa doa itu tiada lawan. Jika ibu berdoa, tiada sesiapa yang dapat menghijabnya.

Cuma kadangkala sesuatu proses itu mengambil masa. Kalau dosa banyak itu tidak mengapa, kita sentiasa bersangka baik kerana Allah itu Maha Pemurah dan Maha Pengampun. Orang yang membunuh beribu orang pun Allah ampunkan dosanya.

Jangan pandang adik itu dengan pandangan negatif. Pandanglah ia dengan kasih sayang kerana kasih sayang dapat mencairkan segala-galanya. Kalau kita selalu membayangkan adik ini teruk, maka tenaga negatif akan pergi kepada adik kita.

Sopan Itu Hipokrit?

Soalan: Apa pandangan Prof. tentang sikap segelintir masyarakat yang suka menuduh sikap sopan santun yang kita pamerkan sebagai hipokrit dan berpura-pura. Saya sempat terfikir: “Kenapa mereka yang bersifat sopan santun ini selalu dibuli?”

Jawapan:

Kalau dalam majlis formal VVIP datang, semua bersifat sopan santun. Tetapi apabila berada di luar majlis lain pula sifatnya. Itu hipokrit. Kalau boleh, bersopan santunlah kita kepada sesiapapun. Walaupun kepada tukang sapu sampah, kita mesti bersopan santun kepadanya. Sebab manusia adalah makhluk yang mulia.

Kita boleh tahu orang yang hipokrit kerana kita mempunyai getaran. Kita boleh merasai jiwa orang, sama ada emosi positif atau negatif. Jadi jangan berpura-pura, sebab orang lain boleh tahu.

Kita mesti berpegang kepada asas iaitu Islam, iman dan ihsan. Ketiga-tiga asas ini melahirkan takwa. Apabila ada takwa, insya-Allah kita senang bersyukur. Punca kita payah untuk bersyukur, sentiasa mengeluh, merungut, mengumpat, mengata orang dan sebagainya adalah kerana kurang takwa.

Kurang takwa kerana tidak berasa ihsan bahawa Allah melihat kita. Kenapa kita tidak berasa ihsan, kerana tidak beriman. Kenapa tidak beriman, kerana ibadah kita tidak lengkap.

Anak Agresif

Soalan: Saya mempunyai tiga orang puteri. Anak yang paling tua berusia 6 tahun, adiknya berusia 5 tahun dan yang bongsu berumur 1 tahun. Terkadang emosi saya sukar ditahan. Bagaimana caranya untuk mengawal kesabaran dan kemarahan apabila anak-anak bersikap agresif?

Jawapan:

Kita tidak bersopan santun dengan anak, bagaimana anak hendak bersopan santun dengan kita? Semua ibu yang marahkan anak hendaklah meminta maaf dengan anak. Kalau kemalangan, lalu anak itu meninggal, maka ia masuk syurga tetapi ibu meninggal masuk neraka.

Cuba perhatikan anak kita. Anak itu cacat atau tidak? Kena pergi rawatan atau tidak? Bersyukur tak ada anak? Bersyukur tak ada suami? Bersyukur tak ada iman? Bersyukur tak ada ekonomi? Wanita yang ada iman, suami, anak dan ekonomi, maknanya sudah memiliki syurga. Tapi banyak orang yang tidak bersyukur dengan syurga depan mata kerana mencari syurga di luar.

Siapa yang hendak bersopan santun, perbetulkan diri dulu. Cara betulkan diri, mesti banyakkan bersyukur. Sifat bersyukur tidak dapat dilakukan melainkan dengan ilmu agama.

Mencari ilmu agama tidak seperti mencari berita. Hentikan baca majalah fesyen. Hendak pakai trend terbaru? Tiada manfaat semua itu kerana Allah tidak menyoal kain kapan yang tiada fesyen pun. Lihat ilmu agama kita betul atau tidak?

Periksa hubungan kita dengan Allah dan betulkan hubungan kita dengan manusia. Jika semua itu betul, baru anak kita betul. Lepas ini sesiapa pun tidak akan berani mengatakan anak dia nakal sebab anak adalah cermin diri ibu bapa.

Wallahu a‘lam.

PROF. DR. MUHAYA HJ. MOHAMAD
Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.13


Prof. Dr. Muhaya Hj. Mohamad

Pakar Mata dan personaliti dakwah tanah air ini memegang PhD dalam bidang Ocular Immunology, University of London, 1998. Antara jawatan sekarang ialah Profesor Oftalmologi, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Profesor Adjung Oftalmologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Menerima anugerah Tokoh Ilmuwan Selangor 2010.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas