Menu

 

A+ A A-

INGAT INGAT LUPA

SAYA pelajar Tingkatan Lima. Saya selalu lupa apa yang saya hafal. Kadang-kadang perkara penting pun saya lupa. Contohnya macam nak pulangkan buku kawan, temu janji dengan kawan, buat kerja sekolah, dan lain-lain lagi. Kalau perkara remeh, tak payah cakaplah, lagi saya lupa. Ada tak tip atau nasihat Cikgu untuk atasi masalah saya ni?

Amirah, sebenarnya manusia tak dapat lari daripada masalah lupa. Kadang-kadang tu, sampai tuala atas bahu pun berteriak cari seluruh rumah disebabkan lupa. Sebab itulah solat ditetapkan mengikut waktu tertentu lima kali sepanjang hari agar kita sentiasa ingatkan Allah s.w.t. Tapi kalau waktu solat itupun kita lupa, itu masalah. Sebagai manusia biasa, mustahil kita takkan lupa, sebab mengikut kajian pakar psikologi, manusia normal hanya boleh ingat dalam masa 48 jam sahaja.

Jangan terkejut, ini fakta. Contohnya, katakanlah filem Anakku Sazali. Cikgu percaya ramai yang pernah menontonnya. P. Ramlee memegang dua watak dalam filem itu: sebagai anak, iaitu Sazali; dan juga watak sebagai bapa. Soalannya, apakah nama watak bapa tersebut? Jika ditanya soalan ini kepada 10 orang, tak sampai tiga orang yang ingat.

ingat-ingat-lupa-1

Walaupun kita pernah menonton filem tersebut lebih daripada sekali. Berkaitan pertanyaan Amirah ni, Cikgu bahagikan kepada dua jenis lupa yang perlu diatasi oleh Amirah: a) lupa dalam pembelajaran; dan b) lupa soal kehidupan harian.

Ini saranan Cikgu untuk Amirah cuba amalkan:

a) Apabila belajar, pastikan Amirah lakukan perkara di bawah satu persatu:

i. Baca buku dengan penuh tumpuan. Berhenti membaca apabila sampai 3 atau 5 muka surat.

ii. Ulang semula ke muka surat pertama tadi, gariskan atau highlightkan isi-isi penting. Perkataan yang digaris atau highlight itu mestilah sependek mungkin.

iii. Apabila sudah gariskan isi-isi penting hingga ke muka surat terakhir yang dibaca tadi, ulang semula ke muka surat pertama dan buat nota ringkas.

iv. Nota ringkas tu mesti dibawa ke mana-mana. Jangan campur adukkan semua subjek dalam sebuah buku nota. Buku nota pula mesti bersaiz kecil dan mudah dibawa. Jadi, bila lupa sesuatu bab, buka buku nota dan rujuk di situ. Tidak perlu lagi buka buku teks atau buku rujukan yang tebal-tebal… memeningkan.

b) Masalah lupa dalam kehidupan seharian:

i. Cikgu pasti Amirah dan rakan-rakan sebaya mempunyai telefon bimbit. Ikut kajian yang Cikgu buat, perkara pertama apabila pelajar balik ke rumah ialah mendapatkan telefon bimbitnya… check SMS. Lepas tu, seharian telefon bimbit tu dipegang… hinggakan cuci pinggan pun telefon masih di tangan. Jadi, gunakan telefon bimbit tu ke arah yang lebih berguna. Masukkan temu janji, senarai perkara perlu dibuat, kerja sekolah yang perlu disiapkan dan sebagainya dalam kalendar telefon tersebut. Pasti kamu akan sentiasa diingatkan oleh telefon bimbit tu.

ii. Jangan amalkan sikap “Esoklah!”, “Sekejap lagilah!”, “Tunggulah!” dan sebagainya yang berkaitan dengan menangguhkan kerja. Dapat saja sebarang tugasan, siapkan secepat mungkin. Walaupun tarikh perlu disiapkan lambat lagi, jangan ditunggu.

iii. Khusus untuk kerja-kerja sekolah yang perlu disiapkan, asingkan buku-buku teks atau buku latihan yang ada tugasan daripada buku-buku lain. Kalau dalam beg, mesti ada satu tempat khas untuk asingkan buku-buku tersebut. Kalau di rumah, adakan satu ruang khas atas meja belajar untuk buku-buku tersebut. Barulah tak lupa.

ingat-ingat-lupa-2

Diharap tip yang Cikgu beri ini dapat diamalkan oleh Amirah dan juga rakan-rakan lain yang mempunyai masalah yang sama. Cikgu yakin, ramai pelajar yang senasib dengan Amirah. Buat…jangan tak buat.

Cikgu Yaser Mohd Akhir

Sumber artikel daripada majalah Gen Q Isu Perdana


Yaser Mohd Akhir

Motivator Telaga Biru Training & Consultancy

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas