Menu

 

A+ A A-

MENCINTAI ILMU TANPA MENGIRA USIA

KUMPULAN kenderaan bergerak dengan pantas dari Yathrib (Madinah) menuju ke Makkah kerana didorong rasa kerinduan kepada seseorang yang dicintai. Mereka sudah berjanji kepada Rasulullah s.a.w. untuk bertemu. Mereka rindu akan detik-detik indah apabila mereka dapat bertemu dengan Nabi Muhammad s.a.w. Keinginan mereka untuk meletakkan tangan di atas tangan Baginda begitu membuak-buak. Mereka akan berbaiah untuk sentiasa mendengar dan taat pada perintah Baginda serta berjanji untuk saling bersatu padu dan bantu membantu.

Dalam kumpulan itu, ada seorang lelaki tua yang juga pemimpin kaum membawa anak lelaki yang masih kecil di belakangnya. Dia meninggalkan sembilan orang anak perempuannya di Yathrib. Dia tidak memiliki anak lelaki selain yang kecil itu. Orang tua itu sangat berharap agar anaknya dapat menyaksikan baiah dengan Rasulullah s.a.w. dan tidak terlepas dari hari agung lagi bersejarah yang dianugerahkan itu. Lelaki tua itu bernama Abdullah ibn Amr al-Khazraji al-Ansari. Anaknya pula bernama Jabir ibn Abdullah al-Ansari.

mencintai-ilmu-tanpa-kira-usia-1

Berguru dengan Rasulullah

Keimanan bersinar di hati Jabir bin Abdullah walaupun beliau masih kecil. Cahaya islam menyentuh jiwanya yang halus seperti titisan hujan yang menyentuh kelopak bunga, kemudian berkembang lalu menghasilkan bau harum yang semerbak. Hubungan Jabir dengan Rasulullah erat sejak usianya masih muda. Ini dapat ditunjukkan apabila beliau telah berbaiah dengan Baginda. Malah, ketika kuku-kukunya masih halus; masih belum baligh lagi, beliau telah berguru dengan Nabi Muhammad s.a.w. Ketika Rasulullah s.a.w. datang berhijrah ke Madinah, anak kecil itu turut berguru dengan Nabi s.a.w yang membawa petunjuk dan rahmat. Beruntunglah Jabir bin Abdullah al-Ansari kerana menjadi sebahagian orang utama yang mendapat ilmu hasil didikan Nabi Muhammad s.a.w.

Dia menjadi penghafal al-Quran untuk kepentingan manusia dan menjadi periwayat hadis Rasulullah s.a.w. Musnad Jabir bin Abdullah yang terkumpul adalah sebanyak 1540 hadis. Semua hadis itu dihafal oleh seorang murid yang bijak pandai iaitu Jabir bin Abdullah setelah meriwayatkannya daripada Nabi Muhammad s.a.w. yang agung.

Jabir bin Abdullah tidak mengikuti perang Badar dan perang Uhud bersama-sama Rasulullah s.a.w. kerana beliau masih kecil. Ayahnya memerintahkannya untuk tinggal bersama sembilan orang saudara perempuannya kerana tiada orang yang menjaga mereka.

mencintai-ilmu-tanpa-kira-usia-2

Keajaiban Membayar Hutang

Jabir bin Abdullah menceritakan kisahnya: “Pada suatu malam menjelang perang Uhud, ayah memanggilku dan berkata: ‘Sesungguhnya aku merasakan diriku akan terbunuh bersama sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. Demi Allah, sesungguhnya aku memiliki hutang kepada seseorang. Kamu bayarkan hutangku itu. sayangilah saudara perempuanmu dan berikan nasihat kebaikan kepada mereka.’

“Ketika waktu sudah pagi, ayahku menjadi orang pertama yang terbunuh dalam perang Uhud. Setelah pengebumiannya, aku menemui Nabi Muhammad s.a.w. dan berkata: ‘Wahai Rasulullah! Ayahku telah membebankan hutangnya kepadaku. Aku tidak memiliki apa-apa untuk membayarnya kecuali apa yang dapat dipetik dari pohon kurmanya. Kalau aku menggunakan pohon tersebut untuk membayar hutangnya, aku akan menyelesaikannya selama beberapa tahun. Sedangkan saudaraku tidak memiliki harta untuk nafkah kecuali pohon itu.’"

mencintai-ilmu-tanpa-kira-usia-3

“Rasulullah s.a.w. berdiri dan pergi bersamaku ke tempat simpanan kurma kami. Rasulullah s.a.w berkata kepadaku: ‘Panggillah orang yang memberi hutang kepada ayahmu.’ Maka aku pun memanggil mereka. Baginda terus sahaja membayar hutang itu sehingga dengan izin Allah, selesailah semua hutang ayahku dengan kurma itu. Namun aku melihat simpanan kurma seperti sedia kala seakan-akan tidak berkurang sebiji pun."

Ustaz Mohamad Wahid Hanif
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No. 8


Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif

Lulusan BA (hons) Usuluddin (Akidah dan Falsafah) di Universiti al-Azhar, Mesir. Antara guru beliau Syeikh ‘Ali Jumaah (mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki. Antara buku yang beliau hasilkan iaitu buku mengaji Kaedah al-Matien bersama Ustaz Zamri Zainuldin. Kini beliau bertugas sebagai Editor Majalah di syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas