Menu

 

A+ A A-

LELAKI BERSALAMAN DENGAN WANITA?

AMALAN kunjung-mengunjungi dan ziarah-menziarahi ialah satu amalan mulia. Pada musim cuti sekolah, biasanya ramai dalam kalangan kita akan pulang ke kampung bertemu sanak saudara dan kaum keluarga. Sama seperti apabila tiba hari raya, umat Islam akan balik ke kampung untuk merayakan hari tersebut.

Kaum keluarga yang sudah lama tidak bersua muka dapat bertemu pada musim balik kampung. Dari satu sudut ia akan merapatkan hubungan kekeluargaan dan silaturahim. Dalam satu hadis sahih riwayat al-Bukhari Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang ingin diberi kelapangan dalam rezeki dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah ia menghubungkan silaturahim.” Jelas di sini, kelebihan menghubungkan tali silaturahim amat digalakkan dalam Islam.

Namun dalam menghubungkan tali silaturahim ini masih ramai yang tidak mengetahui beberapa hukum penting berkenaan adab-adab Islam terutama berkaitan batas-batas hubungan antara lelaki dan wanita. Walaupun kita digalakkan merapatkan hubungan antara kaum kerabat terdekat, hubungan tersebut ada batasannya.

Salah satunya ialah hukum bersalaman antara wanita dan lelaki ajnabi. Ramai dalam kalangan masyarakat tidak menyedari perbuatan bersalam-salaman antara sepupu lelaki dan wanita atau antara seorang wanita dengan bapa saudara suaminya atau sebaliknya termasuk dalam hukum larangan bersalaman wanita dengan lelaki ajnabi.

Mungkin ada yang beralasan, “Alah, bukannya apa, niat kita baik, bersalam je... tak ada niat lain.” Itu ungkapan yang biasa kita dengar daripada orang yang tidak menitikberatkan soal syariat.

Islam ialah satu agama yang menyeluruh dan lengkap. Hukum-hukumnya boleh dilaksanakan oleh sesiapa sahaja, tidak menyusahkan dan jauh sekali membebankan. Niat seseorang tidak boleh mengubah hukum. Adakah jika niat baik, amalan yang berlawanan dengan syariat bertukar menjadi baik?

Sebagai contoh niat orang yang minum arak untuk menguatkan badan dan menghilangkan dahaganya. Adakah hokum minum arak menjadi harus? Tidak, hokum syariat tidak sesekali berubah. Arak tetap haram. Begitulah juga hukum-hukum lain. Isu yang hendak diketengahkan dalam ruangan ini ialah permasalahan berjabat tangan atau bersalaman antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.

Asal hukum bersalaman adalah sunah ketika bersua atau berjumpa. (Al-Nawawi, al-Azkar, hlm.420) Qatadah menceritakan ia bertanya kepada Anas bin Malik, adakah ada amalan berjabat tangan dalam kalangan sahabat Nabi s.a.w.? Jawab Anas: “Ya.” (Riwayat alBukhari)

Dalam hadis lain riwayat Abu Daud, sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Tiada seorang daripada kalangan dua orang Islam yang bertemu kemudian mereka bersalam-salama (berjabat tangan) melainkan diampunkan bagi kedua-duanya sebelum mereka berpisah.”

Hadis ini menunjukkan kelebihan bersalaman iaitu mendapat keampunan Allah Taala. Ia merujuk bersalaman antara seorang lelaki dengan lelaki lain, atau antara wanita dengan wanita lain.

Manakala, dalam hal berkaitan antara lelaki dan wanita, seorang lelaki itu boleh bersalaman dengan wanita mahramnya berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. pernah mengucup Fatimah. (Riwayat Abu Daud dan al-irmizi). Maka harus kita mengucup atau menyentuh wanita mahram seperti ibu, adik, kakak, abang dengan syarat bukan pada tempat yang boleh mendatangkan syahwat dan fitnah.

Manakala, selain daripada wanita mahram, iaitu wanita bukan mahram atau diistilahkan sebagai wanita ajnabiyyah atau ajnabi, hukumnya berbeza. Wanita ajnabi ialah mereka yang halal dikahwini yang bukan mahram atau bukan isterinya. (al-Zuhayli, al-Fiqh al-Islami, jil. 7, hlm. 598)

Berhujahkan dengan niat yang baik...

Akhir-akhir ini, umat Islam amat longgar pegangannya dengan hukum Allah Taala, baik hukum yang kecil mahupun hukum yang besar termasuk hukum bersalaman. Ada yang mempertikaikan hukum Allah sehingga wujudorang yang berhujahkan dengan niat yang baik, darurat dan selamat daripada fitnah, maka hukum bersalam wanita dan lelaki adalah harus.

Sebenarnya para ulama bersepakat bahawa seorang lelaki tidak boleh bersalaman dengan wanita ajnabi. Seorang tokoh mazhab Syafi ’I yang disegani, Imam al-Nawawi menegaskan: “Sesungguhnya halal melihat kepada wanita ajnabi jika ia ingin menikahinya, atau ketika urusan jual beli, atau ketika mengambil sesuatu barang atau memberi kepadanya dan seumpamanya dan tidak harus menyentuhnya dalam sesuatu situasi berkenaan.” (Al-Azkar, hlm. 228)

Ummu Mukminin Aisyah r.ha. pernah bersumpah menafikan Rasulullah s.a.w. pernah menyentuh tangan wanita dalam baiah peristiwa Hijrah:

“Demi Allah, tangan Baginda tidak pernah menyentuh tangan wanita pun, Baginda hanya berbaiah dengan ucapan.” (Fath al-Bari jil. 11, hlm. 345346 dan Syarh Sahih Muslim jil. 13, hlm. 10)

Hadis ini menjelaskan bahawa baiah wanita hanya berlaku dengan ucapan sahaja tanpa bersalaman. (Syarh Sahih Muslim jil. 13, hlm. 10)

Ini disokong oleh satu riwayat lain di mana Umaimah binti Raqiqah r.ha. pernah berkata: “Aku datang kepada Rasulullah s.a.w. dalam kumpulan wanita, kami ingin berbaiah dengannya. Kami berkata: ‘Kami berbaiah denganmu wahai Rasulullah bahawa kami tidak akan menyekutukan Allah dengan sesuatu, kami tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak-anak kami dan kami tidak akan membuat cerita dusta yang direka-reka serta kami tidak akan mengingkari perintahmu pada kebenaran.’”

Lantas Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Pada perkara yang kamu mampu dan berdaya.” Umaimah menceritakan lagi: “Kami berkata bahawa Allah dan RasulNya lebih mengasihani kami daripada diri kami, ayuhlah kami ingin berbaiah denganmu wahai Rasulullah.” Lalu Nabi s.a.w. menjawab: “Sesungguhnya aku tidak bersalaman dengan wanita, sesungguhnya perkataanku kepada seratus orang wanita adalah seperti perkataanku kepada seorang wanita atau seumpama perkataanku kepada seorang wanita.” (Riwayat alTirmizi jil. 4, hlm. 151152, alNasa’I jil. 7, hlm. 149, Ibn Majah jil. 2, hlm. 959. AlTirmizi menyebut, hadis ini hasan sahih)

Hadis ini merupakan nas yang jelas menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. tidak bersalaman dengan wanita ketika berbaiah. Jika Nabi seorang yang maksum tidak bersalaman ketika baiah, maka lebih aula hukumnya dalam situasi selain baiah. Apabila Rasulullah s.a.w. tidak bersalaman dengan wanita, sudah tentu kita juga wajib mengikut sunah Baginda kerana Baginda s.a.w. adalah qudwah dan ikutan kita semua.

Dengan dalil-dalil yang sudah jelas dan terang ini, maka tertolaklah segala dakwaan dan hasutan yang cuba menghalalkan perbuatan bersalaman antara lelaki dan wanita.

Capture 2

Keharusan itu bukan secara mutlak

Memang benar masih ada segelintir yang berhujah terdapat ulama yang mengharuskan bersalaman dengan wanita ajnabi. Namun keharusan itu bukan secara mutlak iaitu harus bersalaman dengan mana-mana wanita ajnabi tanpa mengambil kira apa-apa situasi. Tetapi keharusannya hanya dalam keadaan darurat dan aman fitnah.

Tambahan pula kaedah fiqah ada menyebut: “Darurat hendaklah diukur mengikut kadarnya (yakni kadar darurat tersebut).”

Apakah dalam suasana Malaysia sebuah negara yang mempunyai nisbah umat Islam yang begitu ramai masih berada dalam keadaan darurat? Umat Islam di negara kita perlu dilatih melaksanakan perintah Allah dan RasulNya walaupun sekecil mana hokum tersebut pada anggapan mereka. Setiap hukum Allah dan RasulNya pasti ada maslahah dan hikmah di sebaliknya sama ada diketahui oleh kita atau tidak.

Pepatah Melayu ada menyebut: “Nak seribu daya, tak nak seribu dalih.” Jika kita bercita-cita melaksanakan tuntutan agama, maka kita akan berusaha melaksanakannya. Sebaliknya jika sudah tiada minat untuk menjunjung perintah Allah, sudah pasti kita mencari seribu satu alasan.

Oleh itu, bagi kita umat Islam, tiada yang lebih baik dan lebih utama kecuali mengikuti sunah dan petunjuk Nabi s.a.w.

Dalam era moden sekarang, tidak perlu kita mendakwa untuk meniti arus kemodenan maka kita mesti mengikuti semua budaya Barat dan cara mereka. Bahkan sebenarnya, yang menjadi keutamaan kita dalam era modenisasi sekarang ialah memperkukuhkan diri kita dengan nilai-nilai murni Islam. Ini supaya kita tidak mudah terjerumus dan tergelincir dihanyutkan oleh kesesatan dunia hari ini. Mudah-mudahan semua umat Islam mendapat hidayah Allah s.w.t. ¤

 

Nik Abd Rahim Nik Abd Ghani

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.5

 

Nik Abd Rahim Nik Abd Ghani

Lulusan Universiti Islam Madinah, Arab Saudi dalam bidang Syariah. Berkhidmat sebagai guru di Sek. Men. Imtiaz, Dungun pada tahun 2004-2005. Kini melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Syariah di Universiti Kebangsaan Malaysia di samping bergiat dalam bidang penulisan dan dakwah.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas