Menu

 

A+ A A-

SALAF DAN CINTA BUKU

TOKOH salaf kita pada kali ini seorang murid Imam Abu Hanifah di Baghdad. Namanya Muhammad bin Hasan al-Syaibani (w.189h). Beliau seorang ulama fiqah yang juga pakar dalam hadis. Beliau mempelajari fiqah dari Imam Abu Hanifah, dan ilmu hadis dari pelbagai ulama antaranya dari Imam Malik bin Anas. Beliau menetap di Madinah selama tiga tahun untuk mendengar sendiri kitab al-Muwatta dari Imam Malik.

Apabila kembali ke Baghdad, Khalifah Harun al-Rasyid mengangkatnya menjadi hakim di Kota Raqqah. Namun tidak lama setelah itu, beliau melepaskan jawatan ini agar dapat menyebarkan ilmu sepenuh masa. Beliau sangat cerdas, sehingga Imam Syafi ‘i berkata: “Belum pernah aku berdebat dengan orang gemuk yang lebih cerdas daripadanya.”

Kecerdasaan itu tentu lahir dari ketekunannya membaca. Diceritakan bahawa Muhammad bin Al-Hasan tidak pernah tidur malam. Malah, beliau selalu menghabiskan malamnya dengan menelaah buku. Beliau meletakkan buku-buku di sebelahnya. Apabila bosan dengan satu buku, beliau beralih kepada buku yang lain.

Demikian diriwayatkan oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dalam kitab beliau yang sangat menarik, iaitu Qimat al-Zaman ‘indal-‘ulama.

CINTA BUKU

Salaf dan cinta buku

Jika kita perhatikan, masyarakat kita pada saat ini hampir semuanya celik huruf. Sukar sekali kita temukan pada zaman ini seorang pemuda yang tak mampu membaca. Kita patut bersyukur dengan fenomena yang sangat positif ini.

Namun begitu, budaya membaca umat Islam, apalagi di kalangan pemuda, sayangnya masih sangat rendah. Mereka lebih suka menghabiskan masa dengan tv dan permainan daripada menelaah buku. Budaya ini tentu sahaja tidak selari dengan tokoh-tokoh islam kita terdahulu.

Generasi salaf kita adalah generasi yang suka membaca. Buku selalu mengiringi mereka di mana mereka berada. Cinta mereka kepada buku melebihi cinta mereka kepada yang lain. Malah, mereka lebih rela untuk tidak tidur agar dapat membaca buku sebagaimana yang berlaku pada Imam Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani.

Setiap masa, setiap tempat

Jika kita cuba menelaah lebih lanjut, kita akan menemukan hakikat yang lebih menarik. Para ulama kita bukan hanya suka membaca, malah mereka selalu membaca pada setiap masa dan di setiap tempat. Mereka tidak suka masa berlalu tanpa menelaah sebuah buku.

Imam Ahmad bin Yahya, seorang pakar tafsir yang dikenali dengan gelaran Th a’lab (w.291), selalu membawa buku ke mana beliau pergi. setiap kali dijemput ke walimah, beliau mensyaratkan agar tuan rumah menyiapkan baginya tempat khas untuk meletakkan buku dan membaca.

Begitu juga ibn Rusyd (w.595H), ahli fiqah dan fi lsafat termasyhur. Beliau terkenal sebagai seorang yang selalu membaca buku setiap saat. Tidak pernah beliau meninggalkan buku selama hidupnya kecuali dua malam sahaja, iaitu malam beliau menikah dan malam ayahnya meninggal dunia.

Al-Zahabi menceritakan dalam siyar A’lam al-Nubala bahawa setiap kali ‘Amr bin Bahr Al-Jahiz (w.250) memegang satu buku, beliau akan membacanya dari awal hingga akhir. Demikianlah cinta ulama kita kepada buku.

Mengapa cinta buku?

Mari kita ajukan satu soalan. Apa kira-kira yang membuat tokoh-tokoh salaf kita ini sangat cinta kepada buku? Menurut ibn Khaldun, buku adalah cermin ketamadunan. Orang-orang primitif zaman batu dahulu tidak memiliki buku untuk dibaca. Mereka hanya memiliki huruf-huruf dan gambar-gambar yang mereka guriskan di atas batu. Apabila buku diciptakan, maka manusia seolah memasuki satu anjakan baru dalam sejarah kehidupan mereka.

Jika buku cermin ketamadunan, maka membaca adalah ciri manusia moden. Orang yang suka membaca terdedah kepada pelbagai ilmu dan idea baru yang belum pernah ia miliki. Semakin banyak yang mereka baca, semakin luas dan cerdas minda mereka.

Selain itu, buku merupakan satu-satunya alat komunikasi yang menghubungkan kita dengan tokoh-tokoh terdahulu. Buku menghubungkan kita dengan Rasulullah s.a.w., para sahabat beliau yang gagah berani, dan para tabiin yang ikhlas berjuang di jalan Allah. Bahkan, buku juga memperkenalkan kita kepada Allah s.w.t., pemilik alam semesta ini. siapa yang selalu berkomunikasi dengan mereka, tidak akan sesat jalan.

Seseorang bertanya kepada imam ibn al-Mubarak: “Kenapa anda jarang sekali duduk berbincang bersama kami?” Beliau menjawab: “Aku lebih suka duduk bersama para sahabat dan tabiin. Aku melihat ke dalam buku-buku dan tulisan-tulisan mereka.” Diriwayatkan oleh Al-Khatib al- Baghdadi dalam Taqyid al-‘ilm.

Apa bezanya?

Jika kita boleh membaca namun enggan membaca, apakah yang membezakan diri kita dengan orang yang buta huruf? Saya rasa, tidak ada kelebihan orang yang celik huruf atas orang yang buta huruf jika keduanya sama-sama tidak membaca.

Siapa yang enggan membaca, maka putuslah hubungannya dengan Allah, rasul-Nya dan generasi salafus soleh. Siapa yang putus hubungan dengan mereka, maka dia tidak mengetahui hakikat dan tujuan hidupnya di muka bumi ini. Dia tidak tahu siapa yang mesti dijadikan ikutan dan teladan. Akhirnya, dia akan hidup tanpa arah dan pegangan sehingga sangat mudah menjadi mangsa syaitan yang akan membawanya kepada kesesatan dan kekufuran.

Oleh itu, bacalah buku, maka anda akan hidup dalam cahaya ilmu selama-lamanya. Wallahua'lam.

Al-Zahabi menceritakan dalam siyar A’lam al-Nubala BAHAWA SETIAP KALI ‘AMR BIN BAHR ALJAHIZ (W.250) MEMEGANG SATU BUKU, BELIAU AKAN MEMBACANYA DARI AWAL HINGGA AKHIR. DEMIKIANLAH CINTA ULAMA KITA KEPADA BUKU.

Oleh Ustaz Umar Muhammad Noor
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.6


Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas