Menu

 

A+ A A-

IMAM HANAFI vs PENDAKYAH YAHUDI

SATU kejutan dicetuskan oleh Imam Hammad bin Abi Sulaiman; bukan dia yang berhadapan dengan Dahri. Sebaliknya murid kesayangannya yang bakal menangkis serangan Dahri. Jengkel sungguh Dahri apabila diminta berbahasa dengan seorang anak remaja. Tetapi dia tidak menolak.

Kisah serta ringkasan perjalanan hidup mengenai tokoh murabbi ini telah pernah dihidangkan dalam ruangan ini. Kehebatan dan kelebihan yang terserlah sedari usia kanak-kanak lagi; satu-satunya persamaan ciri bagi sebilangan besar tokoh ulama silam.

Tanda-tanda bakal menjadi “orang besar” dalam dunia keilmuan dan tarbiah Islam setelah dewasa kelak sudah dapat dikesan sedari mudanya lagi.

Tokoh yang dimaksudkan ialah Nu’man bin Thabit bin Zautha. Namun di dalam senarai tokoh-tokoh ulama besar silam, beliau tidak masyhur dengan nama Nu’man. Sebaliknya lebih popular dengan nama yang disandarkan kepada sesuatu yang sangat cenderung dengannya; iaitu Abu Hanifah.

Ahli sejarah memberi pendapat berkaitan gelaran beliau, seperti berikut:
·    Nama seorang daripada anak lelakinya.
·    Kecenderungan kepada agama sedari kecil lalu dianggap dia seorang yang “hanif”.
·    Ketekunannya mencatat hadis. Ke mana pergi tidak pernah lupa membawa tinta untuk mencatat. Lalu dikaitkan tinta itu dengan gelar yang disandarkan kepadanya. Tinta menurut bahasa Parsi (beliau berketurunan Parsi) disebut “hanifah”.

Nama itulah yang kemudiannya mengangkat dirinya di tengah umat – Imam Abu Hanifah.

Suatu masa seorang pendakyah Yahudi bernama Dahri (ada pendapat mengatakan seorang Ateis) telah datang ke Baghdad. Kehadirannya mencetuskan huru-hara di dalam kota. Dahri telah mencabar sekalian ramai ulama Baghdad berdebat dengannya. Dalam setiap siri debat, Dahri berjaya menewaskan ulama-ulama Baghdad.

Apa yang lebih mencemaskan ialah isu perdebatan yang berkaitan dengan soal-soal ketuhanan atau persoalan akidah. Jika terus-terusan Dahri dapat menguasai pentas perdebatan, lambat laun dikhuatiri orang awam akan keliru siapa sebenarnya yang benar dan siapa yang tidak benar. Orang ramai akan terus gelisah dalam keadaan mereka tidak tahu bagaimanakah hendak menafikan hujah-hujah Dahri. Kalaulah ulama-ulama besar pun kematian hujah, apatah lagi mereka.

Akhirnya Khalifah mengerahkan pegawai-pegawai istana pergi ke daerah-daerah pedalaman. Mencari dan menyelidik jika masih ada alim ulama di sana. Barangkali ada ulama yang dapat membantu menyelesaikan kemelut keyakinan umat yang semakin digoncang kuat oleh Dahri. Jangan biarkan Dahri terus berdiri menepuk dada sambil ketawa besar.

Pencarian bertemu dengan seorang alim bernama Hammad bin Abi Sulaiman. Atas dorongan murid kesayangannya, yakni Abu Hanifah yang masih muda remaja, Imam Hammad bersetuju memenuhi undangan Khalifah untuk berdebat dengan Dahri.

Debat dengan Dahri
Khalifah memerintahkan majlis debat diadakan di masjid jamek di tengah-tengah Kota Baghdad, agar dapat disaksikan oleh seluruh rakyat jelata.

Namun satu kejutan besar dicetuskan oleh Imam Hammad bin Abi Sulaiman; bukan dia yang berhadapan dengan Dahri. Sebaliknya murid kesayangannya yang bakal menangkis serangan Dahri. Jengkel sungguh Dahri apabila diminta berbahas dengan seorang anak remaja. Tetapi dia tidak menolak.

Bermulalah debat di antara Abu Hanifah, anak murid Imam Hammad, dengan Dahri.

“Benarkah Allah itu wujud?” soal Dahri memulakan soalan pertama.

“Ya. Allah memang wujud,” tegas Abu Hanifah.

“Kalau Allah wujud, di manakah tempatnya?”

“Allah tetap wujud tetapi dia tidak bertempat!” jelas Abu Hanifah.

“Hairan, kamu kata Allah itu wujud, tetapi tidak bertempat pula,” sindir Dahri seraya melemparkan senyuman sinisnya.

“Hal itu senang sahaja,” kata Abu Hanifah.

“Cuba kau lihat pada dirimu sendiri. Bukankah pada dirimu itu ada nyawa?”

