Menu

 

A+ A A-

RUKHSAH TERIMALAH SEDEKAH DARIPADA ALLAH

MUKADIMAH: Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menyukai rukhsah-Nya dilaksanakan sebagaimana Dia membenci maksiat-Nya dilakukan.” (Riwayat Ahmad)

Hadis di atas menjelaskan bahawa Allah menyukai perkara yang boleh mempermudahkan hamba-Nya dalam urusan agama dan menggalakkan kita supaya mengambil keringanan (rukhsah) daripada-Nya. Atas dasar ini, mengambil rukhsah kerana keuzuran merupakan tanda waraknya seseorang hamba-Nya.

Namun ramai lagi dalam masyarakat yang salah anggap bahawa mengambil rukhsah sebagai tanda kurang mantap atau kurang kuat agamanya. Walhal Rasulullah memberi peringatan terhadap orang yang tidak menerima rukhsah agama dengan sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak menerima rukhsah Allah, maka ditimpakan ke atasnya dosa sebesar Bukit Arafah!” (Riwayat Ahmad)

Maksud Rukhsah

Soalan:

Boleh ustaz terangkan apakah itu rukhsah?

Jawapan:

Rukhsah dari segi bahasa bermaksud kemudahan dan keringanan. Ia perkataan Arab yang berlawanan dengan perkataan tashdid yang bermaksud menyusahkan. Adapun menurut istilah, rukhsah ialah hukum yang berlawanan dengan hukum yang asal disebabkan adanya keuzuran tertentu. Hukum asal disebut ‘azimah. Contoh rukhsah antaranya tayamum sebagai pengganti wuduk, solat jamak dan qasar dalam permusafiran, makan darah dan bangkai ketika darurat dan lain-lain lagi.

Jadual perbandingan antara hukum rukhsah dan azimah:

rukhsah-sedekah-dari-allah-2

Penting Mempelajari Rukhsah

Soalan:

Ada sesetengah orang merasakan dirinya mampu melakukan segala perintah Allah. Dalam keadaan darurat pun dia akan melakukan amalan yang sempurna. Perlukah dia mempelajari hukum rukhsah ini?

Jawapan:

Syaitan senantiasa berusaha menggoda manusia agar jangan mematuhi kehendak agama. Mangsa utama godaan syaitan ialah manusia yang jahil dengan selok belok agama. Sebaliknya syaitan sangat takut kepada orang yang berilmu.

Maka seorang hamba yang memahami konsep rukhsah akan terhindar daripada tipu daya syaitan yang menyesatkan. Akibat tidak memahami konsep rukhsah, akhirnya timbullah beberapa gejala berikut:

1. Hidupnya dalam cengkaman was-was syaitan.

2. Suka meninggalkan perintah Allah jika dalam kesulitan.

3. Timbul anggapan Islam agama yang menyusahkan.

4. Memandang remeh sesetengah amalan orang Islam yang lain.

5. Menjadi punca perpecahan masyarakat.

Hukum Rukhsah

Soalan:

Adakah tindakan mengambil rukhsah ini sunat atau sekadar harus?

Jawapan:

Para ulama berbeza pendapat dalam hal ini. Pendapat yang lebih kuat ialah hukumnya harus sahaja mengambil rukhsah. Oleh sebab itu, kita dibolehkan untuk memilih antara mengambil rukhsah atau tetap melakukan hukum ‘azimah.

ANTARA HUJAHNYA: Pernah terjadi pada zaman Nabi, dalam suatu perjalanan ada sahabat yang puasa dan ada pula yang tidak dan ada yang solat tamam (sempurna) dan ada pula yang solat qasar. Namun mereka tidak mempertikaikan antara satu sama lain.

Rukhsah pada asalnya bertujuan untuk memberi keringanan kepada mukalaf. Mereka disuruh untuk memilih antara mengambil ‘azimah atau rukhsah. Sekiranya kita disuruh mengambil rukhsah, adakah hukum suruhan itu wajib atau sunat? Jika begitu, maka ia bukan rukhsah lagi tetapi menjadi ‘azimah. Tambahan pula jika berkumpul antara suruhan dengan rukhsah, maka itu bermakna berkumpul dua perkara yang bertentangan.

ruskah-sedekah-dari-allah-1

Kesimpulan:

1. Hukum dalam Islam terbagi dua:

i. Azimah iaitu hukum asal ke atas setiap mukalaf

ii. Rukhsah iaitu hukum keringanan kerana ada keuzuran atau darurat.

2. Pada asalnya mengambil hukum rukhsah adalah harus, tetapi Islam sangat menggalakkan kita mengambilnya kerana Islam adalah agama yang mudah dan tidak menyusahkan umat.

3. Namun demikian walaupun ada rukhsah, kita dibolehkan mengambil ‘azimah. Para ulama berbeza pendapat tentang yang mana antara kedua-duanya yang lebih afdal.

4. Hadis di atas menunjukkan bahawa mengambil rukhsah adalah lebih afdal. Oleh sebab itu kita jangan memperleceh orang yang mengambil rukhsah, apalagi sehingga menuduh kononnya kurang mantap Islamnya ataupun tidak mengikut sunnah Nabi.

Mohd Azrul Ismail

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.5


Ustaz Mohd Azrul Ismail

Sarjana Muda Usuluddin (Hadis dan Ulum Hadis) Universiti al-Azhar. Berguru secara langsung dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani, Syeikh Dr. Yusri Rusydi al-Sayyid Jabr al-Hasani dan Syeikh Dr. Saad Jawish (ketiga-tiganya pakar hadis Universiti al-Azhar) Kini editor syariah di Telaga Biru Sdn. Bhd.

Kembali ke atas