MEMBUDAYAKAN AMALAN BERJIMAT
PENGENALAN UNTUK PEMBACA GEN-Q, KOLUM INI ABANG ABU KHASKAN SEBAGAI PANDUAN UNTUK ‘MENDIDIK JIWA KEWANGAN’ KITA. UNTUK PERMULAAN, ABANG ABU INGIN MENGAMBIL KESEMPATAN INI UNTUK MENGAJAK ANDA SEMUA TIDAK KIRA TUA ATAU MUDA BERSAMA-SAMA MEMBUDAYAKAN SIKAP BERJIMAT DAN MENABUNG AGAR MENJADI MASYARAKAT CEMERLANG.
Rencana ini adalah siri yang pertama dari Abang Abu untuk anda. Banyak lagi idea baru serta teknik kewangan yang unik akan Abang Abu kongsikan dalam rencana akan datang pula. Pastikan anda mengamalkan apa yang diterangkan di kolum ini kerana ia unik dan akan memberikan kesan yang efektif dalam hal-hal kewangan anda. Abang Abu percaya jika anda amalkan 12 aktiviti yang Abang Abu terangkan nanti, anda akan berjaya untuk membudayakan sifat berjimat dalam diri anda. Untuk kali ini, Abang Abu terangkan 6 aktiviti dahulu:
1. Pastikan perbelanjaan tidak melebihi pendapatan anda.
Ini adalah langkah paling penting dalam membudayakan sikap berjimat. Anda harus memastikan perbelanjaan bulanan anda tidak melebihi pendapatan anda. Langkah ini akan memastikan anda mempunyai wang untuk disimpan.Tidak kira anda mendapat bantuan biasiswa atau dibiayai oleh kedua ibu bapa anda. Yang penting tidak berbelanja daripada apa yang anda dapat setiap bulan.
2. Mula menyimpan.
Mulakan daripada saat anda membaca rencana ini untuk menabung. Sikap menangguh adalah musuh utama dalam menjana kekayaan. Anda boleh memulakan dengan hanya menyediakan tabung di rumah dan masukan semua duit duit syiling yang anda bawa pulang. Memulakan aktiviti ini adalah mustahak dalam membina budaya berjimat.
3. Jangan membeli dengan kredit yang tinggi.
Antara sebab utama yang menyebabkan orang yang berpendapatan tinggi juga menghadapi masalah kewangan adalah disebabkan membeli dengan mengunakan kredit.
Ini adalah kerana pembelian kredit memerlukan pembayaran faedah (interest) yang tinggi.
Bukan sahaja faedah yang tinggi, malahan yuran denda lewat, yuran tahunan dan pelbagai yuran akan menjadikan anda membayar wang yang sepatutnya anda boleh simpan. Dengan kemudahan inilah ramai belia menjadi muflis akibat tidak cekap menggunakan kredit ini.
4. Bincang pasal duit.
Ramai di kalangan masyarakat Melayu tidak berbincang mengenai topik duit bersama keluarga. Ini menjadikan sesebuah keluarga tidak mempunyai matlamat kewangan dan tidak memahami
keadaan kewangan.
Dengan mengamalkan sifat berbincang akan membuka peluang untuk anda serta keluarga memahami keadaan kewangan keluarga serta boleh membincangkan cara-cara mencapai matlamat. sediakan satu hari dalam seminggu untuk duduk berbincang mengenai kewangan. Mulakan grup kewangan anda sendiri.
5. Jangan belanja untuk menunjuk.
Berhenti daripada berbelanja setakat untuk menunjukkan pada orang lain. Ramai yang membeli sesuatu bukan untuk digunakan atau diperlukan sebaliknya kerana ingin menunjuk. ini adalah satu sifat yang akan membawa bencana lebih-lebih lagi bagi orang yang tidak berkemampuan untuk membelinya. Mereka akan meminjam atau menggunakan wang kredit untuk membeli. Amalkan sifat hanya membeli jika andabetul-betul memerlukan dan bukan setakat anda inginkan.
6. Pantau keadaan kewangan anda.
Mula ambil perhatian akan keadaan keseluruhan kewangan anda sebulan sekali sekurang-kurangnya. Berapakah perbelanjaan dan di manakah anda belanjakan wang tersebut? Apa matlamat menyimpan anda untuk tahun ini atau bulan ini? Berapakah hutang yang ada? Berkurangan atau tidak setiap bulan? ini akan memberikan anda gambaran keseluruhan keadaan kewangan anda serta memberikan anda idea dalam apa yang harus anda lakukan seterusnya. Baik. setakat ini dahulu untuk kali ini. Abang Abu akan sambung dan menerangkan 6 lagi aktiviti utama yang perlu anda lakukan demi membudayakan sikap berjimat.
Abang Abu
Sumber artikel daripada majalah Gen Q isu 7
abang Abu
(Penganalisis Kewangan &
Personaliti Radio)