Menu

 

A+ A A-

PEMULAUAN KELUARGA RASULULLAH

SOALAN: Selain penganiayaan fizikal, adakah pihak Musyrikin Quraisy mempunyai strategi lain bagi menghalang perkembangan Islam di Makkah?

Jawapan

Sudah pasti ada. Mereka tidak mudah berpuas hati dan berputus asa terhadap kaum Muslimin. Tidak cukup dengan siri penyeksaan ke atas kaum Muslimin sebelum ini, mereka merancang pula satu agenda lain untuk menghina kaum Muslimin. Kali ini, mereka memulaukan keluarga Rasulullah dan umat Islam di Makkah. Pemulauan tersebut diputuskan oleh Musyrikin Quraisy setelah melihat fenomena perkembangan Islam yang semakin giat terutama sekali selepas pengislaman Sayidina Umar dan Hamzah.

Kemarahan Quraisy terus membara apabila Abu Talib juga berjaya mendapat jaminan serta sokongan daripada keluarga Rasulullah. Mereka terdiri daripada Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib untuk menjaga dan mempertahankan Rasulullah daripada ancaman bunuh pihak Musyrikin. Langkah berjaga-jaga yang diambil oleh Abu Talib ini berikutan beberapa tindakan agresif Musyrikin yang hampir menyebabkan Rasulullah terbunuh. Contohnya, tindakan Uqbah bin Abi Mu’ayt yang menjerut leher Rasulullah dengan selendangnya serta cubaan Umar membunuh Rasulullah sebelum beliau mendapat hidayah.

Agenda Pemulauan

SOALAN: Bagaimanakah cara pemulauan tersebut dilaksanakan?

Jawapan

Musyrikin Makkah berjanji untuk memutuskan urusan dengan Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib dalam semua urusan kehidupan merangkumi perkahwinan, persemendaan, perniagaan, hubungan harian dan sebagainya.

Perjanjian itu menetapkan agar sebarang urusan dengan kedua keluarga Rasulullah itu diputuskan sama sekali selagi mereka tidak menyerahkan Rasulullah kepada Musyrikin Makkah untuk dibunuh. Perjanjian tersebut telah ditulis oleh Baghidh bin Amir bin Hasyim dan digantung di dinding Kaabah. Rasulullah kemudiannya mendoakan kemusnahan kepada penulis perjanjian itu dan akibatnya, tangan Baghidh menjadi lumpuh.

Perjanjian tersebut berlaku pada tahun ketujuh kenabian dan memberikan kesan yang sangat teruk kepada Bani Hasyim serta Bani Abdul Mutalib. Walau bagaimanapun, Abu Lahab yang juga ahli keluarga Rasulullah bersama keluarganya tidak terkesan kerana beliau menyebelahi Musyrikin Makkah. Keluarga Rasulullah yang terkesan terkepung dalam kawasan Abu Talib.

Tempoh Pemulauan

SOALAN: Berapa lamakah pemulauan ini berlaku dan bagaimanakah keluarga Rasulullah serta umat Islam mampu bertahan dalam kesukaran ini?

Jawapan

Pemulauan ini berlanjutan sehingga tiga tahun. Keluarga Rasulullah berada dalam saat yang sangat sukar sehingga mereka terpaksa makan daun dan kulit binatang. Sebarang bekalan makanan disekat daripada sampai kepada mereka. Sekiranya bekalan tersebut sampai kepada mereka sekalipun, ia dijual dengan harga yang sangat tinggi sehingga mereka tidak mampu membelinya.

Selain itu, Abu Talib juga mengambil langkah berjaga-jaga yang lebih teliti dalam mempertahankan Rasulullah. Beliau selalu mengarahkan Rasulullah tidur di atas katilnya serta mengarahkan ahli keluarganya tidur di atas katil Rasulullah bagi mengelakkan sebarang percubaan bunuh ke atas Rasulullah. Sebenarnya, ramai juga penduduk Makkah yang tidak bersetuju dengan pemulauan yang zalim ini. Namun begitu, mereka tidak berani menentang atau membantah secara terang-terangan. Antara penduduk Makkah yang bersimpati kepada keluarga Rasulullah dan umat Islam ialah Hisyam bin Amru daripada Bani Amir bin Lu’ay. Beliau banyak menyalurkan makanan kepada Bani Hasyim secara rahsia pada waktu malam.

Selain Hisyam, terdapat juga beberapa orang lain yang menyatakan simpati mereka kepada keluarga Rasulullah. Mereka ialah Zuhayr bin Abi Umayyah al-Makhzumi, al-Mat’am bin Adiy, Abi al-Bukhtariy bin Hisyam dan Zam’ah bin al-Aswad bin al-Muttalib.

Perjanjian Batal

SOALAN: Bagaimanakah perjanjian ini akhirnya terbatal?

Jawapan

Selepas mendapat persetujuan bersama antara enam individu yang disebutkan di atas, mereka memujuk penduduk Makkah agar membatalkan perjanjian tersebut. Tindakan mereka tidak dipersetujui oleh Abu Jahal.

Ketika pertelingkahan tentang perjanjian itu berlaku, Abu Talib sedang duduk di dalam Masjidil Haram. Beliau memberitahu penduduk Makkah bahawa Rasulullah menyatakan isi kandungan surat perjanjian yang mengandungi arahan menzalimi keluarga Baginda sudah musnah dimakan anai-anai kecuali kalimah Allah yang tertera padanya.

Al-Mat’am bin Adiy yang berhasrat mengoyakkan surat perjanjian tersebut terkejut kerana mendapati perkara yang disebut oleh Abu Talib benar-benar berlaku. Memang benar, anai-anai telah memakan semua bahagian surat tersebut kecuali perkataan “Dengan Nama-Mu Ya Allah”. Perkara ini tidak syak lagi adalah antara tanda kenabian Rasulullah yang senantiasa dibimbing wahyu.

Wallahu a‘lam.

ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.19


 

Abdullah Bukhari Abdul Rahim

Sarjana Usuluddin (Tafsir al-Quran), UM. Kini pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Tulisan beliau kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian. Tumpuan penulisan beliau ialah kefahaman dan interaksi dengan al-Quran. Dekati beliau di abdullahbukhari.blogspot.com. 

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas