Menu

 

A+ A A-

NABI YANG DITUNGGU KEDATANGANNYA RIBUAN TAHUN

APAKAH tujuan ramalan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. yang disebut oleh para nabi terdahulu?

Nabi Muhammad s.a.w. ialah nabi yang amat mulia. Kelahiran Baginda s.a.w. sudah diramal dan ditunggu selama ribuan tahun oleh para nabi dan rasul sebelum Baginda. Ramalan kelahiran Mabi Muhammad mengandungi banyak hikmah, antaranya: Menunjukkan sifat Maha Penyayang Allah kepada umat akhir zaman dengan kelahiran seorang Rasul yang bakal menyelamatkan mereka daripada kesesatan dan membimbing mereka ke jalan kebenaran, seperti yang disebutkan dalam surah al-Baqarah ayat 129.

Menunjukkan kekuasaan Allah sebagai Tuhan yang tidak terikat dengan masa kerana ramalan tersebut berlaku semenjak puluhan ribu tahun lagi. Menunjukkan kesatuan para nabi dan rasul dengan panji perjuangan tauhid dan berita kelahiran Nabi akhir zaman, seperti yang terdapat dalam surah Ali ‘Imran ayat 81. Mengangkat darjat dan kemuliaan umat Nabi Muhammad s.a.w. sebagai umat pilihan.

Apakah contoh ramalan tersebut berdasarkan al-Quran?

Kelahiran nabi sudah disebut dalam al-Quran, antaranya: Firman Allah s.w.t., maksudnya: “Azab-Ku akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki, dan rahmat-Ku meliputi setiap sesuatu. Maka, Aku akan menentukannya bagi orang yang bertakwa, yang memberi zakat, serta orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami.” (Surah al-A‘raf 7: 156)

Allah s.w.t. berfirman lagi yang bermaksud: “Iaitu orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w.) Nabi yang ummiy, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat sifatnya) alam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka melakukan perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara yang mungkar, dan Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk, dan dia juga menghapuskan daripada mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka, orang yang beriman kepadanya, memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut cahaya yang diturunkan kepadanya (al-Quran), mereka itulah orang yang berjaya.” (Surah al-A‘raf 7: 157)

Begitu juga ada disebutkan dalam surah al-Saff ayat 6, maksudnya: “(Ingatlah juga peristiwa) ketika (Nabi) Isa ibn Maryam berkata: ‘Wahai Bani Israel, sesungguhnya aku adalah pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu kitab Taurat, dan memberikan khabar gembira dengan kedatangan seorang rasul yang akan datang sesudahku yang bernama Ahmad.’ Maka, tatkala Rasul itu datang kepada mereka membawa bukti-bukti yang nyata, mereka berkata: ‘Ini adalah sihir yang nyata.’”

Adakah ramalan itu juga disebut dalam hadis?

Ya, ada disebutkan. Dalam hadis pula, Abu Umamah pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang asal kewujudan Baginda: “Wahai Nabi Allah, bagaimanakah keadaan pertama kejadianmu?” Rasulullah bersabda: “(Kelahiran dan pengutusanku adalah berdasarkan) doa Ibrahim, juga perkhabaran gembira (tentang kelahiranku) oleh Isa dan mimpi ibuku (Aminah) yang melihat keluar daripadanya satu cahaya yang terang-benderang menerangi istana raja Syam.” (Musnad Ahmad, al-Mustadrak al-Hakim dan Dala’il al-Nubuwwah oleh al-Baihaqi)

Apakah maksud kelahiran dan perutusan Nabi s.a.w. berdasarkan doa Nabi Ibrahim?

Maksud doa Nabi Ibrahim a.s. ialah doa baginda sesudah selesai membina Kaabah. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Wahai Tuhan kami, utuslah kepada mereka seorang Rasul daripada kalangan mereka sendiri yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firman-Mu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (al-Quran) serta hikmah (hukum-hakam yang terdapat dalamnya) dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (daripada syirik dan maksiat). Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Baqarah 2: 129)

Apakah maksud kelahiran dan perutusan Nabi s.a.w. berdasarkan perkhabaran gembira oleh Nabi Isa a.s.?

Maksud perkhabaran gembira oleh Nabi Isa a.s. pula berdasarkan firman Allah dalam surah al-Saff ayat 6 yang bermaksud: “(Ingatlah juga peristiwa) ketika (Nabi) Isa ibn Maryam berkata: ‘Wahai bani Israel, sesungguhnya aku pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran kitab yang diturunkan sebelumku iaitu kitab Taurat dan memberikan khabar gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang sesudahku yang bernama Ahmad.’ Maka, tatkala Rasul itu datang kepada mereka membawa bukti-bukti yang nyata, mereka berkata: ‘Ini adalah sihir yang nyata.’”

Apakah maksud kelahiran dan perutusan Nabi s.a.w. berdasarkan mimpi ibu Baginda?

Maksud mimpi ibu Baginda pula sebagaimana yang disebut dalam Dala’il al-Nubuwwah oleh Imam al-Baihaqi berdasarkan firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 45-46 yang bermaksud: “Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu), dan pembawa berita gembira (kepada orang yang beriman), serta pemberi peringatan (kepada orang yang ingkar). Dan juga sebagai penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada agama Allah dengan izin-Nya dan sebagai lampu (cahaya) yang menerangi.”

Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No. 2


Abdullah Bukhari Abdul Rahim

Sarjana Usuluddin (Tafsir al-Quran), UM. Kini pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Tulisan beliau kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian. Tumpuan penulisan beliau ialah kefahaman dan interaksi dengan al-Quran. Dekati beliau di abdullahbukhari.blogspot.com. 

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas