GEMPA BUMI YOGYAKARTA
- Ditulis oleh Haji Muhammad Zakaria
- Kategori Kembara
- Read 5825 times
GEMPA bumi tektonik berukuran 6.3 pada skala Richter selama 57 saat menggegar kota Yokyakarta dan sekitar Jawa Tengah (Jateng). Dua jam kemudian, berlaku lagi gempa susulan, 5.2 pada skala Richter.
Dalam masa dua hari berikutnya 450 gegaran susulan yang kurang daripada empat pada skala Richter bertali arus. 6,127 orang terbunuh dengan pecahan: Daerah Bantul 3,968 orang, Klaten 1,668 orang, Sleman 326 orang dan Yokyakarta 165 orang. Yang cedera 33,231 orang, luka ringan 12,917 orang dan kehilangan tempat tinggal 200,000 orang.
Pusat gempa dikesan pada kedalaman 17km di perut bumi terletak 25km ke barat daya Yogyakarta, 115km ke selatan Semarang dan 440km ke tenggara Jakarta. Walaupun pusat gempa berada di dasar laut, namun tidak mengakibatkan tsunami. Inilah bencana terburuk selepas tsunami yang menimpa Aceh pada 26 Disember 2004 yang lalu.
Banyak bangunan penting yang rosak teruk antaranya pasar raya Mall Shapir Square dan Mall Ambaruko Plaza, kampus Universiti Ahmad Dahlan, Jalan Parangteritis dan Institut Seni Indonesia (ISI) Yogyakarta.
Candi kuno yang berusia ribuan tahun dan juga lokasi pelancongan rosak. Antaranya Candi Prambanan, Makam Imogiri, Kraton Yogyakarta, Candi Borobudur dan Obyek Wisata Kasongan.
Mengapa Yokyakarta?
Indonesia terletak di antara tiga jajaran lempeng tektronik utama dunia iaitu lempeng Australia, lempeng tektronik Eurasia dan lempeng tektronik Pasifik. Indonesia juga berada pada posisi ring of fire yang menyebabkan negara itu kerap digegarkan bencana gempa bumi dan letupan gunung berapi.
Gempa bumi terbaru sebelum ini terjadi di Sumatera, pada 28 Mac 2005, mengorbankan 361 orang dan gempa bumi yang menyebabkan tsunami di Aceh pada 26 Disember 2004 yang mengorbankan 129,498 orang dan 37,606 orang hilang.
Menghantar Misi Kemanusiaan
Berdasarkan laporan akhbar, SMS dan panggilan daripada kawan-kawan dalam kumpulan sukarelawan bencana alam di Malaysia, kami daripada Persatuan Belia Sri al-Ain menyusun satu team untuk meninjau kawasan bencana.
Di Kuala Lumpur kami cuba mencari tiket penerbangan terus ke Yokyakarta. Namun semua penerbangan dibatalkan. Gempa bumi telah mengakibatkan Lapangan Terbang Bandara Adi Soaecipto, Yokyakarta ditutup kerana gangguan komunikasi, kerosakan bangunan terminal dan keretakan landasan.
Khabarnya untuk sementara waktu perhubungan udara untuk bantuan bencana dialihkan ke Lapangan Terbang Achmad Yani di Semarang dan Lapangan Terbang Adi Sumarmo di Solo. Dari kedua-dua bandar tersebut bantuan diangkut melalui jalan darat ke Yokyakarta.
Tanpa bertangguh lagi pada hari ketiga gempa kami menyusun satu team Misi Kemanusiaan ke Yokyakarta. Team kami terus menaiki penerbangan AirAsia dari LCCT Kuala Lumpur ke Jakarta. Puteri saya, Ummu Solehah yang menuntut di Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah, Ciputat, Jakarta menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.
Semua penerbangan dari Jakarta ke Yokyakarta juga dibatalkan. Jadi kami mengambil keputusan untuk bermalam di Gambir. Subuhnya kami solat di Masjid al-Istiqlal, masjid terbesar di Jakarta.
Suatu pemandangan yang amat menyayat hati ialah ramainya keluarga warga kota Jakarta yang tidur di perkarangan masjid. Mereka seolah-olah berumah tangga di situ. Namun apabila azan Subuh berkumandang, tiada siapa pun yang bangun kecuali anak-anak kecil yang terpinga-pinga atau terperanjat dengan laungan azan yang menggegarkan keheningan Subuh. Mereka duduk sebentar, namun tidur semula apabila laungan azan tamat.
Aneh bukan? Mengapa setelah begitu diuji manusia masih belum serius dengan Tuhan?
Dari Gambir kami menaiki kereta api ekspres siang ke Yokyakarta jam 8.00 pagi. Sepanjang perjalanan kelihatan sawah padi yang menghijau, kampung yang berjajaran sepanjang rel dan bandar-bandar kecil yang sibuk.
Jam 5 petang kami sampai di kota Yokyakarta, bandar tua bersejarah di Pulau Jawa. Kami terus menaiki teksi ke Bantul, 10 kilometer dari Yokyakarta. Bantul yang merupakan daerah pertanian padi ialah kawasan yang paling teruk digegar gempa. Di kiri kanan jalan sawah sedang menghijau. 80% bangunan runtuh. 2,400 orang terkorban.
Bangunan komersial seperti bank dan kompleks membeli belah dikosongkan dan dikawal polis untuk mengelak rompakan dan kecurian. Suasana di bandar Bantul seperti medan perang. Laungan siren memenuhi udara. Lampu isyarat sudah tidak berfungsi lagi.
Hospital Jalanan
Khemah-khemah yang dibuat daripada plastik nipis didirikan di tepi-tepi jalan. Namun masih ramai mangsa yang duduk di tepi jalan beratapkan langit tanpa perlindungan. Mangsa yang cedera terus sahaja dirawat di tepi jalan. Macam hospital jalanan. Manusia bergelimpangan kerana tiada kemudahan asas. Tiada doktor dan jururawat. Cuma rakan dan keluarga terdekat sahaja yang merawat mangsa. Ramai yang merintih kesakitan.
Ramai juga mangsa yang menumpang di kawasan masjid yang kami lalui. Mangsa yang terbunuh dikebumikan seberapa segera mengikut syariat Islam. Pusara mereka cuma ditandakan dengan buah kelapa hijau.
Ada yang menjerang air dan memasak makanan di tepi jalan. Papan tanda dilekatkan di tepi jalan mohon rayuan bantuan makanan, kewangan, khemah dan perubatan. Menjelang malam keadaan gelap gelita. Bekalan elektrik memang telah terputus sejak gempa. Mangsa bermalam di tepi jalan bersuluhkan pelita minyak tanah.
Kami sampai ke Rumah Sakit (hospital) Panembahan Sinopati, Bantul. Keadaan penuh sesak. Katil mangsa dipasang hingga ke tengah padang. Ada juga pesakit yang terlantar di lantai dan di kaki lima. Sukarelawan bertungkus-lumus merawat pesakit. Itu pun hanya yang cedera teruk sahaja yang diterima masuk ke hospital.
Kami membantu mangsa yang cedera teruk. Ada yang cedera di kepala, muka, dada, patah tangan dan kaki, luka, bengkak dan lebam. Bekalan ubat telah terputus sejak hari kedua gempa. Diberitakan ada mangsa yang meninggal dunia ketika menunggu rawatan. Sebahagian besar mangsa ialah kanak-kanak. Ada juga seluruh keluarga menjadi mangsa dan ditempatkan berhimpit-himpit di sebuah katil.
Oleh kerana bersesak-sesak, kebersihan dan pengurusan sisa buangan di hospital tidak terkawal. Najis manusia berselerakan di mana-mana. Baunya sungguh meloyakan. Namun kami gagahkan juga memberi pertolongan, memberi minum dan makan serta mententeramkan mangsa yang sedang trauma setakat yang mampu.
Pulang dari Bantul kami mencari rumah penginapan di bandar Yokyakarta. Dapat di atas bukit berhadapan Gunung Merapi. Malamnya kami menyaksikan cahaya merah lahar Gunung Berapi Merapi. Sebelah ufuk langit turut berwarna merah. Sejak gempa, aktiviti lahar gunung itu semakin ganas dan diramalkan meletup bila-bila masa.
Gegaran susulan berlaku sepanjang malam. Setiap kali berlaku gegaran kami akan melompa dan bersedia untuk terjun ke tanah. Setiap gegaran berlaku sekadar 4 atau 5 saat sahaja. Ini sudah cukup menyebabkan jantung masing-masing seperti mahu jatuh.
Saya segera menghantar SMS kepada anak-anak di Malaysia, menyatakan alamat hotel tempat kami menginap. Mana tahu gempa akan menenggelamkan kami ketika nyenyak tidur. Sekurang-kurangnya mereka tahu di kawasan mana di bandar Yokyakarta hendak mencari ibu dan ayah mereka.
Sisa-Sisa Runtuhan
Keesokan harinya team kami menyewa sebuah teksi untuk meninjau dengan lebih dekat kawasan gempa. Di sepanjang perjalanan anak-anak berkaki ayam menadah tabung yang diperbuat daripada kotak. Sekatan jalan raya juga diadakan oleh penduduk tempatan untuk mengutip bantuan wajib.
Kami bertemu dan menenangkan mangsa-mangsa yang meratapi rumah mereka yang diwarisi turun temurun telah roboh menyembah bumi. Kami bertemu seorang pakcik tua yang terbongkok-bongkok mencari apa-apa sisa yang mungkin berguna di celah-celah runtuhan rumahnya. Sampai kami bertemu seikat ketupat yang belum sempat dimakan. Suasana tak ubah seperti tsunami di Aceh dua tahun sebelumnya. Cuma tidak ada air laut tsunami yang menerjah.
Pasukan tentera Indonesia bergoton-groyong membersihkan runtuhan bangunan. Mereka menggunakan jentolak mem bersihkan kawasan bencana. Orang kampung bergotong-royong membaiki rumah yang runtuh. Mereka memasak nasi di dalam kawah untuk dimakan beramai-ramai.
Di Bantul juga kami bertemu dengan beberapa buah masjid yang tidak runtuh di kawasan teruk gempa. Senario tsunami Aceh di mana masjid-masjid tidak terjejas, mengimbau kembali minda kami kepada peristiwa menyayat hati itu.
Kami juga melawat ke khemah mangsa bagi menyampaikan sedikit bantuan berupa wang tunai dan perubatan yang dibawa dari Malaysia. Kelihatan mangsa sedang makan nasi kawah. Ada yang sedang berehat di “rumah baru” mereka.
Sukarelawan mundar-mandir menaiki kenderaan pelbagai rupa; lori, pick-up, pacuan 4roda, kereta dan motosikal. Mereka terdiri daripada pelbagai pihak; parti politik tertentu, kumpulan dan jemaah Islam, pasukan Palang Merah Indonesia, sukarelawan antarabangsa dan pasukan pertahanan khas. Mereka memakai pakaian seragam dan tanda nama yang mudah dikenali.
Bantuan Antarabangsa
Pelbagai negara menghantar bantuan segera, antaranya Great Britian menyum bang USD5.6 juta, Australia 3 juta dolar Australia, China USD2 juta, Amerika Syarikat USD2.5 juta, negara-negara Eropah 3 juta euro, Kanada 2 juta dolar Kanada dan Belanda 1 juta euro.
Palang Merah Indonesia sendiri telah mendirikan sebuah rumah sakit sementara di Dwi Windu, Bantul. Masyarakat Yogya karta dan warga akademik pelbagai universiti mendirikan pusat bantuan ke manusiaan seperti ITB Bandung, Universiti Gadjah Mada dan CEEDED Universiti Islam Indonesia.
Trak gergasi dari Jakarta dan lapangan terbang membahagikan makanan dan minuman di kampung-kampung dan penempatan tertentu. Anak-anak dan kaum ibu berebut-rebut mendapatkan makanan dan air minuman bersih. Sekumpulan DJ dari sebuah stesen radio tempatan sibuk memasak makanan untuk diagih-agihkan kepada mangsa gempa.
Di bumi Yokyakarta ini juga kami dapat menyaksikan bumi terbelah dan tanah merekah meninggalkan lubang yang dalam kerana gempa. Jalan raya terbelah dua. Dulu kita hanya membaca kisah bumi terbelah dalam cerita-cerita dongeng atau kisah-kisah nabi.
Lapangan Terbang Yokyakarta yang terletak 25 kilometer dari pantai Lautan Hindi sudah mula boleh digunakan, namun terhad kepada penerbangan kecemasan sahaja. Penerbangan komersial masih ditutup. Bantuan perubatan, paramedik, makanan dan beg mayat baru tiba dari Korea dan Jepun.
Air bersih amat kurang. Ramai penduduk yang diserang cirit-birit dan demam.
Aktiviti Gunung Merapi Meningkat
Menjelang tengah hari kami cuba mendekati kaki Gunung Merapi setinggi 3,000 meter. Gunung Merapi adalah salah sebuah gunung berapi yang paling aktif di dunia terletak 35 kilometer ke utara Yokyakarta. Kabus tebal kadang-kadang menutupi puncak gunung. Gunung Merapi memang telah aktif sejak dua minggu sebelum gempa.
Pakar geologi tempatan merumuskan bahawa kejadian gempa bumi dan letupan gunun berapi tersebut adalah dua peristiwa yang tiada kaitan antara satu sama lain. Peningkatan aktiviti di gunung berapi tersebut tidak disebabkan oleh kejadian gempa.
Kami mencari laluan kereta melalui lorong-lorong di kampung untuk menghampiri kaki gunung. Namun kami tidak dapat menghampiri lebih dekat kerana perlu berjalan kaki.
Penduduk tempatan di kaki gunung seolah-olah tidak peduli tentang apa yang berlaku. Mereka bekerja menjalankan aktiviti pertanian mereka seperti biasa.
Kereta lembu dan kereta kuda penuh sarat membawa rumput, kayu api dan hasil pertanian ke bandar. Pasar minggu di pekan tetap meriah. Ramai petani menjual kambing, ayam dan burung merpati.
Kebetulan sebaik gempa berlaku, aktiviti Gunung Merapi meningkat tiga kali ganda dengan memuntahkan lebih banyak lahar dan awan panas berkepul-kepul berwarna kelabu mengandungi gas, abu dan debu. Serpihannya meleleh 4 kilometer di lereng gunung.
Gunung Merapi mengeluarkan awan panas 150 kali dalam sehari berbanding 50 kali sebelum ini. Beribu-ribu penduduk yang tinggal berhampiran lereng Gunung Merapi diarahkan berpindah. Namun setelah berpindah, mereka lebih suka kembali ke rumah masing-masing kerana sayangkan harta benda dan ternakan daripada dicuri orang.
Pada sebelah petang kami melawat kuil Borobudur, candi tertua di Indonesia dan candi lain yang berhampiran. Sebelah malam pula kami melawat kampus Universiti Gadjah Mada dan bertemu dengan pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di Yokyakarta.
Esoknya team kami berangkat pulang menaiki kereta api. Kenangan melihat kesengsaraan mangsa gempa bumi di Yokyakarta meninggalkan gurisan sedih dan keinsafan di hati kami. Kenangan ini akan kekal dalam memori kami. Betapa negara kita yang aman makmur harus menjadi tempat tinggal yang kita syukuri ke hadrat Allah s.w.t.¤
Haji Muhammad Zakaria
Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.3
Haji Muhammad Zakaria
Lulusan University of Tasmania dan University of Newcastle, Australia, berpengalaman sebagai pendidik, pensyarah, CEO kolej swasta, master trainer, kolumnis, penulis, editor dan usahawan. Beliau kini menjawat sebagai Pengerusi Yayasan Antarabangsa Sri al-Ain-Aceh, Presiden Persatuan Belia Sri al-Ain (BERSAMA), Timbalan Presiden Persatuan Usahawan dan Pengurusan Islam Malaysia (URUS) dan Mudir Tahfiz Sri al-Ain. Sering muncul di kaca tv sebagai perunding motivasi, antaranya TV3, RTM1 dan juga Radio Ikim.fm. Beliau juga sering ke luar negara mengetuai misi kemanusiaan, antaranya ke Aceh, Jakarta, Kemboja dan juga masyarakat orang asli.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.