Menu

 

A+ A A-

RENDAHKAN DIRI, ENGKAU AKAN TINGGI DI SISI-NYA

Betapa kita selalu bertemu dengan orang yang tidak mahu langsung memberi salam kepada orang lain hanya semata-mata kerana merasakan dirinya lebih tinggi kedudukannya atau darjatnya?

Fitrah manusia diciptakan bersama sifat ego dan sikap sukar menundukkan kehendak diri atau mendahulukan keinginan orang lain. Walaupun begitu, fitrah diri manusia turut dibekalkan kekuatan untuk menahan ego itu dan menyedari bahawa dirinya lemah dan perlu kepada bantuan pihak lain. Manusia seharusnya sedar, siapalah diri kita untuk sombong dan ego sehingga menafikan kelebihan orang lain? Sehebat mana pun diri kita pasti akan ada kelemahan. Selemah mana pun orang lain di mata kita, pasti dirinya punya banyak kelebihan ke atas kita. Begitulah Islam mengajar umatnya agar menghargai wujudnya kelebihan dan kekurangan pada diri setiap individu malah setiap makhluk. Islam mengajar penganutnya agar bersikap rendah diri dan tidak sombong agar dirinya tidak lupa asal-usulnya, tidak lupa pada Tuhannya.

Imam al-Nawawi dalam kitabnya, Riyadhus Solihin telah menulis satu bab khusus Mengenai sifat Tawaduk atau rendah diri sesama manusia. Beliau telah memulakan bab ini dengan beberapa ayat al-Quran yang berkaitan, contohnya ayat 215 daripada surah al-Syu’araa yang bermaksud:

“Dan rendahkanlah dirimu kepada orang-orang beriman yang mengikutimu.”

Juga ayat 13 dari surah al-Hujurat yang bermaksud:

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu semua daripada lelaki dan wanita dan Kami jadikan kamu pelbagai bangsa dan keturunan agar kamu semua saling berkenalan. Sesungguhnya antara kamu yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.”

Seterusnya dalam ayat 32 daripada surah al-Najm yang bermaksud:

“Maka janganlah kamu menganggap diri kamu suci (dari sebarang kelemahan), Dialah yang lebih tahu mengenai sesiapa yang paling bertaqwa.”

Imam al-Nawawi telah menyenaraikan beberapa hadis yang berkaitan dengan sifat rendah diri atau tawaduk.

Hadis pertama yang disebut beliau ialah hadis riwayat Imam Muslim yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepadaku agar bertawaduklah (merendah diri) sesama kamu sehingga tidak ada yang berbangga ke atas saudaranya yang lain dan sehingga tidak ada yang melampau ke atas seorang yang lain.”

Jelas daripada hadis ini kita dapati bahawa sikap merendah diri adalah perintah agama malah ia dianggap perintah Allah s.w.t. ke atas seluruh hamba-Nya. Ia bukan sekadar adat resam atau kebiasaan masyarakat tetapi ia adalah perintah agama yang perlu dihayati oleh setiap Muslim.

Memberi salam kepada kanak-kanak

Seterusnya sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim. Dalam hadis ini, Anas Bin  Malik, seorang sahabat Nabi s.a.w. dan pembantu Baginda, telah melalui satu kawasan yang terdapat kanak-kanak, lalu beliau memberikan salam kepada mereka. Kemudian beliau berkata bahawa perbuatan beliau itu adalah sama seperti yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

Bayangkan betapa tawaduk dan rendah diri Rasulullah s.a.w. sehingga memberi salam kepada kanak-kanak! Betapa kita selalu bertemu dengan orang yang tidak mahu langsung memberi salam kepada orang lain hanya semata-mata kerana merasakan dirinya lebih tinggi kedudukannya atau darjatnya?

Siapa lagi manusia yang paling mulia daripada Rasulullah s.a.w? Kedudukan yang amat tinggi itu langsung tidak menghalang Baginda untuk bergaul dengan setiap lapisan masyarakat dalam keadaan merendah diri – walaupun terhadap kanak-kanak!

Juga dalam bab itu, Imam al-Nawawi  mencatat sebuah lagi hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, iaitu kata-kata Aisyah ketika ditanya: “Apakah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. di rumahnya?” Sayidatina Aisyah yang merupakan salah seorang isteri Rasulullah s.a.w. telah menjawab: “Baginda membantu pekerjaan keluarganya dan apabila masuk waktu solat, Baginda akan keluar menunaikan solat.”

Subhanallah! Seorang Nabi dan Rasul, seorang pemimpin dan seorang manusia agung, waktu berada di rumah, masih membantu kerja-kerja di rumahnya? Betapa ramai para suami dan ayah di zaman ini yang tidak langsung ingin membantu isteri mereka di rumah. Malah ada yang menganggap bahawa itu adalah satu perkara yang memalukan kerana itu adalah kerja orang perempuan!

Ambillah pedoman dan contohilah manusia agung, penutup segala Nabi dan Rasul – Nabi Muhammad s.a.w. – yang telah menunjukkan contoh terbaik sebagai suami, ayah serta ketua keluarga yang bertanggungjawab. Baginda membantu urusan keluarganya di rumah sekiranya berkelapangan malah semua itu tidak menghalang Baginda untuk menjalankan tugas sebagai Rasul dan Nabi.

Rendah diri Rasulullah s.a.w.

Sebuah hadis lagi yang dimuatkan oleh Imam al-Nawawi ialah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang mengenai kisah seorang lelaki yang baru memeluk Islam dan datang bertemu Rasulullah s.a.w. Ketika lelaki itu tiba, beliau dapati Rasulullah s.a.w. sedang menyampaikan ucapan di khalayak ramai. Lalu lelaki ini terus berkata kepada Baginda dan menyampaikan hajatnya dengan penuh pengharapan. Hajat beliau ialah meminta Baginda mengajarkannya perkara-perkara yang tidak diketahuinya tentang Islam.

Mendengar permintaan itu lantas Rasulullah s.a.w. menghentikan ucapannya, lalu duduk untuk berbincang dan mengajarkan lelaki itu tentang ibadah dan perkara yang ingin diketahuinya. Lihatlah betapa terbukanya dan rendah dirinya Rasulullah s.a.w. yang menangguhkan seketika urusannya, kerana memenuhi keperluan dan hajat orang lain yang perlu diselesaikan segera. Betapa diri Baginda adalah manusia mulia yang dilengkapkan Allah s.w.t. dengan akhlak yang mulia. Semoga diri kita dihiasi sifat rendah diri dengan berpandukan contoh yang telah diberikan kepada kita oleh manusia agung dan penghulu segala makhluk iaitu Rasulullah s.a.w.

Semoga diri kita sentiasa kenal betapa lemah dan kerdilnya kita lantas melahirkan keazaman untuk menjadi manusia bijak yang tidak angkuh dan tidak sombong. Ya Allah, kurniakanlah kami sifat rendah diri agar kami menjadi pengikut Rasul-Mu yang sebenar, amin.

Solusi 8 -13


Oleh Ustaz Adlan Abd Aziz
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu Perdana

 


 

Ustaz Adlan Abdul Aziz

Lulusan Ijazah dalam bidang Pengajian Bahasa Arab, Universiti Al al-Bayt, Jordan. Mendapat ijazah penyampaian hadis bersanad dari Muhaddis Jordan terkemuka, Al-Arnaut. Kini berkhidmat sebagai guru di SMK Segambut Jaya, Kuala Lumpur.

Kembali ke atas