TALAK: MARAH MEMBAWA PADAH
- Ditulis oleh Ustaz Fathi Yusof
- Kategori Penceraian
- Read 43589 times
Talak Melalui SMS
ISTERI saya pergi ke rumah kakaknya selepas kami bertengkar. Perbuatannya menimbulkan kemarahan saya, lalu saya menghantar mesej melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepadanya: “Kalau awak tak balik esok, jatuh talak!” Tujuan mesej itu untuk mendorong dia balik ke rumah dengan segera. Saya tidak berniat untuk menceraikannya, tetapi dia tidak juga balik pada keesokan harinya. Dia hanya kembali ke rumah selepas tiga hari. Adakah jatuh talak?
MUKADIMAH: Seorang suami tidak patut melafazkan cerai tanpa sebab yang munasabah, lebih-lebih lagi dalam keadaan marah. Walau bagaimanapun, sesuatu lafaz talak tetap mempunyai kesan walaupun diucapkan dalam keadaan marah. Ini kerana pada waktu itu dia bukan gila dan masih seorang yang waras serta berakal. Dia bertanggungjawab atas segala ucapan dan perbuatannya sewaktu marah, termasuklah ucapan berbentuk lafaz talak.
RINGKASNYA: Lafaz yang digunakan itu ialah satu lafaz taklik yang mengakibatkan berlakunya perceraian jika syarat yang dinyatakan dalam taklik itu dipenuhi. Jadi berlakulah talak sebaik sahaja hari yang dimaksudkan itu berlalu dan si isteri tidak juga pulang. Maka suami hanya boleh kembali semula kepada bekas isterinya jika dia merujuk kembali dalam tempoh idahnya.
PENJELASAN: Lafaz yang pertama berbentuk sarih (jelas). Lafaz sarih ialah lafaz yang secara jelas membawa makna talak dan ia tidak boleh ditafsirkan dengan makna yang lain. Lafaz sarih untuk talak adalah seperti perkataan cerai, talak, berpisah, melepaskan dan membebaskan. Jika suami mengucapkan lafaz sarih seperti “aku ceraikan kamu” atau “mulai hari ini kita berpisah”, maka berlakulah talak walaupun tanpa niat untuk bercerai. Perceraian boleh berlaku sama ada melalui ucapan secara berdepan, panggilan telefon, catatan sama ada secara bertulis atas kertas, SMS, e-mel atau sebagainya. Bahkan lafaz cerai secara bertulis ini lebih kukuh dan lebih mudah dibuktikan kerana rekodnya boleh disemak semula.
Talak tetap berlaku walaupun ia dilafazkan secara gurauan, ketika marah mahupun untuk tujuan ugutan. Perlu ditegaskan bahawa, lafaz cerai tidak wajar digunakan sebagai senjata untuk memaksa seorang isteri melakukan sesuatu. Suami tidak sepatutnya mempertaruhkan ikatan perkahwinan untuk memastikan kehendaknya dipenuhi.
HUJAH: Berhubung dengan lafaz sarih ini, Imam al-Khattabi menyebut: “Ulama telah bersepakat bahawa lafaz talak yang sarih, jika dituturkan oleh seorang lelaki (yakni suami) yang baligh dan berakal, maka ia diambil kira dengannya dan tidak berguna ucapannya ‘Aku mengucapkannya main-main sahaja’, ‘aku tidak berniat talak dengannya’ atau alasan-alasan lain seumpamanya.” (‘Aun al-Ma‘bud)
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tiga perkara yang jika dilakukan secara bersungguh-sungguh tetap akan berlaku, dan jika dilakukan secara main-main juga tetap akan berlaku; nikah, talak dan rujuk.” (Riwayat al-Tirmizi)
TAMBAHAN: Sesuatu perceraian, jika terpaksa sekalipun, lakukannya dengan sebaiknya menurut kehendak syarak. Dalam konteks pentadbiran keluarga di Malaysia, adalah lebih wajar jika perceraian itu dilaksanakan melalui prosedur yang disediakan oleh pihak berkuasa agama. Allah berfirman yang bermaksud: “Talak (yang boleh rujuk kembali itu) hanya dua kali. Setelah itu bolehlah dia (rujuk dan) dipegang terus (isteri itu) dengan cara yang makruf atau dilepaskan (diceraikan) dengan cara yang baik.” (Surah al-Baqarah 2: 229)
Bawa Haluan Masing- Masing
Saya pernah bertengkar dengan isteri saya. Dalam keadaan, marah saya berkata: “Kalau begitu, kita bawa haluan masing-masing!” Saya inginkan kepastian, adakah jatuh talak? Saya sebenarnya masih sayang akan isteri saya dan tidak mahu berpisah dengannya.
RINGKASNYA: Lafaz yang dituturkan itu pada pendapat saya ia berbentuk kinayah. Bagi lafaz berbentuk kinayah ini, talak tidak jatuh melainkan jika suami berniat untuk menjatuhkan talak.
HURAIAN: Lafaz kinayah bermaksud lafaz yang boleh ditafsirkan sebagai talak atau bukan talak. Jadi lafaz di atas mungkin boleh difahami dengan maksud kedua-dua pasangan suami isteri jangan menghiraukan antara satu sama lain. Antara bentuk lafaz kinayah lain seperti “pergilah ke mana yang kamu suka”, “pergilah balik kepada ibu bapa kamu”, “saya tak perlukan awak lagi”, “saya tak nak tengok muka kamu lagi” dan “lepas ini awak boleh buat apa yang awak suka”.
HUJAH: Antara dalilnya ialah kisah Ka‘ab bin Malik yang mengucapkan kepada isterinya: “Kembalilah kamu kepada keluargamu.” Tidak lama selepas itu isteri Ka‘ab kembali kepadanya dan beliau tidak diperintahkan untuk mengadakan akad nikah yang baru. Ini menunjukkan bahawa perkataannya itu tidak semestinya menyebabkan berlakunya talak.
Fathi Yusof
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.4
Ustaz Fathi Yusof
Beliau adalah lulusan Sarjana Muda Undang-undang dan Syariah, serta Doktor Falsafah Undang-undang UIAM. Kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan dan Felo Penyelidik Undang-undang Islam di Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST), Universiti Teknologi Malaysia. Membuat kajian dan penulisan dalam bidang undang-undang Islam, perlembagaan dan kekeluargaan. Beliau boleh dihubungi di alamat e-mel fathiyusof@gmail.com. Antara blog beliau ialah http;//abimuslih.wordpress.com
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.