Menu

 

A+ A A-

NABI MUSA A.S. TAMPAR MALAIKAT MAUT

SEBUAH kisah daripada hadis sahih riwayat Abu Hurairah r.a. bahawa suatu ketika Malaikat Maut diutus kepada Musa a.s. untuk mengambil rohnya. Sebaik sahaja tiba, Nabi Musa terus menamparnya (hingga terkeluar matanya).

Lalu Malaikat Maut pun kembali semula bertemu dengan Allah s.w.t. seraya berkata: “Engkau mengutus aku kepada seorang hamba yang tidak menginginkan kematian.”

Allah pun mengembalikan mata Malaikat Maut seraya berfirman: “Kembalilah dan berkatalah kepada dia agar meletakkan tangannya di atas belakang seekor lembu jantan. Dari setiap helai rambut yang dapat dilitupi oleh tangannya, maka baginya (umur) satu tahun.” Malaikat Maut kembali dan menerangkan kepada Nabi Musa. Baginda bertanya: “Wahai Rabb, setelah itu apa pula?” Allah berfirman: “Kemudian kematian.” Nabi Musa berkata: “Jika begitu, aku mahu kematian sekarang.”

Nabi Musa pun meminta kepada Allah agar dibawa mendekati tanah suci, sejauh lemparan batu. Kemudian Rasulullah s.a.w. memberitahu: “Jika aku berada di sana, tentu aku tunjukkan kuburnya berhampiran Bukit Pasir Merah.” (Lihat Sahih Muslim, No: 2372, Kitab Fadail, Bab Keutamaan Musa a.s.) Dalam kisah ini timbul dua persoalan. Pertama, adakah malaikat mempunyai wajah yang sama dengan manusia sehingga boleh ditampar hingga terkeluar biji mata? Kedua, perihal Nabi Musa yang dilihat semacam menafikan ajalnya, tidak mahu mati.

Mengikut pengajian ilmu Tauhid malaikat ialah makhluk yang tidak berjisim. Tidak sama seperti manusia. Namun, malaikat boleh menjelma menjadi manusia. Ini disebut oleh Allah dalam al Quran, surah Maryam, ayat 1619 bahawa malaikat pernah datang kepada Siti Maryam dalam rupa bentuk manusia.

Nabi Musa sebenarnya tidak menafikan ajalnya. Malaikat Maut diutuskan untuk bertanya, bukan untuk mencabut nyawa. Yakni, malaikat kembali mengadu kepada Allah dengan berkata “Engkau mengutus aku kepada seorang hamba yang tidak mengingini kematian.” Ini bermaksud, dia bertanya Nabi Musa sama ada bersedia dengan kematian atau tidak.

 

Ustaz Adlan Abdul Aziz

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu Perdana

 


 

Ustaz Adlan Abdul Aziz

Lulusan Ijazah dalam bidang Pengajian Bahasa Arab, Universiti Al al-Bayt, Jordan. Mendapat ijazah penyampaian hadis bersanad dari Muhaddis Jordan terkemuka, Al-Arnaut. Kini berkhidmat sebagai guru di SMK Segambut Jaya, Kuala Lumpur.

Kembali ke atas