Menu

 

A+ A A-

BEKERJA DI SYARIKAT ORANG BUKAN MUSLIM

Harus Bekerja di Syarikat Orang Bukan Muslim

DAHULU saya tidak endah sangat soal haram halal. Sekarang saya bekerja sebagai pemandu lori di syarikat perabot milik seorang beragama Budha. Apa pandangan Islam tentang orang Islam yang bekerja di syarikat orang bukan Islam?

RINGKASNYA: Jika aktiviti perniagaan syarikat itu harus di sisi Islam, maka harus hukumnya bekerja di situ.

PRINSIP: Aspek muamalat adalah aspek yang tidak jumud dan ketat. Prinsip asasnya adalah keharusan bermuamalah selagi mana tiada dalil yang menegah atau mengharamkannya. Ini selaras dengan kaedah: “Asal hukum sesuatu adalah harus.”

Dalil ini menjadi asas kepada sesuatu transaksi, aktiviti dan pekerjaan. Maka hukum asal bagi sesuatu pekerjaan adalah harus. Oleh itu, keharusan dalam alam pekerjaan amat luas. Manakala keharaman hanya terhad pada perkara yang memang jelas ditegah dalam Islam. Maka hukum bekerja dalam syarikat milik bukan Muslim adalah harus jika aktiviti perniagaannya adalah harus.

Syarikat biskut, syarikat kuih, kedai kain, kedai kasut, kedai perabot, kedai runcit, syarikat kecantikan, syarikat telekomunikasi dan sebagainya ialah contoh aktiviti perniagaan yang harus.

Hukum Berdasarkan Jenis Perniagaan Bukan Jenis Pekerjaan

Keharusan tersebut berasaskan kepada aktiviti perniagaan. Apabila aktiviti perniagaan itu harus, maka hukum bekerja dalam syarikat tersebut adalah harus. Jika aktiviti perniagaan itu haram, maka hukum bekerja dalam syarikat tersebut adalah haram. Contohnya syarikat arak.

Seperti kita sedia maklum bahawa arak ialah produk yang tidak halal diminum. Walaupun pekerjaaannya sebagai kerani di kilang arak, hukumnya haram kerana produk perniagaan ialah benda yang haram.

Jadi samalah juga dalam syarikat judi seperti sport toto, nombor ekor dan sebagainya. Judi itu haram, maka haram bekerja di syarikat judi walaupun pemilik syarikat judi itu bergelar tuan haji. Pekerjaan sebagai kerani asalnya adalah harus, namun jika pekerjaan sebagai kerani di syarikat arak, maka hukumnya adalah haram. Pekerjaan sebagai pemandu lori adalah harus, namun jika ia bekerja sebagai pemandu lori di kilang arak yang mana kerjanya adalah menghantar arak maka hukum kerjanya adalah haram. Tidakkah dalam hadis Nabi s.a.w. ada disebut tentang laknat Allah terhadap golongan yang menghantar arak?

bekerja-di-syarikat-nonmuslim-1

Di Pejabat Ada Tokong

Bagaimana kalau sekiranya di tempat kerja itu ada tokong? Majikan pula setiap hari membuat upacara menyembahnya. Dia seorang yang kuat mengamalkan agamanya. Bolehkah orang Islam bekerja di situ?

Harus atau haram satu-satu pekerjaan tidak dikira berdasarkan pemilik syarikat. Hatta jika pemilik kilang arak adalah seorang yang bergelar tuan haji sekalipun, hukumnya tetap haram. Manakala jika pemilik syarikat seorang kafir, biarpun setiap hari dia melakukan upacara hormat dan sembah kepada tuhannya di pejabatnya, bekerja di syarikat tersebut tetap harus selagi perniagaannya adalah harus. Maka, amalan dan kepercayaan pemilik syarikat tidak menjejaskan hukum keharusan bekerja di syarikat tersebut.

Dalam aspek muamalah, Nabi sendiri berniaga dengan masyarakat yang berbeza agama. Para sahabat berjual-beli dengan golongan yang berbeza agama. Bahkan Nabi menjalankan transaksi gadaian dengan orang Yahudi. Tindakan Nabi dan para sahabat memberi isyarat jelas tentang keharusan muamalat dengan orang bukan Islam.

Pekerjaan yang Harus Boleh Jadi Haram

Bagaimana pula sekiranya majikan tidak membenarkan kita solat dalam waktu bekerja?

Pekerjaan yang harus tersebut akan bertukar menjadi tidak harus jika kewajipan agama fardu tidak dapat dilaksanakan. Contohnya ada syarikat yang melarang pekerja Muslimnya mendirikan solat Zohor atas alasan ia menganggu kelancaran dan operasi syarikat. Walhal, menjaga agama merupakan maqasid (matlamat) yang pertama berbanding menjaga harta. Jadi menjaga agama menjadi keutamaan yang mesti dipenuhi. Maka kewajipan solat mestilah diutamakan berbanding perintah bos yang menyuruh meninggalkan solat fardu.

Begitu juga dalam kes syarikat yang melarang pekerjanya memakai pakaian yang menutup aurat. Perintah menutup aurat wajib diutamakan. Jika sekadar arahan agar tidak melaksanakan solat Duha, itu tidak mengapa untuk diikuti. Solat Duha hukumnya sunat, bukannya wajib. Maka boleh dikorbankan perkara sunat bagi mencari rezeki dan menjaga amanah pekerjaan.

Tidak Wajar Berhenti Kerja

Apa pula pendapat ustaz tentang kawan saya yang berhasrat untuk berhenti kerja. Dia beranggapan bahawa bekerja di sini tidak berapa berkat kerana bermajikankan orang bukan Islam.

Apabila sesuatu pekerjaan adalah harus, maka hasil pendapatan juga adalah halal. Apabila halal, maka ia harus digunakan. Keberkatan pula akan hadir jika kita menjadi pekerja yang amanah dengan tugasan kita. Kita tidak curi tulang, ponteng kerja, mengambil barang syarikat dan sebagainya. Kalau ada kewajipan zakat, kita berzakat. Jika ada lebihan harta, kita pula bersedekah. Maka ketika itu, akan hadir keberkatan dalam pendapatan dan harta yang kita miliki.

Hakikatnya, keberkatan ialah kebaikan yang datang daripada Allah. Apabila kita mematuhi perintah-perintah Allah, maka kebaikan akan melimpah. Oleh sebab itu, sikap segelintir Muslim yang ingin berhenti bekerja dengan syarikat milik orang bukan Muslim apabila insaf dan bertaubat kadang-kadang agak kurang tepat. Kurang tepat jika ia menyakini bahawa pendapatannya haram atau syubhat kerana taukenya seorang bukan Muslim. Kita tidak perlu bimbang sama ada bos seorang Muslim atau tidak. Apa yang penting, pekerjaannya halal dalam agama.

Kesimpulannya, Muslim boleh bekerja dengan mana-mana syarikat milik bukan Muslim. Selagi syarikat itu menjalankan perniagaan yang harus dalam Islam, maka pekerjaannya juga adalah harus.

Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir (al-Jarumi)

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir

Lulusan diploma KUSZA, Sarjana Muda Universiti al-Azhar, Kaherah dan Ijazah Sarjana dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Juga pengalaman pengajian di Pondok Pasir Tumboh. Kini pensyarah di UIAM. Boleh dihubungi di e-mel (nidiium@yahoo.com).

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  

  

  

Kembali ke atas