Menu

 

A+ A A-

LAMAN WEB PUB DAN RUMAH LELONG BANK

Hukum Membangunkan Laman Web Pub

SAYA bekerja dengan syarikat yang membangunkan laman web. Syarikat saya menerima semua tempahan daripada pelbagai pihak. Apakah hukumnya jika saya perlu membangunkan laman web kelab malam atau pub? Halalkah gaji yang saya terima itu?

Saya mengucapkan tahniah atas keprihatinan saudara. Hukumnya bergantung pada situasi yang dilalui oleh saudara:

Situasi 1:

Jika saudara seseorang yang boleh membuat keputusan dalam syarikat, maka maka saudara tidak boleh menerima kerja tersebut. Sebagaimana yang kita ketahui, aktiviti perniagaan pub dan kelab malam melibatkan penjualan minuman keras, pergaulan bebas lelaki dan perempuan dan lain-lain lagi. Laman web yang dibangunkan pula akan mempromosikan lagi tempat tersebut dan secara langsung menggalakkan juga aktiviti maksiat.

Atas dasar ini, kerja membangunkan laman sesawang bagi sebuah pub atau kelab malam dikira sebagai perbuatan menolong dalam kemaksiatan. Namun perlu diingatkan, tolaklah kerja secara baik dan penuh hikmah.

Situasi 2:

Jika saudara hanyalah seorang pekerja yang tidak mempunyai kuasa untuk menolak arahan majikan, dan jika saudara menolak untuk membuat kerja yang iarahkan, dikhuatiri pekerjaan dan jawatan saudara di syarikat tersebut terjejas.

Dalam keadaan ini, saya berpandangan bahawa saudara bolehlah melakukan kerja tersebut kerana terpaksa. Dalam masa yang sama, tanamlah di hati saudara bahawa saudara tidak melakukannya dengan reda. Saudara juga dinasihatkan untuk mula mencari kerja yang bersesuaian di syarikat lain. Insya-Allah, dengan niat murni untuk mencari rezeki yang halal, maka urusan saudara untuk mendapatkan pekerjaan di tempat lain akan dimudahkan oleh Allah.

laman-web-pub-1

Membeli Rumah Lelong Bank

Apakah hukum membeli rumah yang dilelong oleh pihak bank atau syarikat pelelong (auctioner)?

Sesebuah rumah biasanya dilelong atas sebab kegagalan membayar hutang atau pembiayaan. Hutang dan pembiayaan ini mungkin dilakukan di bank konvensional atau Islam. Tanpa perlu melihat kepada aspek ini, urusan saudara hanyalah jual beli rumah tersebut, maka hukumnya adalah harus dan dibenarkan.

Namun perlu diingat bahawa jika saudara memerlukan pembiayaan, maka saudara hendaklah melakukannya dengan mana-mana bank yang menawarkan pakej pembiayaan patuh syariah.

Prof. Dr. Ashraf Md Hashim

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Prof Dr Ashraf Md Hashim

Sarjana Muda Syariah,Universiti Islam Madinah, Sarjana Fiqh dan Usul al-Fiqh, Universiti Jordan dan Doktor Falsafah, Universiti Birmingham, United Kingdom. Memegang banyak jawatan penting antaranya anggota Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia (MPS BNM), ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dan Profesor (Syariah) di Pusat Pendidikan Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (INCEIF). Pengarah Urusan, ISRA Consultancy dan juga Timbalan Presiden, Persatuan Penasihat Shariah Kewangan Islam Malaysia.

Kembali ke atas