Menu

 

A+ A A-

PATUNG PERHIASAN DALAM RUMAH

Unsur Syirik

Apa hukum meletakkan patung perhiasan dalam rumah? Di rumah saudara saya terdapat banyak perhiasan dalaman berbentuk patung yang dibelinya dari luar Negara yang dilawati sebagai kenangan.

Jawapan :

Antara adab menghias rumah ialah tidak dibenarkan wujudnya unsur-unsur syirik seperti patung. Bahkan Rasulullah pernah melarang hal ini dalam pesanannya kepada Aisyah dengan maksudnya: “Sesungguhnya malaikat tidak akan masuk ke rumah yang di dalamnya ada patung.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Patung Nabi Sulaiman

Namun menurut saudara saya itu, al-Quran sendiri membenarkannya sebagaimana patung-patung yang dibuat untuk Nabi Sulaiman.

Jawapan :

Berkaitan dengan patung yang terdapat dalam pemerintahan Nabi Sulaiman, ada baiknya jika kita bincangkan ayat berkenaan supaya terhindar silap faham.

Firman Allah mafhumnya: “Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang ia kehendaki berupa bangunan-bangunan yang tinggi, tamathil (patung atau gambar) dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya. (Setelah itu Kami perintahkan): ‘Beramallah kamu wahai keluarga Dawud untuk bersyukur!’ Dan sememangnya sedikit sekali antara hamba-Ku yang bersyukur.” (Surah Saba’: 13)

Tafsiran Ulama

Ada dua tafsiran berkenaan ayat ini dalam kalangan ulama:

1.Memang benar patung ataupun gambar dibenarkan dalam syariat Nabi Sulaiman. Namun amalan ini diharamkan dalam syariat Nabi Muhammad s.a.w.

2.Patung ataupun gambar yang dimaksudkan hanya merujuk kepada sesuatu yang tidak memiliki roh seperti pokok, laut dan pemandangan bukannya haiwan ataupun manusia.

Tafsiran Pilihan

Dengan pentafsiran kedua ini, maka syariat Nabi Sulaiman menyamai syariat Nabi Muhammad. Bahkan hal ini selari dengan realiti dakwah para nabi sejak zaman berzaman iaitu menghalang manusia daripada menyembah patung berhala.

Perhatikan ucapan Nabi Ibrahim yang dirakamkan dalam al-Quran: “Ketika Ibrahim berkata kepada bapanya dan kaumnya: ‘Apakah hakikatnya patung-patung ini yang kamu bersungguh-sungguh memujanya?’”(Surah al-Anbiya’: 52)

Terdapat banyak hadis yang menekankan pengharaman gambar dan patung. Rasulullah bersabda maksudnya:

“Sesungguhnya orang yang paling berat seksaannya pada hari kiamat ialah orang yang membuat ukiran atau memahat patung ini.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sabda Baginda lagi dalam kesempatan lain yang bermaksud: “Sesungguhnya para pelukis ini akan dikenakan azab pada akhirat. Lalu akan dikatakan kepada mereka: ‘Berikanlah nyawa pada apa yang kamu jadikan ini!’” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Apabila ditanyakan kepada Ibn Abbas tentang gambar yang dilukis, beliau mengatakan bahawa di akhirat nanti Allah akan menyuruh sesiapa yang melukis gambar yang memiliki roh agar meniupkan nyawa kepada gambar itu, sedangkan dia tidak akan dapat melakukannya.

Lanjutan itu Ibn Abbas berkata: lukislah gambar pokok atau apa jua yang tidak mempunyai roh.”

Berpandukan penjelasan oleh Ibn Abbas ini, harus hukumnya perhiasan berbentuk lukisan ayat-ayat suci al-Quran, gambar pemandangan seperti laut, perkampungan, pohon di hutan, sungai dan benda yang tidak bernyawa.

Anak Patung

Bagaimana pula dengan hadis yang menyebut bahawa Aisyah, isteri Nabi pernah bermain dengan anak patung di dalam rumah tetapi Nabi tidak melarangnya?

Jawapan :

Ya, hadis itu sahih riwayat Muslim.

Apabila kita mengkaji lanjut tentang larangan membuat patung dan melukis gambar makhluk yang mempunyai roh, jelaslah kepada kita bahawa faktor larangannya kerana perkara ini dibimbangkan menjurus pada kesyirikan dan pemujaan serta usaha menandingi ciptaan Allah.

Unsur ini tidak ada dalam patung permainan kanak-kanak. Menurut Muhammad Ali al-Sabuni dalam Rawa‘i al-Bayan, patung-patung permainan anak-anak perempuan dibolehkan dalam Islam kerana permainan seperti ini boleh mengajar mereka cara mendidik anak-anak mereka kelak. Bahkan dalam hadis lain, Nabi membenarkan gambar atau lukisan pada bantal, selimut,tempat duduk atau pada tempat-tempat yang tidak dimuliakan.

Gambar Keluarga

Bagaimana pula hukum meletakkan gambar keluarga di dinding rumah?

Jawapan :

Hukum meletakkan gambar keluarga adalah harus dengan syarat:

a.Tiada pendedahan aurat.

Gambar akan menjadi tatapan umum para tetamu yang bukan mahram.

b.Tiada unsur syirik. Contoh: Gambar ahli keluarga yang masih kafir dengan perhiasan salib pada mereka. Jangan salah faham, gambar mereka itu sendiri tidak salah.

Beza Lukisan dan Gambar Foto

Kenapa boleh berbeza hukum? Lukisan manusia haram tetapi gambar foto manusia pula dibolehkan.

Jawapan :

Gambar yang diambil secara fotografi adalah harus kerana gambar itu dihasilkan dengan tujuan sebagai kenangan. Walhal lukisan pula bertujuan untuk menyamai atau menandingi ciptaan Allah.

Kata Syeikh Muhammad Ali Sais dalam Tafsir Ayat al Ahkam: “Pengharaman lukisan adalah kerana disebabkan seseorang pelukis itu berusaha mencipta suatu gambaran yang menandingi ciptaan Allah.

“Hal ini berbeza daripada gambar fotografi yang terhasil daripada tindak balas cahaya yang mampu dilakukan oleh sesiapa sahaja. Walhal lukisan hanya mampu dilakukan oleh seseorang yang berkemahiran sahaja”.

Wallahu a‘lam.

 

Dr. Hj. Zahazan Mohamed

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 11

 


 

Ustaz Dr Hj Zahazan Mohamed

Dilahirkan di Melaka, mendapat pendidikan awal di Kolej Islam Kelang, kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Yarmouk, Jordan. Mendapat Ijazah Sarjana (MA) dalam Bahasa Arab di Universiti Malaya, dan meneruskan pelajaran ke peringkat Ph.D. Berpengalaman dalam memimpin kursus dan membimbing jemaah haji dan umrah yang bertauliah dari Lembaga Tabung Haji. Sering dijemput ceramah agama di samping sering muncul dalam program radio dan tv. Aktif dalam bidang penerbitan bahan ilmiah di beberapa akhbar dan majalah.

Terbaharu, Dr. Zahazan sedang menjayakan pengajian tafsir “KULTUM” (Kuliah Tafsir Tujuh Minit) setiap hari di Surau Firdaus, Saujana Damansara. Satu ayat akan dikupas pada setiap hari. Pembaca boleh mengikuti beliau melalui Youtube dengan carian “kultum ust zahazan”.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

  TBBK1057 TBBK1157TBBK1182

   TBBK1052TBBK1297TBBK1126

    TBBK1214TBBK1052

Kembali ke atas