Menu

 

A+ A A-

IDAH SATU KONGKONGAN

Idah ialah satu tempoh masa bagi wanita untuk menunggu dan menahan diri mereka daripada berkahwin lain selepas diceraikan atau selepas suami meninggal atau selepas difasakhkan.

Memelihara maruah dan keturunan menjadi salah satu matlamat pensyariatan dalam Islam. Kedua-duanya disebut sebagai maqsad hifz al-ird dan maqsad hifz al- nasab iaitu matlamat menjaga maruah dan matlamat menjaga keturunan. Bagi wanita pada zaman jahiliah, mereka dipandang hina dan rendah. Wanita pada zaman itu hanya dianggap objek seks.

Banyak sistem perkahwinan diwujudkan, antaranya sistem pelacuran dianggap seperti perkahwinan. Seorang wanita boleh bersetubuh dengan ramai lelaki lalu apabila mendapat anak, ia boleh memilih siapa sahaja bapa anak tersebut. Selain itu bayi perempuan dibunuh kerana katanya akan mendatangkan kemiskinan dan kecelakaan kepada keluarga terbabit.

Tetapi selepas datangnya cahaya Islam melalui kebangkitan Rasulullah s.a.w., wanita diberi kemuliaan dan penghormatan yang tinggi. Wanita mempunyai kedudukan yang tinggi dan mulia dalam agama Islam. Jadi, tidak benarlah dakwaan sesetengah golongan bahawa Islam tidak memberi hak-hak sebenarnya kepada wanita. Mereka melontarkan dakwaan bahawa ada hukum-hukum Islam yang jelas menunjukkan seolah-olah wanita tidak diberi hak yang sama seperti lelaki.

Antara hukum yang sering dipersoalkan oleh segelintir orang ialah hukum idah selepas ia yang diceraikan. Saya pernah diajukan soalan berkenaan idah bagi wanita yang diceraikan suaminya atau wanita yang kematian suaminya. Soalannya menjurus kepada hikmah di sebalik pensyariatan idah. Segelintir orang yang dengki kepada Islam cuba melontarkan tohmahan terhadap Islam melalui hokum-hukum yang disyariatkan. Hukum idah, dituduh oleh mereka sebagai satu sekatan, kongkongan malah penjara bagi wanita. Kononnya dengan sebab idah, mereka tidak boleh keluar rumah, berhias dan tidak boleh berkahwin lain sedangkan suaminya sudah meninggal dunia atau ia sudah bercerai.

Benarkah dakwaan ini? Apakah yang dimaksudkan dengan idah? Idah ialah satu tempoh masa bagi wanita untuk menunggu dan menahan diri mereka daripada berkahwin lain selepas diceraikan suaminya, atau selepas suaminya meninggal atau selepas difasakhkan.

Dalil pensyariatannya ialah firman Allah Taala yang bermaksud: ”Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid).” (Surah al-Baqarah 2: 228)

72

Firman Allah Taala lagi yang bermaksud: “Dan perempuan-perempuan dalam kalangan kamu yang tidak haid lagi (menopause), jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh idah mereka) maka idahnya ialah tiga bulan; dan (demikian) juga idah perempuan yang tidak mempunyai haid dan perempuan mengandung, maka tempoh idahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya. Dan (ingatlah), sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya.” (Surah al-Talaq 65: 4)

Melalui ayat-ayat ini jelaslah bahawa idah ada empat jenis. Murid kepada Ibn Taimiyah, Ibn al-Qayyim r.hm. menegaskan Allah Taala menjelaskan dalam al-Quran berkenaan idah dengan terang iaitu empat jenis idah iaitu:

Pertama: Idah wanita hamil ialah dengan melahirkan bayinya

Tidak kira sama ada talak tersebut talak ba’in atau raj’iyy, bercerai ketika hidup atau disebabkan mati suaminya. Ayat ke-4 surah al-Talaq memberi erti umum pada tiga sudut:

  1. Sudut wanita yang diceraikan sewaktu hamil. Maka ia merangkumi semua wanita yang hamil.
  2. Dari segi tempoh, kerana ayat tersebut menyandarkan lafaz ajal (tempoh) kepada kata ganti diri ketiga (hunna) maka sandaran isim jamak kepada makrifah memberi makna umum.
  3. Sudut umum kerana subjek (mubtada’) dan predikat khabar adalah makrifah.

Kedua: Idah wanita masih mempunyai haid

Idah wanita masih haid iaitu tiga quru’. Firman Allah Taala (al-Baqarah: 228). Berlaku khilaf sama ada quru’ itu bermaksud suci atau haid.

Ketiga: Idah wanita yang tidak mempunyai haid

Sama ada masih kecil atau telah putus haid iaitu idah selama tiga bulan sepertimana firman Allah Taala dalam surah al-Talaq ayat 4.

Keempat: Idah wanita yang kematian suami

Firman Allah Taala (al-Baqarah: 234). Termasuk wanita yang telah dijimak atau belum dijimak, dan juga yang masih kecil atau telah putus haid. Manakala wanita yang hamil, ia mengambil idah yang pertama iaitu idah sehingga melahirkan bayinya.

Pensyariatan idah dalam Islam bukan bertujuan menyekat atau mengongkong mereka sebaliknya mempunyai matlamatnya tersendiri. Antaranya ialah bertujuan menjaga nasab atau keturunan. Allah Taala menyediakan pelbagai manual hukum terbaik kepada manusia untuk merealisasikan matlamat tersebut. Dalam al-Quran, Allah Taala menyebut pensyariatan idah secara jelas. Mengapa disyariatkan? Persoalan ini akan cuba dijawab dengan merujuk beberapa pandangan yang telah dikemukakan oleh ulama terdahulu.

Banyak hikmah pensyariatan idah yang disebutkan oleh ahli tafsir, antara yang terbesar ialah untuk membersihkan rahim wanita yang diceraikan. Maksudnya, benih bekas suami yang menceraikan atau benih suaminya yang telah mati berkemungkinan masih ada di dalam rahim. Maka bagi mengelak bercampur dengan benih lelaki baru diberi tempoh idah itu. Sekiranya dibenarkan berkahwin serta merta selepas perceraian kemungkinan itu boleh berlaku.

Hukum ini bertujuan untuk menjaga nasab dan keturunan manusia kerana jika dibenarkan berkahwin serta merta selepas berpisah dengan suami pertama walhal wanita itu sedang mengandung, akan menyebabkan sukar untuk ditentukan nasab anak dalam kandungannya. Justeru, Islam datang dengan membawa hukum yang sangat bertepatan dengan logik dan akal manusia.

Selain itu dilihat di sudut kemanusiaan kerana secara logiknya, tidak sanggup wanita yang baru kematian suami dan masih lagi bersedih dengan sebab musibah yang dialaminya diajak berkahwin. Sekiranya wanita tersebut serta merta berkahwin sebaik kematian suaminya, seolah-olah menunjukkan isterinya tidak sedih atas pemergian orang yang tersayang. Manakala suami barunya seolah-olah tidak bersimpati dengan apa yang berlaku.

Tegasnya dakwaan idah wanita kematian suami satu kongkongan dan sekatan terhadap wanita sangat tidak relevan. Hal ini kerana seseorang isteri kematian suaminya, harus berkabung dalam tempoh idah tersebut. Dalam tempoh itu dia dihalang memakai perhiasan, memakai wangian, bertunang dan semua perkara yang mendorong kepada rangsangan seksual. Kalau dia berkahwin sudah tentu semua akan dipakai baru.

Begitu juga dalam masalah perceraian talak raj’iyy, seseorang wanita yang diceraikan oleh suaminya dengan cerai raj’iyy perlu juga mempunyai idah ialah tiga kali suci sebagaimana difahami dalam fiqah mazhab Syafie. Dalam tempoh 3 kali suci ini, wanita yang diceraikan oleh suaminya tidak boleh meninggalkan rumah suaminya kecuali dengan ada sebab-sebab tertentu dan dengan keizinan suaminya. Dalam tempoh itu hubungan antara kedua-duanya diharapkan boleh kembali pulih dan suami boleh merujuk isterinya semula.

idah satu kongkonganFirman Allah Taala yang bermaksud: “Wahai Nabi! apabila kamu (engkau dan umatmu) hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya, dan hitunglah masa idah itu (dengan betul), serta bertakwalah kepada Allah, Tuhan kamu. Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai idahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan itulah aturan-aturan hukum Allah (maka janganlah kamu melanggarnya); dan sesiapa Yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka Sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepada dirinya. (Patuhilah hukum-hukum itu, kerana) Engkau tidak mengetahui boleh jadi Allah akan mengadakan, sesudah itu, sesuatu perkara (yang lain).” (Surah al-Talak 65: 1).

Berdasarkan ayat ini, kita berasa sedih dengan apa yang berlaku dalam kalangan pasangan bercerai, selepas bercerai sudah tidak lagi tinggal sebumbung walaupun cerai itu adalah cerai talak raj’iyy. Sedangkan wanita itu masih lagi perlukan nafkah, anak-anak masih lagi perlukan kasih sayang dan didikan bapanya.

Tindakan mereka itu seolah-olah anak-anak ini sudah yatim tidak berbapa. Ingatlah bahawa perbuatan ini haram dalam Islam. Hukum Islam adalah untuk kesejahteraan manusia sejagat, untuk kesejahteraan suami dan isteri dan satu keluarga. Itulah yang ada pada pensyariatan idah, asasnya ialah memelihara keturunan manusia dan maruah wanita itu sendiri. Sama-samalah kita mengambil iktibar

 

 


Nik Rahim Nik Abd Ghani

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 7

 


 

Nik Abd Rahim Nik Abd Ghani

Lulusan Universiti Islam Madinah, Arab Saudi dalam bidang Syariah. Berkhidmat sebagai guru di Sek. Men. Imtiaz, Dungun pada tahun 2004-2005. Kini melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Syariah di Universiti Kebangsaan Malaysia di samping bergiat dalam bidang penulisan dan dakwah.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Artikel berkaitan: « APABILA JODOH SUDAH BERAKHIR
Kembali ke atas