Menu

 

A+ A A-

CEKIK DARAH DI TANAH SUCI

Sibuk Membeli-Belah Semasa di Tanah Suci.

Isteri saya begitu beria-ia hendak pergi membeli hadiah buat saudara mara di tanah air. Saya rasa cukup terganggu dan merenyahkan. Bagi saya biarlah tidak sempat membeli hadiah, asalkan peluang beribadah tidak terganggu. Apakah pendapat ustaz dalam hal ini?

Tidak salah untuk membeli hadiah, bahkan ia boleh mengeratkan silaturahim. Namun jika ia dilakukan secara keterlaluan yang menunjukkan seolah-olah tujuan datang ke Tanah Suci adalah untuk membeli belah, maka ia perlulah dielakkan.

cekik-darah-d-tanah-suci-2

Fokus utama sudah tentu perlu diberi terhadap ibadat haji dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Hal ini penting dalam usaha kita untuk mendapat haji yang mabrur. Bawalah isteri saudara berbincang dengan baik dan carilah jalan penyelesaian yang munasabah.

“Cekik Darah” di Tanah Suci

CEKIK DARAH

Saya menaiki kereta sewa dari Masjidil haram ke Tan‘im untuk berniat ihram bagi menunaikan ibadat umrah. Apabila sampai di sana, saya amat terkejut apabila diminta tambangnya sebanyak 500 riyal. Sungguh tidak logik sekali bagi perjalanan yang sedekat itu! Saya terpaksa membayar juga walaupun tidak berpuas hati. Adakah muamalat itu sah?

Kadar tambang sepatutnya dipersetujui sebelum saudara menaiki kereta sewa tersebut. Saya mengagak bahawa saudara terus menaiki kenderaan tersebut tanpa terlebih dahulu bertanyakan kadar tambangnya.

cekik-darah-d-tanah-suci-1

Dalam fiqah, apabila kadar tambang tidak dinyatakan dengan jelas, maka kadarnya akan dirujuk kepada uruf iaitu adat kebiasaan di tempat dan ketika itu. Maka kadar itulah yang sepatutnya saudara bayar. Namun dalam kesesakan, sudah tentu kedua-dua pihak tiada masa untuk merujuk kepada uruf. Tambahan lagi jika memang niat pemandu kereta sewa tersebut ingin mencekik darah.

Maka dalam keadaan itu, nasihat saya adalah saudara perlu membayarnya sebagaimana yang diminta bagi mengelakkan pertelingkahan dan perbalahan. Lebih-lebih lagi saudara dalam ihram. Semoga saudara diberi pahala sedekah oleh Allah.

cekik-darah-d-tanah-suci-3

Bagi pemandu tersebut, serahkanlah halnya kepada Allah Yang Maha Adil. Lebih baik juga jika saudara memaafkannya dan berdoa agar beliau diberi hidayat. Saudara pula hendaklah berhati-hati agar perkara yang sama tidak berulang pada masa hadapan. Kadar tambang hendaklah dipersetujui sebelum saudara menaiki mana-mana kereta sewa.

Wallahu a‘lam.

cekik-darah-d-tanah-suci-4

Prof. Dr. Ashraf Md Hashim

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.6


Prof Dr Ashraf Md Hashim

Sarjana Muda Syariah,Universiti Islam Madinah, Sarjana Fiqh dan Usul al-Fiqh, Universiti Jordan dan Doktor Falsafah, Universiti Birmingham, United Kingdom. Memegang banyak jawatan penting antaranya anggota Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia (MPS BNM), ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dan Profesor (Syariah) di Pusat Pendidikan Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (INCEIF). Pengarah Urusan, ISRA Consultancy dan juga Timbalan Presiden, Persatuan Penasihat Shariah Kewangan Islam Malaysia.

Kembali ke atas