Menu

 

A+ A A-

TAUBAT YANG TIDAK BERSEMBUNYI

APABILA seorang Muslim melakukan sesuatu maksiat dan dosa, maka sudah tentu dia bertaubat dan menyesal akan perbuatan dosanya itu. Namun, ramai juga yang telah bertaubat, tetapi kembali melakukan maksiat semula. Mereka ini merasa yakin Allah Yang Maha Pengampun akan mengampuni mereka. Justeru, keyakinan mereka itu mendorong mereka untuk melakukan maksiat lagi.

Ya, memang Allah Maha Pengampun. Tetapi itu tidak bermakna kita boleh melakukan dosa berulang-ulang kali dengan sesuka hati. Ia bagai mempermainkan hukum Allah. Bukan ampunan Allah yang bakal diterima, tapi mungkin laknat-Nya dan dosa yang semakin bertambah.

Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 160 yang bermaksud: “Kecuali mereka yang bertaubat dan memperbaiki (amal buruk mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka mereka itulah yang Aku terima taubatnya dan Aku-lah Yang Maha Menerima taubat lagi Maha Penyayang.”

taubat-tidak-sembunyi-1

Para ulama telah merumuskan terdapat 10 perkara yang harus dilakukan agar dosa kita diampuni Allah, iaitu:

1. Lidahnya sentiasa beristighfar.
2. Hatinya menyesali dosa yang dilakukan.
3. Meninggalkan segala perbuatan dosa.
4. Berazam tidak akan mengulangi perbuatan dosa tersebut.
5. Mencintai dan mengutamakan akhirat.
6. Tidak cinta pada dunia.
7. Bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu dan beribadah.
8. Berkata-kata hanya yang perlu sahaja.
9. Makan mengikut keperluannya (tidak banyak).
10. Sedikit tidurnya.

taubat-tidak-sembunyi-2

Sebagai orang awam, agak sukar dan tidak mudah bagi kita untuk melakukan kesemua perkara ini. Tetapi sebenarnya ia boleh dilakukan sekiranya kita memiliki keinginan yang bersungguh-sungguh untuk bertaubat. Ia tidak memerlukan modal yang banyak, hanya berbekalkan tekad dan azam yang kuat serta dapat menahan diri daripada sebarang godaan syaitan.


Mahfuzah Omar
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.2


Mahfuzah Omar

B.A (HSc) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Pernah bertugas sebagai editor penerbitan di Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas