ADAKAH ANDA SEORANG PEMIMPIN
- Ditulis oleh Haji Ahmad Salim Omar
- Kategori Terkini
- Read 9491 times
Ramai orang bercita-cita untuk menjadi pemimpin. Pemimpin masyarakat, pemimpin korporat, pemimpin politik, pemimpin badan bukan kerajaan, pemimpin agama, pemimpin badan-badan sukan dan sebagainya.
Malah jawatan pemimpin yang menjadi rebutan tidak tertumpu hanya pada yang tertinggi, sebaliknya mengambil peluang apa juga bentuk kepimpinan dalam sesebuah kumpulan atau organisasi itu.
Mengapa jawatan pemimpin begitu menjadi rebutan?
Lazimnya manusia akan mengejar kuasa, kedudukan, pangkat dan pengaruh. Semua itu boleh diperoleh apabila seorang itu menjadi pemimpin. Persoalan sekarang, siapa sebenarnya pemimpin? Adakah pemimpin terikat dengan sebarang pangkat? Bolehkah seseorang itu jadi pemimpin tanpa jawatan yang diangkat secara rasmi?
Umumnya pemimpin ialah orang yang ada pengaruh dalam masyarakat. Tahap kejayaan kepimpinan seorang itu diukur dari segi pengaruhnya. Lebih tinggi kepimpinan seseorang itu, lebih besar pengaruhnya. Apabila lebih besar pengaruhnya maka lebih ramai pula pengikutnya.
Selain itu pemimpin akan terus mengejar pangkat, kerana pada pangkat seseorang itu ada lebihan kuasa, kedudukannya akan lebih daripada sebelumnya dan ini boleh memberi pengaruh yang lebih baik. Makin tinggi pangkat makin besar kuasa padanya dan makin besar pula pengaruhnya. Oleh sebab itu ramai pemimpin sanggup buat apa sahaja untuk mendapatkan pangkat yang paling tinggi.
Tidak salah seseorang pemimpin itu mencari pengaruh jika dengan pengaruh itu dia dapat memberi kebaikan pada orang di sekelilingnya dan kebaikan pada organisasi yang dipimpinnya atau kumpulannya dan kebaikan pada masyarakat amnya. Tetapi realitinya ramai yang duduk dalam saf kepimpinan dengan begitu selesa tetapi amat sedikit untuk memberi apa-apa kebaikan kepada manusia di sekelilingnya.
Agak malang juga bagi seorang pemimpin jika kewujudannya hanya sekadar berusaha untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan yang diinginkan sahaja, sedangkan manusia yang berada di bawah kepimpinannya tidak beroleh apa-apa perubahan dari segi akhlak atau budi pekerti. Jiwa mereka tidak dipimpin ke arah kebaikan, iman mereka tidak didorong ke arah yang mantap pembesar yang hampir denganku.” (Surah al-A’raf 7: 113-114).
Sebenarnya semua orang seharusnya menjadi pemimpin dan mereka berperanan dalam kepimpinannya terhadap orang yang dipimpin tanpa memerlukan pangkat yang dikurniakan. Setiap orang boleh memilih untuk menjadi pemimpin di mana sahaja mereka berada. Malah anda boleh memberi kelainan tanpa mengira di mana anda berada.
Pemimpin sebenar mengikut Mark Sanborn dalam bukunya lagi ialah mereka yang memiliki daya usaha dan azam yang tinggi untuk memberi kelainan yang positif dalam menjalankan peranan mereka, supaya dunia di sekeliling mereka menjadi lebih baik. Ini bererti pemimpin ialah mereka yang mempunyai daya usaha dan azam yang tinggi untuk menjadikan orang di sekelilingnya menjadi lebih baik melalui peranannya.
Katanya, manusia tidak dianggap baik kalau tidak mengenal penciptanya, lalu tidak patuh kepadanya. Jadi tugas utama pemimpin yang sebenarnya ialah mengenalkan manusia kepada penciptanya, dan memimpin mereka supaya patuh dan taat kepadanya supaya manusia selamat di dunia dan akhirat.
Kalau seseorang itu mempunyai keinginan yang tinggi untuk memberi kebaikan supaya orang di sekelilingnya supaya menjadi lebih baik, maka dia akan terlebih dahulu berusaha bersungguh-sungguh untuk membaiki dirinya. Dia akan sentiasa mencari ilmu dan kaedah untuk meningkatkan kualiti dirinya dari semua sudut. Jika kaedah yang digunakan itu berjaya mengubah hidupnya ke arah lebih baik maka kaedah itu jugalah yang harus dikongsinya dengan orang yang berada di sekelilingnya.
Tegasnya, pemimpin yang sebenar akan bercakap dari hati, dia bertindak dari perasaan hatinya dan dari itulah dia berjaya mengubah dirinya. Cakap-cakapnya akan menyentuh hati pendengarnya. Apabila pemimpin itu dapat menyentuh hati orang-orang di sekelilingnya maka cakapnya, nasihatnya, tegurannya, akan lebih berkesan. Jika semua itu berjalan dengan izin Allah tentu lebih mudah untuk dia mempengaruhi orang di sekelilingnya supaya menjadi lebih baik.
Amanah yang Maha Berat
Daripada Ibnu Umar r.a. meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w. menyebutkan bahawa, “Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang kamu pimpin.”
Berdasarkan hadis di atas, Islam melihat tugas kepimpinan adalah satu amanah daripada Allah yang dipertanggungjawabkan kepada semua manusia. Seorang manusia tidak akan berupaya memimpin orang lain menjadi lebih baik sekiranya mereka tidak berupaya memimpin dirinya terlebih dahulu.
Jelas di sini seorang yang berasa bahawa jiwa kepimpinan jika anda ada keinginan menguasai diri anda dan ingin mengawal kehidupan anda supaya menepati tujuan anda diciptakan. Sebenarnya, anda boleh dikatakan mempunyai bakat kepimpinan jika anda ada kemahuan yang tinggi untuk membaiki organisasi anda, mengambil peluang baru, dan mempengaruhi orang lain supaya menjadi yang terbaik.
Ada pepatah mengatakan sekumpulan kambing yang dipimpin oleh seekor singa lebih ditakuti daripada sekumpulan singa yang dipimpin oleh seekor kambing. Pepatah ini ada kebenarannya, tetapi alangkah hebatnya jika sekumpulan singa dipimpin oleh seekor singa juga.
Ingatlah, tidak ada yang boleh menyekat sebuah organisasi untuk maju ke depan jika setiap orang dalam organisasi itu bertindak sebagai pemimpin yang mempunyai daya usaha dan keazaman yang tinggi untuk menjadikan dunia di sekelilingnya lebih baik melalui peranan mereka masing-masing.
Hj Ahmad Salim Omar
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 7
Haji Ahmad Salim Omar
Lahir di Kuala Terengganu dan berkelulusan B.A.(Hons) dari Universiti Malaya. Beliau berpengalaman luas di dalam urus tadbir kerajaan tempatan dan jabatan kerajaan, antaranya sebagai Pegawai Daerah, Timbalan YDP, Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah di beberapa kementerian. Kini sebagai Pengarah Urusan Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Berpemikiran kritis, sentiasa menilai aplikasi urusan semasa dan berusaha membangunkannya ke tahap optimum. Juga mahir dalam bidang pembangunan insan dan bina diri (self-help) dengan pendekatan Islam.