Menu

 

A+ A A-

TAUBAT SI PEMINUM ARAK

DALAM peperangan al- Qadisiyyah melawan tentera Parsi bawah pimpinan panglima tenteranya yang terkenal Rostum, Abi Mihjan r.a. telah turut sama kerana mengejar syahadah iaitu mati syahid. Walau bagaimanapun, impiannya untuk tersenarai sebagai seorang tentera yang mati kerana memperjuangkan agama Allah dan akan mendapat keampunan daripada dosa-dosa, hampir-hampir terbantut kerana hukuman kurung sebelum disebat telah dikenakan kepadanya akibat kesalahan meminum arak.

Ketika Abu Mihjan dikurung untuk menanti hukuman, tentera Islam pimpinan Sa‘ad r.a. mara ke medan meneruskan peperangan. Peperangan yang berlaku begitu sengit sehingga tentera Islam telah terkepung di tengah-tengah tentera Parsi.

Apabila Abu Mihjan menyedari keadaan umat Islam makin kritikal diserang tentera musuh yang mempunyai bilangan yang lebih ramai, beliau telah memujuk isteri Sa‘ad bin Abi Waqqas untuk dia dilepaskan dan boleh menyertai tentera Islam meneruskan jihad. Sesetengah riwayat dalam Hayat al-Sahabah menyatakan dia telah merayu kepada hamba perempuan Sa‘ad agar dikasihani dan diberi peluang menyertai tentera Islam.

Pada awalnya wanita itu rasa keberatan untuk melepaskannya, tetapi setelah Abu Mihjan berjanji akan kembali semula ke penjara untuk dihukum jika dia tidak mati syahid, beliau pun dilepaskan. Di tengah-tengah kepungan tentera Parsi itu, tiba-tiba Sa‘ad berasa hairan melihat kelibat seorang panglima yang menaiki kuda yang dikenalinya, dalam keadaan menutup muka, merempuh kepungan tentera musuh. Tentera itu sangat hebat dan pantas, sehingga berjaya memecahkan kepungan tentera Parsi tersebut.

Setelah selesai pertempuran hari itu, tentera-tentera Islam kembali bercerita antara satu sama lain tentang kehebatan tentera yang menyertai mereka pada minit-minit terakhir itu. Sesetengah mereka membayangkan kemungkinan Allah s.w.t. telah mendatangkan pertolongan dari kalangan tentera Malaikat. Apabila Sa‘ad mendengar kata-kata tersebut, beliau menyatakan: “Dia bukan tentera Malaikat kerana kuda yang ditunggangnya adalah kuda aku.”

Sa‘ad bin Abi Waqqas seterusnya memberikan kepastian bahawa tentera berkuda itu ialah Abu Mihjan yang menanti hukuman kerana meminum arak. Kisah ini ada dibincangkan oleh para ulama berhubung dengan pelaksanaan hukum hudud semasa perang. Setelah mendapatkan kepastian daripada isterinya ataupun hamba perempuannya, Sa‘ad kemudiannya telah melepaskan Abu Mihjan daripada hukuman itu. Beliau membuat perakuan dan bertaubat tidak akan meminum arak lagi. Janji Abu Mihjan itu telah ditepatinya apabila beliau tidak lagi meminum arak sehingga kematiannya. Wallahu a’lam.

 

 

Mahfuzah Omar

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 1

 


 

Mahfuzah Omar

B.A (HSc) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Pernah bertugas sebagai editor penerbitan di Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas