Menu

 

A+ A A-

KEAJAIBAN MADU

MADU merupakan ubat yang telah digunakan sejak beberapa abad yang lalu untuk merawat pelbagai penyakit. Antaranya ulser, pengelupasan, jangkitan mata, tekak, penyembuhan luka, batuk dan berbagai-bagai lagi.

 Ia merupakan cairan manis yang berasal daripada nektar tanaman yang diproses oleh lebah pekerja menjadi madu dan tersimpan dalam sel-sel sarang lebah. Di Malaysia, lebah yang paling banyak diternak untuk menghasilkan madu ialah lebah tempatan (Apis cerana), lebah hutan (Apis dorsata) dan lebah Eropah (Apis Mellifera).

Manusia memanfaatkan madu sebagai makanan serta ubat. Pemeliharaan lebah untuk diambil madunya telah dilakukan oleh manusia sejak sekian lama. Ilmu tentang lebah dan pemeliharaannya dikenal sebagai apiari. Usaha penternakan lebah juga disebut dengan nama tersebut.

Beberapa jenis lebah memiliki sengat yang sebetulnya bersifat fatal bagi dirinya. Sengat ini dimanfaatkan oleh manusia dalam pengubatan serupa akupunktur yang dinamakan terapi lebah (apitherapy).

Dalam satu kelompok lebah atau disebut sebagai koloni, mempunyai tiga kasta iaitu lebah ratu, lebah betina (ia juga dikenali sebagai lebah pekerja) dan lebah jantan. Setiap kasta lebah mempunyai peranan atau tugas masing-masing.

Lebah ratu hanya seekor dalam setiap koloni dan mengawal semua kegiatan lebah betina dan lebah jantan. Komposisi kromosomnya diploid sehingga dapat menghasilkan keturunan. Badannya lebih besar kerana sejak masih dalam bentuk larva, ia diberi makan royal jelly yang kaya dengan khasiat. Tugas utamanya ialah berkahwin dan bertelur. Lebah ratu yang aktif mampu bertelur kira-kira 2,000 butir telur sehari. Jangka hayat lebah ratu ialah tiga tahun.

Lebah betina atau lebah pekerja mengumpulkan serbuk sari dan nektar. Madu merupakan produk hasil pengolahan makanan ini dalam tubuhnya dan disimpan dalam sarangnya sebagai makanan, termasuk untuk larva dan pupa. Ada juga lebah betina yang bertugas membersihkan sarang dan menjaga anak-anak lebah.

madu

Jangka hayat lebah pekerja ialah tiga bulan atau lebih sedikit. Lebah betina terbentuk tanpa melalui perkahwinan (partenogenesis) dan mandul (sterile) kerana hanya memiliki satu set kromosom (haploid).

Lebah jantan pula bertugas mengahwini lebah ratu dan akan mati setelah berkahwin. Lebah jantan merupakan lebah hasil perkahwinan (sehingga diploid) yang diberi makanan nektar dan madu biasa (bukan royal jelly). Terdapat juga lebah yang hidup menyendiri, tidak dalam kelompok. Lebah jenis ini disebut lebah soliter.

Allah s.w.t. berfirman mengenai tabiat lebah, maksudnya: “Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah, ‘Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang, pokok-pokok kayu dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah daripada segala jenis buah-buahan (dan bunga-bungaan), serta turutlah peraturan Tuhanmu yang diilhamkan kepadamu.”

Kemudian Allah s.w.t. menyebut mengenai sejenis minuman yang keluar dari perut lebah:

“Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang berlainan warnanya yang mengandungi ubat penyembuh bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (rahmat Allah) bagi orang yang mahu berfikir.” (Surah al-Nahl 16: 68-69)

Kajian yang dilakukan oleh U.S. Department of Agriculture mendapati madu lebah terbahagi kepada tujuh warna asas iaitu putih, kuning cair, kuning pekat/jingga, oren kecoklatan, coklat dan hitam. Namun, warna madu lebah bukanlah petunjuk yang tepat bagi menguji gred madu lebah kerana ia dipengaruhi oleh jenis dan ciri sesuatu bunga yang mempunyai kandungan mineral dan komponen-komponen organik tertentu di dalamnya.

Banyak kajian yang dibuat untuk mencari rahsia khasiat madu lebah. Antaranya Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membuat 20 kajian terhadap Madu Tualang. Hasil kajian tersebut, mendapati ia memberi kesan positif kepada tubuh manusia. Antara kelebihannya, termasuk berupaya melewatkan menopaus dalam kalangan wanita berusia, merawat penyakit diabetes, menguatkan tulang dan meningkatkan hormon di dalam tubuh wanita.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tetaplah kamu dengan dua penyembuhan iaitu madu dan al-Quran.” (Riwayat Ibn Majah)

Kandungan madu terdiri daripada air, gula (fruktosa, glukosa, sukrosa, maltosa), vitamin (B1, B2, B5, B6, C), mineral (kalsium, natrium, fosforos, besi, magnesium dan mangan), serbuk dan enzim berupa diastase. Kandungan penting enzim diastase dan invertase pada madu sangat berguna untuk mengurai pati, protein dan glukosa. Mineral-mineral penting seperti natrium, kalsium, magnesium, tembaga, besi, kalium dan fosforus yang tersusun dalam madu juga mendekati kadar yang ada dalam darah manusia.

khasiat madu

Jadi, madu bertindak sebagai bahan makanan yang bernilai tinggi sebagai makanan penjaga kesihatan serta sebagai ubat kepada pelbagai penyakit. Madu mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding gula biasa kerana ia tidak mengganggu selaput dinding sistem penghadaman, mudah dan cepat diasimilasikan oleh badan, membekalkan tenaga yang diperlukan dengan cepat, membantu memulihkan tenaga ahli sukan yang keletihan dengan cepat, melawaskan pembuangan air besar, boleh menenangkan badan dan akal fikiran dan lain-lain lagi.

Secara umumnya, madu boleh dimanfaatkan sebagai makanan kesihatan semula jadi, meningkatkan stamina tubuh, sumber vitamin yang baik, antibakteria, antikulat, merawat kulit, merawat batuk, mengatasi kejang otot, merawat melecur, memulihkan kelelahan, mencerdaskan minda, berfungsi baik bagi mereka yang menghadapi masalah penghadaman gula, mengatasi insomnia dan mengatasi anak-anak kencing malam.

khasiat madu2

Kesedaran mengenai madu kini telah meluas dalam kalangan masyarakat, meskipun khasiat madu belum diketahui sepenuhnya. Jadi, para ilmuwan dituntut agar terus menjalankan kajian mendalam mengenai khasiat madu dan mampu menggunakannya dalam cakupan yang lebih luas. Keajaiban madu telah diungkapkan dalam al-Quran dan hadis secara indah 14 abad yang lalu. Ilmu pengetahuan dalam al-Quran melangkaui zaman dan tempat sehinggalah hari kiamat. Banyak lagi rahsia-rahsia al-Quran yang perlu kita gali agar keyakinan kita bertambah mantap dan menjadikan kita sentiasa berada di jalan yang benar.

 

Mohd Wahid Abd Hanif

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 6

 


 

Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif

Lulusan BA (hons) Usuluddin (Akidah dan Falsafah) di Universiti al-Azhar, Mesir. Antara guru beliau Syeikh ‘Ali Jumaah (mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki. Antara buku yang beliau hasilkan iaitu buku mengaji Kaedah al-Matien bersama Ustaz Zamri Zainuldin. Kini beliau bertugas sebagai Editor Majalah di syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas