Menu

 

A+ A A-

ALLAH SUDAH TAKDIRKAN, KENAPA PERLU BERAMAL?

SEBELUM ini saya ada mendengar sebuah hadis yang maksudnya Allah telah takdirkan sama ada seseorang itu ahli neraka atau ahli syurga. Jadi kenapa perlu beramal?

Persoalan seumpama ini sering timbul disebabkan oleh kejahilan dalam memahami maksud sebenar qada dan qadar. Seorang Muslim yang berilmu pasti tidak akan mudah terpedaya dengan keraguan-keraguan yang sengaja dibangkitkan untuk meruntuhkan keimanannya.

Dalam menjawab persoalan ini terdapat dua perkara yang perlu difahami. Terlebih dahulu setiap Muslim perlu memahami pengertian beriman dengan qadak dan qadar. Menurut para ulama aqidah beriman dengan qadak dan qadar atau takdir bermaksud beriktikad bahawa Allah Maha Mengetahui dengan terperinci berkenaan segala kejadian makhluk-Nya sejak azali dan apa yang berkaitan dengannya pada masa akan datang.

Contohnya, Allah Maha Mengetahui bahawa seseorang itu akan mengambil sebab-sebab dan ikhtiar tertentu, lalu dia akan dinilai oleh Allah atas apa yang diusahakannya tersebut. Beriman dengan qadak dan qadar juga bermaksud membenarkan bahawa segala sesuatu berlaku dengan kehendak Allah dan bertepatan dengan ilmu Allah yang azali atau bersifat qadim.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menghidupkan orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu Kami catitkan satu persatu dalam kitab (ibu suratan) yang jelas nyata.” (Surah Yasin: 12)

ALLAH-sudah-takdirkan-kenapa-perlu-beramal-1

Allah Tidak Memaksa

Rumusannya, keimanan terhadap qadak dan qadar tidak mempunyai unsur-unsur al-jabr iaitu seseorang dipaksa dalam melakukan sesuatu atau hilangnya kuasa memilih. Ini kerana ilmu Allah hanya bersifat menyingkap apa yang akan berlaku dan bukan memaksa supaya sesuatu itu berlaku.

Dalam hal ini, guru saya iaitu Prof. Dr. Qahtan al-Duri sering mengemukakan contoh mudah dengan membuat analogi bahawa ilmu Allah itu adalah seumpama ilmu seorang guru yang amat mengenali setiap anak muridnya. Pelajar mana akan berjaya dan gagal berdasarkan pengalaman dan pemerhatiannya. Namun, ilmu si guru terhadap setiap muridnya itu tidaklah menyebabkan mereka berjaya atau gagal. Kejayaan atau kegagalannya berdasarkan usaha mereka sendiri.

Imam al-Nawawi menukilkan daripada Imam al-Khattabi bahawa memang ramai orang salah faham bahawa qadak dan qadar itu ialah paksaan dan tekanan Allah ke atas hamba-Nya terhadap segala apa yang telah ditakdirkan. Ini terpesong daripada maksud sebenar takdir iaitu perkhabaran Allah berkenaan ilmu-Nya yang mendahului tentang segala yang dilakukan oleh hamba-Nya.

Abdullah bin Umar ditanya tentang orang yang memberi alasan atas perbuatan buruknya sebagai sudah ada dalam ilmu Allah. Beliau begitu marah dan berkata: “Demikianlah ia dalam ilmu Allah tetapi bukan ilmu Allah yang menyebabkan mereka melakukan perbuatan buruk itu!”

ALLAH-sudah-takdirkan-kenapa-perlu-beramal-2

Pilihan Di Tangan Manusia

Maka Allah mengetahui berdasarkan ilmu-Nya yang azali bahawa hamba-Nya akan memilih jalan-jalan yang pelbagai. Lalu Dia mempermudahkan pilihan mereka. Contohnya, seseorang ingin mengangkat segelas air untuk disuakan ke mulutnya. Perbuatan mengangkat gelas itu dating daripada pilihan atau usahanya sendiri manakala kuasa untuk mengangkat datang daripada sifat qudrat Allah.

Ini bermakna kuasa untuk memilih tetap berada pada tangan seseorang hamba-Nya. Dialah yang memilih antara perbuatan baik atau jahat, taat atau maksiat, dosa atau pahala dan syurga atau neraka.

Kesimpulannya, beriman terhadap qadak dan qadar atau taqdir Allah tidak menafikan kewajipan kita untuk berusaha dan berikhtiar melakukan yang terbaik dalam kehidupan ini. Sikap gemar melepaskan diri dengan cara menyerahkan segala yang berlaku sebagai suratan takdir tanpa didahului dengan usaha benar-benar menyalahi seruan Islam supaya kita sentiasa berusaha dan berikhtiar untuk melakukan yang terbaik dalam kehidupan ini.

Sama-sama kita fahami firman Allah dalam surah al-Mulk ayat 15 yang menggesa kita supaya berusaha mencari rezeki dan tidak malas serta bertawakal atau berserah bulat-buat. Begitu juga dengan gesaan Allah supaya kita tidak menjerumuskan diri ke lembah kebinasaan dalam surah al-Baqarah ayat 195.

Wallahu a‘lam.

Rujukan:

1-Sharh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim.

2-Risalah fi al-Tawhid li al-Ta’i.

Ustaz Mohd Aizam Mas‘od

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Mohd Aizam Mas‘od

Sarjana Muda Usuluddin Universiti Al al-Bayt, Jordan. Sarjana Usuluddin dan Pemikiran Islam, UIAM. Pernah bertalaqqi dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Syu‘aib al-Arna‘ut (ulama tahkik terkenal) dan Prof. Dr. Abdul Qadir al-Sa‘di. Beliau pakar dalam kajian aqidah dan aliran sesat. Kini merupakan Penolong Pengarah Bahagian. Penyelidikan (Aqidah), JAKIM. Dekati beliau di mufakkir-islami.blogspot.com.

Related items

Kembali ke atas