Menu

 

A+ A A-

IKTIBAR KEMISKINAN DI JAKARTA

KITA sering mendengar ramai orang yang berulang-alik ke Jakarta. Apa yang mereka lakukan? Berniaga? Melancong? Menziarahi saudara-mara? Belajar? Kembara kita bulan ini membawa anda ke Jakarta. Saya mengetuai Misi Kemanusiaan seramai tiga orang untuk mempelajari iktibar daripada bencana kemiskinan.

Kami keluar dari terminal Bandara (Bandar Udara) Sukarno-Hatta disambut oleh wakil NGO di Jakarta. Kami dibawa menaiki bas Damri ke Lobak Bulus, perjalanan yang memakan masa selama dua jam dengan tambang Rp. 15,000 seorang.

Sepanjang perjalanan kenderaan dan lalu lintas sangat sesak atau “macet” dalam loghat Indonesia. Tidak terdapat lebuh raya bertol untuk mempercepatkan perjalanan. Dari Lobak Bulus kami naik angkutan (seperti bas mini) ke Kampung Pisangan di Ciputat, perjalanan yang memakan masa selama 20 minit dengan tambang Rp. 2,000 seorang.

Turun dari angkutan, kami berjalan kaki menyelusuri lorong-lorong sempit di celah-celah kawasan perumahan yang padat. Lorongnya berdebu. Sepuluh minit kemudian kami tiba di kawasan perkampungan yang dihuni oleh 200 buah keluarga miskin dengan lebih 1,000 orang penduduk termasuk kanak-kanak.

Anda mungkin bertanya, “Setakat mana kemiskinan mereka?”

Kemiskinan tegar. Rumah mereka ialah ruang sebesar 3m X 3m di atas tanah. Malah ada yang lebih kecil. Dindingnya diperbuat daripada kotak. Dan 1,000 orang ini berhimpit di dalam kawasan tanah yang tidak sampai satu ekar.

Apakah pekerjaan mereka? Ayah atau ketua keluarga rata-rata bekerja sebagai “pemulung” atau pengutip sampah di sekitar bandar Ciputat. Memang Jakarta dikenali sebagai kota sampah. Dikatakan jika sampah harian tidak dikutip di Jakarta boleh menenggelamkan ibu kota Kuala Lumpur!

Kaum ibu tidak bekerja. Mereka suri rumah sepenuh masa. Anak-anak tidak bersekolah sebaliknya membantu ayah mereka mengutip sampah seawal usia empat tahun. Hari-hari ayah dan anak bermula seawal sebelum subuh. Mereka akan keluar menggalas sebuah karung guni usang di belakang mereka. Tangan mereka memegang sebatang besi bengkok untuk mencucuk apa sahaja yang dijumpai seperti botol, kotak, plastik, kaca, besi, tin minuman dan apa sahaja. Mereka akan pergi dari sebuah tong sampah ke sebuah tong sampah lain untuk mengutip apa sahaja yang ditemui. Kalau sisa makanan yang ditemui, itulah sarapan mereka pada hari itu.

Ada pemulung yang menggunakan kereta sorong. Kadang-kadang ada kereta sorong yang dibebani sampah hingga membumbung tinggi. Hasil kutipan harian dikira sebagai milik bersama oleh semua warga kampung. Mereka amat setia dan bekerja keras sebagai satu kumpulan. Apabila letih bekerja seharian ada yang berehat dan tidur malam di dalam kereta sorong yang dijadikan rumah dan diletakkan di tepi jalan sementara menunggu hari siang.

Apabila guni atau kereta sorong mereka penuh, mereka akan pulang ke Kampung Pisangan dan mengumpulkan kutipan mereka untuk disaring atau dipisahkan mengikut jenis sebelum dijual kepada peraih yang dipanggil “toke” yang datang membeli. Selain menjadi pemulung ada juga kaum lelaki yang bekerja sebagai buruh kasar dan penjual kaki lima.

Semuanya Bermula di Sini

Bagaimana saya menemui perkampungan pemulung ini? Semuanya bermula pada awal tahun 2006 apabila dua orang puteri saya yang menuntut di Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah (UIN), Ummu Solehah dan adiknya Ummu Sakinah bersama empat orang kawan rapat mereka; Avina, Faidah, Zuraidah & Rosidi mencari tempat untuk mengajar sebagai aktiviti kokurikulum bagi memenuhi waktu lapang selepas menghadiri jadual kuliah.

Misi mereka - mendidik dan membangunkan jiwa anak-anak daripada golongan kurang bernasib baik. Mereka bertemu dengan Yayasan Nanda Dian di daerah Pisangan, Ciputat, tidak jauh dari kampus mereka.

Yayasan Nanda Dian ialah sebuah yayasan yang menampung keluarga-keluarga miskin tegar yang bertaraf hidup rendah di daerah Ciputat. Mereka dikumpulkan dalam satu kawasan tanah yang disewa oleh yayasan.

Golongan yang paling menyedihkan ialah kanak-kanak yang tidak mengetahui apa-apa akan asal nasib ibu dan ayah mereka. Mereka belajar dalam sebuah bangunan yang dijadikan kelas. Mereka tidak mampu masuk ke sekolah biasa kerajaan kerana masalah kewangan.

Ramai anak-anak yang tercicir pendidikan asas dan hidup mengutip sampah, seperti bapa dan keturunan mereka. Tapi anak-anak ini tetap berjiwa anak-anak. Mereka dahagakan pendidikan dan pembelajaran. Mereka pantang melihat buku. Anak yang sudah boleh membaca akan membaca apa sahaja buku yang dijumpai dari kulit ke kulit.

Yayasan ini diurus oleh Ibu Handayani, yang kami panggil Ibu Yani. Beliau seorang wanita gigih beranak empat, berusia awal 40-an dan dibantu oleh dua orang pembantu perempuan sambilan, kedua-duanya adik beliau. Mereka mengajar mata pelajaran Bahasa Indonesia, Matematik, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Seni pada waktu pagi. Ketika itu tidak ada yang mengajar fardu ain dan mengaji pada waktu petang. Pada masa yang sama yayasan sering kali mengalami masalah kewangan.

miskin

Anak Masyarakat Pemulung

Lapan puluh peratus anak-anak di yayasan ini tidak bersekolah secara formal. Rata-rata kaum ibu tidak bekerja, hanya sebagai suri rumah tangga. Kebersihan dan kesihatan di perkampungan ini di tahap yang membahayakan. Anak-anak ramai yang menghidap penyakit cacing, kekurangan zat makanan dan kudis. Ramai anak-anak yang lemah, demam dan sakit. Taraf pendidikan mereka paling minimum.

Menyedari dan mempelajari latar belakang ini Ummu Solehah dan kawan-kawannya mengorak langkah. Misi pun bermula.

Cerita Ummu Solehah, “Kami menjadi sukarelawan dan guru untuk mengajar fardu ain dan mengaji kepada anak-anak pada waktu petang setelah selesai kuliah. Kami menyusun jadual waktu dan giliran mengajar. Kami juga menyediakan alat bantuan mengajar (ABM). Anak-anak yang belajar berusia dari 4 hingga 15 tahun.”

“Dengan susah payah kami kuatkan semangat dan tabahkan hati untuk mengajar anak-anak tentang asas agama Islam dan mengaji Iqra’. Kami mula melatih anak-anak membaca dan menghafaz alQuran. Anak-anak rajin belajar. Mereka menyambut kedatangan sukarelawan setiap petang dengan sorak gembira. Manjanya bukan main, sehingga memanjat kepala. Kami sentiasa membawa buah tangan untuk mereka.”

“Mendengar emak dan abuya (panggilan kepada saya) sering ke Aceh dan Kemboja dan menubuhkan rumah anak yatim di Aceh, saya terfikir untuk mengutarakan keperluan anak-anak di Ciputat ini. Kami memohon sumbangan daripada Persatuan Belia Sri al-Ain (BERSAMA) di Malaysia, NGO yang diterajui oleh mereka berdua.”

“Alhamdulillah dalam masa yang singkat kami mendapat respons yang positif. Kami menerima sumbangan untuk kos pengangkutan guru di samping sedikit duit poket, membiayai program menambah zat makanan untuk anak-anak, membeli motor pengepam air untuk seluruh kampung dan membina sebuah surau.”

miskin1

Menyediakan Makanan Berzat

Menurut Ummu Solehah, lagi program menyediakan makanan berzat ini dilaksanakan dua minggu sekali. Mereka menyediakan makanan berzat seperti susu, roti, bubur kacang hijau, buah-buahan dan ubat cacing untuk anak-anak. Program ini diselangi dengan latihan membersihkan diri seperti memberus gigi, memotong kuku, membasuh tangan menggunakan sabun, memotong rambut dan menghilangkan kutu di kepala.

Ada ketikanya apabila wang merosot, program terpaksa ditangguhkan. Dan apabila mereka datang untuk program berikutnya anakanak akan merintih, “Kakak, kakak… Kakak ngak ada, kita ngak minum susu.” (Sejak kakak tak datang, kita tak minum susu.)

Pembinaan Surau

Ummu Solehah menyambung: “Kami Berjaya mendapatkan dana sebanyak RM6,000 daripada BERSAMA untuk membina sebuah surau di dalam kawasan yayasan untuk kegunaan masyarakat setempat. Surau ini yang berukuran 5m x 8m juga dijadikan sebagai tempat pengajian fardu ain untuk kalangan kaum ibu dan bapa. Ruangnya bolehlah berjemaah kira-kira 30 orang. Lantai ditutupi dengan tikar getah. Ada sebuah whiteboard di dinding.”

Pihak BERSAMA juga mengumpul dana membeli pam air untuk menaikkan air dari perigi ke tangki untuk kegunaan sebahagian penduduk kampung. Kami juga menanggung bil elektrik untuk seluruh kampung. Apabila bil lewat dibayar, Ibu Yani akan menelefon kami. Waktu memulakan pecah tanah membina surau tempoh hari, wakil BERSAMA tidak dapat datang. Saya telah dipanggil untuk meletakkan batu asas pembinaan surau itu. “Wah! Macam wakil rakyat aje,” gurau Ummu Solehah.

Acara Sampingan

Masa terus berlalu. Anak-anak makin bertambah sihat. Ada yang sudah boleh membaca. Di samping itu Ummu Solehah dan kawan-kawannya juga meraikan acara-acara dalam kalendar Islam seperti sambutan HariRaya Aidilfitri, Hari Raya Korban, Maal Hijrah, Maulidur Rasul, Nuzul Quran, Israk Mikraj dan sebagainya.

Pada Hari Raya Aidiladha yang lalu, mereka berjaya mengumpul lima ekor kambing untuk dikorbankan di Kampung Pisangan. Hanya itulah mungkin setahun sekali anak-anak pemulung merasa daging kambing!

Mereka juga meraikan Hari Kebangsaan Indonesia iaitu perayaan 17 Ogos sempena HUT (Hari Ulang Tahun) kemerdekaan Negara Indonesia. Dari semasa ke semasa mereka mengaturkan aktiviti keluar membawa anak-anak melihat dunia luar seperti ke Taman Miniatur Indonesia Raya. Sementara itu program ke dalam pula menjemput penceramah motivasi untuk memberi semangat kepada anakanak.


Kesan Selepas Tiga Tahun

Alhamdulillah, hari ini anggota Misi Kemanusiaan kami dapat menyaksikan anak-anak telah boleh membaca al-Quran dan solat dengan baik. Tahap kesihatan mereka juga telah berubah menjadi lebih baik. Kami diberitahu ada beberapa orang anak yang telah berjaya mendapatkan biasiswa ke sekolah menengah kerajaan.

Di surau, kami dapat menyaksikan aktiviti solat berjemaah sangat baik terutama solat Maghrib, Isyak dan Subuh. Kaum ibu dan bapa mendapat penerangan mengenai ajaran agama Islam dan pendidikan anak-anak secara lebih islamik.

Hubungan antara masyarakat lebih akrab dan prihatin. Anggota misi kami beramah mesra dan menziarahi rumah-rumah warga pemulung. Di celah-celah lorong rumah yang berhimpit-himpit itu seorang ibu sedang menggoreng telur. Sebiji telur dipecahkan dan dikacau di dalam cawan. Kemudian dibahagi menjadi enam bahagian lalu didadar atau digoreng. Dan satu bahagian untuk sarapan pagi seorang anak yang kelaparan. Ha! Sebiji telur ayam yang kecil untuk enam orang anak! Itulah namanya kemiskinan di sini. Kita? Di negara kita… melahap enam biji telur mungkin untuk seorang sahaja!

miskin2

Di Manakah Penghujung Kemiskinan?

Kemiskinan bukan suratan nasib. Kemiskinan bukan salah ibu mengandung. Seperti juga kelemahan anda bukan suratan nasib. Kelemahan anda bukan salah ibu mengandung. Kemiskinan dan kelemahan adalah asam garam hidup. Nasib kita, kita sendiri yang menentukannya. Buktinya dalam kalangan orang susah boleh muncul orang berjaya. Dalam kalangan orang lemah boleh muncul orang yang cemerlang.

Hidup ini ialah perjalanan yang panjang kerana Allah s.w.t. memberi kita ruang dan peluang yang cukup untuk kita berubah. Janganlah alam persekitaran membelenggu kita dengan nasib malang. Jadilah ikan di lautan yang tidak masin dagingnya oleh air laut yang masin.

Jadilah burung yang kuat. Burung yang kuat walau jasadnya terpenjara di dalam sangkar, mampu terbang ke langit membawa sangkar tersebut. Tetapi burung yang lemah akan terpenjara di dalam sangkar hingga maut tiba. Tamatkan kemiskinan dan kelemahan anda hari ini untuk menuju kekayaan dan kejayaan! ¤

 

 

Haji Muhammad Zakaria

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.5

 


 

 

Haji Muhammad Zakaria

Lulusan University of Tasmania dan University of Newcastle, Australia, berpengalaman sebagai pendidik, pensyarah, CEO kolej swasta, master trainer, kolumnis, penulis, editor dan usahawan. Beliau kini menjawat sebagai Pengerusi Yayasan Antarabangsa Sri al-Ain-Aceh, Presiden Persatuan Belia Sri al-Ain (BERSAMA), Timbalan Presiden Persatuan Usahawan dan Pengurusan Islam Malaysia (URUS) dan Mudir Tahfiz Sri al-Ain. Sering muncul di kaca tv sebagai perunding motivasi, antaranya TV3, RTM1 dan juga Radio Ikim.fm. Beliau juga sering ke luar negara mengetuai misi kemanusiaan, antaranya ke Aceh, Jakarta, Kemboja dan juga masyarakat orang asli.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Related items

Kembali ke atas