Menu

 

A+ A A-

BERCERAI ANGKARA ORANG KETIGA

KEBELAKANGAN ini banyak dilaporkan di dalam media massa bahawa perceraian di kalangan pasangan suami isteri makin meningkat. Malah kini bukan sahaja melibatkan masalah dalaman antara suami isteri sahaja, bahkan lebih mengaibkan, wujudnya orang ketiga yang menjadi sebab perceraian.

Puncanya adalah bila terjadi hubungan intim di luar rumah, sama ada melalui SMS, telefon bimbit, Internet dan lain-lain kemudahan alat komunikasi moden, sehingga terjadi hubungan asmara antara isteri dan suami orang.

Lantaran itu terjejaslah perhubungan antara suami isteri di dalam rumah. Walaupun secara umum kita sedari bahawa lelaki berperanan sebagai pemimpin, pengawal dan juga pendidik bagi wanita.

Begitu juga apabila menjadi suami, dia bertanggung jawab sepenuhnya ke atas isterinya. Isteri pula perlu mematuhi suami dalam semua perkara kecuali di luar batasan syariah. Apabila suami menyedari isterinya menampakkan unsur derhaka (nusyuz) seperti di atas, suami perlu segera membetulkannya. Elakkan perceraian, kerana menurut Islam,perdamaian suami isteri lebih utama daripada perceraian.

Perceraian akan melibatkan pelbagai masalah keluarga yang akan dihadapi oleh kedua belah pihak, termasuk melibatkan hukum-hakam, pembahagian harta sepencarian dan sebagainya. Lebih buruk lagi, apablila perceraian melibatkan anak-anak, maka perhubungan kasih sayang dan perasaan dengan anak-anak akan terjejas, bahkan sampai ke cucu-cicit. Sebab itu Allah membenci perceraian sehingga boleh bergoncang Arasy yang agung.

Perceraian adalah penyelesaian terakhir. Namun hendaklah ingat bahawa walaupun perceraian dibolehkan, tetapi akibat dan kesan daripada perceraian pasti akan berlaku dan akan ditanggung oleh kedua pihak suami dan isteri, oleh itu kenalah kedua-duanya timbang semasak-masaknya sebelum bercerai.

Akibat yang paling utama yang perlu difikirkan ialah balasan yang akan ditanggung di akhirat kelak, akibat daripada keputusan menghancurkan rumah tangga, memutuskan dan menyulitkan perhubungan keluarga, perceraian bagaikan meruntuhkan sebuah masjid dan menghancurkan sebuah institusi keluarga, menjejaskan imej Islam pada pandangan umum dan pelbagai lagi kesan sampingan yang akan mendatang.

Kalau orang yang meruntuhkan menara WTC di New York dianggap sebagai pengganas yang diburu hingga ke seluruh pelosok dunia, apakah mereka yang meruntuhkan rumah tangga tidak boleh dianggap sebagai lebih ganas daripada pengganas?

Lebih-lebih lagi orang ketiga yang menjadi punca perceraian, ia boleh digolongkan sebagai pengganas yang diburu hingga ke seluruh pelosok dunia, apakah mereka yang meruntuhkan rumah tangga tidak boleh dianggap sebagai lebih ganas daripada pengganas? Lebih-lebih lagi orang ketiga yang menjadi punca perceraian, ia boleh digolongkan sebagai “penghasut” dan berdosa besar kerana merosakkan perhubungan keluarga orang lain. Kesimpulannya, perceraian melibatkan pelbagai kesan negatif seperti berikut:

Bergoncangnya ‘Arasy Allah.

• Dibenci oleh Allah.

• Dibenci juga oleh Rasulullah, kerana baginda menggalakkan umatnya berkahwin.

• Kehancuran sebuah instutisi rumah tangga.

• Memutuskan hubungan kasih sayang antarakeluarga. Menyukarkan pembahagian kasih sayang dengan anak-anak, tidak dapat dielak akan berlaku salah satu kumpulan anak-anak akan berpihak kepada salah seorang ibu atau bapa mereka.

• Boleh menyebabkan permusuhan antara keluarga.

• Mendedahkan kemungkinan perhubungan haram (yang dilarang) antara bekas suami isteri, ketika pertemuan untuk bertemu anak-anak masing-masing. (Kalau sebelum bercerai perhubungan mereka menjadi halal, tetapi setelah bercerai, kerana hendak bertemu anak-anak, mereka terpaksa bergaulan secara haram). Inilah yang amat disukai oleh syaitan.

Menurut hadis, bila seseorang itu berkahwin, syaitan menjerit kerana jalan untuk ia menipu telah tertutup. Tetapi bila berlaku perceraian, makhluk yang paling bergembira sekali ialah syaitan, kerana ia berjaya meruntuhkan institusi keluarga orang Mukmin. Perceraian menyedihkan Rasulullah s.a.w. kerana rumah tangga umatnya berpecah. Rasulullah s.a.w. menggalakkan dan berbangga dengan umatnya yang berkahwin dan beranak ramai dalam setiap keluarga.

Perceraian menimbulkan krisis perebutan harta sepencarian. Mungkin salah satu pihak tidak jujur dalam mengisytiharkan harta masing-masing. Akan timbul ungkit-mengungkit. Berhadapan dengan soal jawab di akhirat nanti akan lebih sulit lagi. ¤

 

Solusi

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu perdana

_________________________________________________________________

Solusi

Berteraskan motto untuk menjadikan majalah Solusi sebagai panduan ke arah hidup yang bersyariat yang bersasarkan al-Quran & Sunnah. Berkonsepkan keagamaan yang menyentuh soal fardhu ain dan juga motivasi. Sesuai untuk dijadikan bahan bacaan harian untuk mendidik diri, menambah ilmu dan dikongsikan bersama.

 

Dapatkan majalah Solusi keluaran terbaru di Addeen Online Store!

Artikel berkaitan: TALAK: MARAH MEMBAWA PADAH »
Kembali ke atas