BAHAGIANYA ANAK BERBUDI
- Ditulis oleh Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif
- Kategori Terkini
- Read 4356 times
Lebih besar daripada Jihad
Bagaimanakah kedudukan amalan berbuat baik kepada ibu bapa berbanding amalan-amalan yang lain?
Jawapan: Berbuat baik kepada ibu bapa mempunyai kedudukan yang tinggi dan utama berbanding seluruh amalan kebaikan yang lain. Kedudukannya pada tangga kedua selepas beribadah kepada Allah tanpa menyekutukan-Nya. Firman Allah mafhumnya: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa.” (Surah al-Nisa’: 36)
Bahkan jihad fi sabilillah pun tidak setandingnya. Pada satu kesempatan Abdullah bin Mas‘ud bertanya kepada Nabi s.a.w.: “Amalan apakah yang paling dicintai oleh Allah s.w.t?”
Rasulullah menjawab: “Solat tepat pada waktunya.” “Kemudian apa?” “Berbakti kepada kedua ibu bapa.” “Kemudian apa?” “Jihad fi sabilillah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Tiada Rasa Hormat
Bagaimana kita hendak mengharapkan anak-anak berbakti kepada ibu bapanya sedangkan ramai anak-anak kecil sekarang tidak menunjukkan rasa hormat kepada orang tua?
Jawapan: Sebenarnya, untuk menjadikan anak-anak menghormati ibu bapa, mereka sendirilah perlu menunjukkan dahulu tauladan yang baik kepada anak-anak. Maknanya ibu bapa sendiri mesti menghormati dan berbuat baik terhadap datuk nenek anak mereka. Sekiranya ibu bapa sendiri gagal menunjukkan contoh tauladan yang baik seperti bercakap kasar atau melayan dengan buruk atau tidak pernah menghubungi datuk nenek anak mereka, maka tidak mustahil perlakuan ini juga akan ditiru oleh anak-anak yang menyaksikan sikap mereka. Jadi sekiranya ada anak-anak yang memukul orang tuanya pada masa sekarang atau membuang orang tuanya ke pusat-pusat kebajikan, boleh jadi anak-anak ini pernah menyaksikan layanan buruk orang tuanya terhadap datuk nenek mereka.
Seterusnya, anak-anak juga hendaklah dididik dan diajar untuk menghormati dirinya sendiri. Jika anak enggan menghormati dirinya sendiri, ia akan cenderung untuk tidak menghormati orang lain termasuk ibu bapanya. Hormat pada diri sendiri adalah menjaga adab bercakap, adab berpakaian dan adab berfikir. Ingatkan mereka bahawa jika mereka tidak menghormati orang lain, orang lain juga tidak akan menghormati dirinya kembali. Anak-anak perlu dididik untuk menjaga maruah mereka dan tanamkan dalam minda anak bahawa sekiranya mereka bersikap buruk, manusia lain akan memandang serong dan hina kepada dirinya.
Ibu Jahat
Semasa belajar di US dahulu, saya pernah menyaksikan satu situasi seorang anak muda bertengkar dengan ibunya sampai dia berkata: “Kenapa saya perlu hormat awak sedangkan awak sendiri tidak hormat saya?!”Ibunya memang seorang yang ketagihan arak. Apa komen ustaz?
Jawapan: Islam mendidik umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa walau apaapa pun keadaan mereka. Seorang anak yang boleh membesar itu membuktikan bahawa ibu bapanya ada menjalankan tanggungjawab dahulu meskipun mereka jahat. Jasa yang mereka curahkan sejak kita dilahirkan itu tidak ternilai. Justeru, anak-anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap ibu bapa mereka. Ini merupakan penghormatan tertinggi anak-anak bagi membalas jasa ibu bapa mereka.
Wallahu a‘lam.
Ustaz Mohamad Wahid bin. Abd. Hanif
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 11
Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif
Lulusan BA (hons) Usuluddin (Akidah dan Falsafah) di Universiti al-Azhar, Mesir. Antara guru beliau Syeikh ‘Ali Jumaah (mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki. Antara buku yang beliau hasilkan iaitu buku mengaji Kaedah al-Matien bersama Ustaz Zamri Zainuldin. Kini beliau bertugas sebagai Editor Majalah di syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.