Menu

 

A+ A A-

MALU JANGAN SAMPAI JADI KAYU

SOALAN: Dulu di sekolah, saya tidak ada masalah untuk belajar walaupun saya seorang yang pemalu. Tetapi apabila berada di universiti, pelajaran saya merosot disebabkan perasaan malu itu bertambah sehingga sukar untuk berkomunikasi dengan pensyarah. Apa pandangan cikgu? - Din, Petaling Jaya.

JAWAPAN:
Hadis sahih ada menyebut, “Malu itu sebahagian daripada iman.” Tapi pepatah Melayu pula menyebut, “Malu bertanya sesat jalan.” Mana yang perlu diikut? Sebenarnya kedua-duanya betul dan perlu diikut.

Apa yang dikatakan ‘malu beriman’? Kita malu untuk berbuat dosa disebabkan kita tahu bahawa Allah Maha Mengetahui apa yang kita buat. itu ‘malu beriman’. Jika ‘malu bertanya’? Kita malu untuk bertanya sehingga kita sesat. Contoh: Akibat malu untuk bertanya jalan dari Kuala Lumpur ke Langkawi akhirnya kita sampai ke Melaka pula. Itu ‘malu bertanya’.

Sebenarnya malu itu biarlah bertempat dan kena masanya. Dari segi psikologi, perasaan malu disebabkan perasaan keyakinan pada diri sendiri terlalu rendah. Ini berlaku pada ramai orang.

Bagaimana hendak buang perasaan malu? Cuba guna kaedah ini, insya-Allah:

1. Mula-mula, cuba beri salam atau ringankan mulut untuk menyapa rakan-rakan, terutamanya orang yang tidak dikenali.

2. Kemudian, cuba belajar puji orang.

3. Kemudian, semasa di kelas, cuba catat sesuatu yang tidak faham, habis kelas, jumpa pensyarah dan letakkan catatan itu di hadapannya. Tunggu penjelasan. Atau buat temujanji dengan pensyarah dan jumpa di bilik pensyarah.

4. Kemudian, cuba mula bertanya atau beri pendapat semasa belajar di dalam kelas. Jika sampai ke tahap ini, insya-Allah tahap keyakinan dalam diri Din sudah tinggi. Buat ye, jangan tak buat.

SOALAN: Saya ada teman lelaki. Saya sangat sayang padanya. Masalahnya akhir-akhir ini, dia selalu ajak saya buat perkara yang tidak manis, contohnya semasa bersama dalam kereta atau panggung wayang. Saya tak suka, tapi saya malu nak menolak atau berkasar dengannya. Macam mana, Cikgu Yaser? - Sal, Bangsar.

JAWAPAN:
Allah jadikan manusia berpasangan. Masing-masing saling cukup mencukupi. Tetapi, sudah sedia maklum bahawa lelaki dianggap gagah, keras dan kasar, manakala perempuan pula lemah, lembut dan lunak.

Itulah sebabnya perempuan yang lemah mudah digoda dan dipermainkan oleh lelaki yang kasar. Cikgu tidak kata teman lelaki Sal mempermainkan Sal namun lumrah lelaki yang tidak ikhlas berkawan dan menjadikan seks sebagai objektif berkawan amatlah membimbangkan.

Perempuan tidak terfikir pun begitu. Inilah masalahnya. Walaupun kita tidak boleh berburuk sangka, tetapi perasaan berhati-hati mesti ditanamkan dalam jiwa. sebab itulah syariat islam mengatakan bahawa haram lelaki dan perempuan yang bukan mahram duduk berdua-duaan. Ingat, Allah sentiasa memerhati.

Satu nasihat penting yang wajib bagi Cikgu sampaikan kepada Sal iaitu elakkan daripada berjumpa atau bertemujanji dengan lelaki yang bukan mahram. Islam melarang dengan keras perbuatan tersebut – sedangkan berbual berdua pada perkara yang tidak berfaedah di tengah orang ramai pun dianggap menghampiri zina, inikan pula duduk berdua-duaan tanpa ditemani orang lain.

Itu nasihat penting yang patut Sal ikut ye. Kalau sudah suka sangat dan saling cinta-mencintai, lakukan mengikut syariat yang telah ditetapkan iaitu bernikah. Ingat ye, ini semua demi cinta kita kepada Islam. Buat yang terbaik untuknya.

BUNGA

Cikgu Yaser Mohd Akhir
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.6


Yaser Mohd Akhir

Motivator Telaga Biru Training & Consultancy

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas