Menu

 

A+ A A-

ASAS-ASAS KEMUDAHAN DAN KERINGANAN DALAM ISLAM

SYARIAT yang diturunkan oleh Allah s.w.t. sebagai jalan hidup di dunia ini, diasaskan atas landasan kemudahan bukan kepayahan, keringanan bukan keberatan (al-yusr la al-‘usr). Terdapat banyak nas al-Quran dan hadis yang menerangkan tentang asas kemudahan dan keringanan dalam ajaran Islam.

Para sahabat Rasulullah s.a.w. serta ulama selepas zaman mereka juga telah mengambil jalan yang bertepatan dengan ajaran syariat Islam ini. Perbincangan ini akan membincangkan tentang tiga bahagian: Kemudahan dalam alQuran Kemudahan dalam sunah. Peranan para sahabat dalam merealisasikannya.

PERTAMA: Usul Keringanan dalam al-Quran

1. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (puasa) dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah 2: 185)

Ayat ini menerangkan bahawa Allah s.w.t. inginkan dalam setiap perundangan yang disyariatkan ke atas hambaNya mengandungi kemudahan, keringanan, kelonggaran, rahmat dan mengelakkan kepayahan dan seumpamanya.

Walaupun ia menjelaskan tentang kelonggaran dalam bab puasa, tetapi maksudnya umum, sebagaimana yang telah dijelaskan oleh beberapa ulama tafsir.

Kata Muhammad Rashid Ridha rhm. ketika mentafsirkan ayat ini: “Allah bukan mahu menyusahkan hambaNya dengan perundangan syariat tetapi mahu member kemudahan, kebaikan dan manfaat untuk mereka. Inilah asal dalam agama yang dirujuk kepadanya perundangan yang lain. Daripada ayat inilah diambil kaedah al-Masyaqqatu Tajlibu al-Taysir (Kepayahan itu membawa kemudahan).” (Tafsir al-Manar, jil.2, hlm. 132)

2. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, dan manusia dijadikan bersifat lemah (daif).” (Surah alNisa’ 4: 28)

Kelemahan yang dimaksudkan di sini ialah kelemahan manusia dalam menghadapi godaan syahwat; kerana ayat ini mem bincangkan tentang kelonggaran yang di beri kan oleh Allah s.w.t. untuk (lelaki Muslim yang merdeka) menikahi hamba perempuan yang beriman bagi mereka yang tidak mampu mengahwini wanita yang merdeka.

Dalam hal ini ulama-ulama tafsir berpendapat yang dikehendaki daripada ayat ini ialah maksud keringanan dalam syariat secara umum keseluruhannya. Ini berasaskan kepada kelemahan manusia dalam menghadapi dugaan dan cabaran hidup, maka Allah s.w.t. inginkan bagi makhluk yang lemah ini keringanan, rahmat, kemudahan serta membuang kesusahan dan mengelak kemudaratan.

3. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Surah al-Baqarah 2: 286)

Allah s.w.t. tidak akan membebankan seseorang hamba itu di luar batas kemampuannya dalam menghadapi sesuatu kewajipan, sehingga melampaui tenaga dan kudratnya. Bahawa sesungguhnya tiada yang sulit mahupun berat dalam Islam, kerana Allah telah menyesuaikannya dengan kadar kemampuan manusia.

KEDUA: Usul Keringanan dalam Sunah

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul daripada kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang Mukmin.” (Surah al-Tawbah 9: 128)

Wahyu turun kepada Rasulullah s.a.w., lalu Baginda dan orang Mukmin yang bersamanya mengambil manhaj yang mudah dan ringan. Memperbetulkan salah faham dalam kalangan orang Muslim dalam hal ini dan membimbing mereka jika berlaku kepincangan dan penyelewengan. Rasulullah s.a.w. telah mengambil pendekatan ini sebagai satu ajaran terhadap umatnya dan Baginda sendiri telah merealisasikannya (mengamalkannya).

Sunah Nabi s.a.w. penuh dengan pelbagai contoh yang menunjukkan kepada keringanan ini. Ia dapat dibahagi kepada tiga bahagian:

Hadis yang menunjukkan ketinggian agama Islam dan keringanannya

a) Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya agama (Islam) itu mudah. Tidaklah seseorang mempersulit (berlebihlebihan) dalam agamanya kecuali akan terkalahkan (tidak dapat melaksanakannya dengan sempurna). Oleh sebab itu, berlaku luruslah, sederhana (tidak melampaui batas), dan bergembiralah (kerana memperoleh pahala) serta memohon pertolongan (kepada Allah) dengan ibadah pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam.” (Riwayat al-Bukhari)

b) Diriwayatkan oleh Aisyah r.ha. bahawa Rasulullah s.a.w. dalam kehidupan sehariannya, ketika harus menentukan antara dua hal, Baginda selalu memilih salah satunya yang lebih mudah, selagi tidak termasuk dalam dosa.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

c) Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak membangkitkan aku untuk menyusahkan dan membawa kesusahan, tetapi mengutusku sebagai pembimbing yang mempermudahkan.” (Riwayat Muslim)

Hadis-hadis tersebut menjelaskan ketinggian agama Islam, perundangannya yang mudah dan Allah s.w.t. telah menghilangkan kesusahan daripada umat ini. Hadis menunjukkan kebimbangan Rasulullah s.a.w. jika berlaku kesukaran ke atas umatnya.

a) Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Aku sedang mendirikan solat (jemaah) dan ingin memanjangkannya, kemudian aku terdengar suara tangisan anak kecil, lalu aku bersegera menyudahkannya, (kerana) tidak mahu menyusahkan ibunya.” (Riwayat al- Bukhari dan Muslim)

b) Aisyah r.ha. meriwayatkan bahawa pada suatu hari Baginda s.a.w. keluar dari rumahnya dalam keadaan tenang dan gembira, tiba-tiba Baginda pulang dalam keadaan muram dan dukacita. Baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku telah memasuki Kaabah, kemudiannya aku berharap aku tidak melakukannya; ini kerana aku takut umatku selepas ini akan cuba mengikuti (perbuatanku dan itu akan menyusahkan mereka). (Riwayat Tirmizi, hasan sahih)

c) Rasulullah s.a.w. pernah ditanya oleh al-Aqra’ bin Habis r.a. tentang berapakah bilangan haji yang wajib ditunaikan, apakah mesti setiap tahun ataukah hanya cukup sekali seumur hidup? Maka Baginda s.a.w. bersabda,maksudnya: “Haji itu (wajibnya) hanya sekali, sesiapa yang ingin menambah, maka itu sunah.” (Riwayat Abu Daud dan al-Nasa’i)

Hadis yang menganjurkan beramal dengan keringanan dan melarang daripada sifat terlalu keras (syadid) dan melampau.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Permudahkanlah, janganlah menyusahkan, dan berikanlah khabar gembira dan janganlah membuatkan manusia lari (daripada kebenaran).” (Riwayat al-Bukhari)

Diriwayatkan daripada Anas r.a., ketika sedang menjalankan ibadah haji, Rasulullah s.a.w. mendapati seorang sahabat Baginda kelihatan sangat penat dan lemah. Maka Baginda pun bertanya sebabnya. Ternyata, menurut cerita sahabat yang lain, dia bernazar akan menunaikan haji dengan berjalan kaki dari Madinah ke Makkah. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak memerlukan tindakan penyeksaan diri sendiri, seperti yang dilakukan oleh orang itu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam satu perjalanan lain, Rasulullah s.a.w. melihat seorang sahabatnya nampak lesu dan lemah. Baginda bertanya sebabnya. Para sahabat memberitahu bahawa orang itu sedang berpuasa. Maka Rasulullah s.a.w. menegaskan: “Bukanlah termasuk kebajikan untuk berpuasa dalam perjalanan (yang jauh).” (Riwayat Ibn Hibban, daripada Jabir bin Abdullah r.a.) Ini bererti terdapat kelonggaran untuk berbuka puasa bagi yang sedang bermusafir, serta mengqadanya semula bagi puasa wajib.

KETIGA: Manhaj para sahabat dan mereka yang selepasnya dalam beramal dengan keringanan

Selain daripada dalil-dalil yang terdapat dalam al-Quran dan sunah, serta amalan kehidupan Rasulullah s.a.w. sendiri, kita juga boleh melihat contoh daripada amalan sebahagian sahabat r.a.

Pada suatu ketika Sayidina Umar r.a. keluar bersama satu rombongan penunggang yang disertai juga oleh Amru bin al-’As r.a. Apabila mereka tiba di sebuah kolam, Amru lalu berkata: “Wahai pemilik kolam, adakah kolam kamu ini didatangi binatang buas?” Umar r.a. lalu berkata: “Tidak perlu kamu katakannya, sesungguhnya kita meminum bekasnya (binatang buas), dan ia pula meminum bekas kita.” (Al-Muwatta’, Imam Malik)

Umar r.a. sedang berjalan bersama sahabatnya, tiba-tiba ada sesuatu daripada saluran air terjatuh ke atas mereka. Sahabatnya lalu bertanya: “Wahai tuan punya saluran, adakah air engkau ini suci atau kotor?” Umar lalu berkata: “Wahai tuan saluran, tidak perlulah kamu memberitahu kami!” Mereka pun terus berlalu. (Ighathah al-Lahfan jil. 1, hlm. 244)

Umair bin Ishak berkata: “Jika kamu perhatikan para sahabat Rasulullah s.a.w., kamu tidak akan dapati golongan yang lebih ramai mengamalkan sifat yang mudah dan meninggalkan amalan yang berat.” (Riwayat al-Darimi)

Itulah mereka, para sahabat Rasulullah s.a.w. yang mengambil pendekatan yang jauh daripada kesulitan, bahkan menolak daripada diberi penjelasan dalam perkara yang mungkin mengandungi kesamaran, kerana ia boleh membawa kepada was-was dan kesusahan.

Sufyan al-Thawri berkata: “Sesungguhnya fiqah itu kelonggaran hukum (rukhsah) yang terbit daripada ulama yang dipercayai (thiqah). Adapun hukum yang berat itu semua orang boleh mengatakannya.”

Dengan beberapa nukilan ini jelaslah betapa syariat Islam merupakan syariat yang mampu dilaksanakan kerana ia satu perundangan yang mudah, penuh dengan hikmah, rahmat dan kebijaksanaan. Agama Islam ialah agama yang sesuai dengan fitrah manusia, yang sentiasa memberikan kemaslahatan dan menghindari kemudaratan kepada umatnya.¤

Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani)

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.5

_______________________________________________________________________

Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani)

Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, dikenali juga sebagai Abu Anas Madani. Beliau adalah pendakwah yang tidak asing lagi di kalangan pencinta ilmu agama. Menjawat jawatan Pensyarah di Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Musyrif (Penyelia) Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan, Panel Penasihat Dakwah, Kerajaan Negeri Kelantan tahun 1428-1429H serta beberapa jawatan lain.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

 

Artikel berkaitan: KEHEBATAN AIR ZAMZAM »
Kembali ke atas