“Ya, memang aku ada nyawa. Siapa pun tahu setiap makhluk yang bernafas pasti ada nyawa,” tegas Dahri.

“Engkau tahu di manakah letaknya nyawa? Di kepala? Di perut? Atau di tapak kakimu?”
Setelah sebentar membiarkan Dahri terpinga-pinga dan orang ramai mula berbisik-bisik, Abu Hanifah meminta segelas susu. Ditunjukkan kepada Dahri seraya bertanya, “Adakah dalam air susu ini ada terkandung lemak?”

Pantas Dahri menjawab, “Ya, ada.”

“Di manakah lemak itu berada? Di bahagian atasnya atau di bawah?” sekali lagi Abu Hanifah bertanya, mengusik akal Dahri. “Untuk mencari di manakah beradanya roh dalam jasad dan di manakah kandungan lemak dalam air susu ini pun kita tidak upaya, masakan pula kita dapat menjangkau di manakah beradanya Zat Allah s.w.t. di alam maya ini? Zat yang telah mencipta dan mentadbir seluruh alam ini termasuk roh dan akal dangkal kita ini pun ciptaan-Nya, yang tunduk dan patuh di bawah urusan tadbir kerajaan-Nya Yang Maha Agung!”

Bergema sorakan orang ramai. Gembira mereka melihat Dahri terpaku di kerusi. Tersandar bungkam dengan muka merah menahan marah dan malu. Langsung tidak menduga anak remaja yang dianggap masih mentah itu punya kepintaran yang cukup luar biasa.

“Wahai anak muda, apakah yang wujud sebelum Allah? Dan apa pula yang muncul selepas Dia nanti?”

Semua mata tertumpu kepada Abu Hanifah, murid Imam Hammad yang ternyata pintar itu. Serentak dengan itu debaran mereka semakin memuncak. Namun melihat ketenangan di wajah remaja bernama Nu’man itu, sedikit meredakan keresahan.

“Wahai Dahri, tidak ada suatu pun yang wujud sebelum Allah Taala dan tidak ada sesuatu jua yang akan muncul selepas-Nya. Allah s.w.t. tetap Qadim dan Azali. Dialah Yang Awal dan Dialah Yang Akhir,” tegas Abu Hanifah, ringkas tetapi padat.

“Pelik sungguh. Mana mungkin begitu. Tuhan wujud tanpa ada permulaan? Dan mana mungkin Dia pula yang terakhir tanpa ada lagi yang selepas-Nya?”

Dengan tersenyum Abu Hanifah menjelaskan,
“Ya, dalilnya ada pada diri kita sendiri. Cuba kau lihat pada ibu jarimu itu.”

Sambil mengangkat tinggi tangan dengan menegakkan ibu jari, Abu Hanifah terus berhujah, “Jari apakah yang kau Nampak berada sebelum jari ini?”

Perlakuan Abu Hanifah itu nyata cukup menarik perhatian, lalu turut ditiru oleh orang ramai. Menegakkan ibu jari sebagai simbolik yang menandakan isyarat “bagus”.

Abu Hanifah melanjutkan soalannya, “Dan pada jari manis kau itu, ada lagikah jari yang selepasnya?”

Entah sengaja entahkan tidak, Dahri turut mengangkat ibu jarinya. Dia membelek-belek jarinya, seperti tidak percaya pula dengan hujah lawannya. Langsung tidak terfikir persoalan sekecil itu boleh dijadikan senjata untuk mengenakannya.

“Jadi... kalaulah pada jari kita yang kecil ini pun tidak mampu kita fikir, apatah lagi Allah s.w.t. Zat Yang Maha Agung. Tidak ada suatu pun yang mendahului-Nya dan tiada sesuatu yang kemudian selepas-Nya!”

Sekali lagi Dahri terpana. Bungkam. Ternyata, persoalan itu tidak mampu dijawabnya. Namun dia masih tidak berputus asa untuk mematahkan hujah anak muda yang telah memalukannya di khalayak ramai.

Dahri berfikir seketika mencari jalan dan mencari idea. Semacam suatu ilham baru telah menyuntik mindanya, iapun tersenyum. Hati Dahri bergelodak bagai air tengah menggelegak.

“Baiklah, ini soalan yang terakhir untukmu, wahai budak mentah!” Dahri mengeraskan suaranya untuk mengusir rasa malu yang masih menyerangnya.

“Kau kata Allah itu ada. Kalau Allah ada, apakah yang sedang Allah buat sekarang?” tanya Dahri sambil tersenyum sinis.

Senyuman yang dikirakan dapat mencemaskan pihak lawan tetapi rupanya tidak. Sebaliknya dibalas dengan senyum yang lebih tulus, riang dan bercahaya lagi.

“Ini soalan yang sungguh menarik. Jadi kenalah dijawab dari tempat yang tinggi supaya dapat didengar oleh semua orang,” kata Abu Hanifah.

Dahri yang sedari tadi berterusan menerima tentangan hebat, tanpa banyak soal, berjalan turun dari mimbar masjid, memberi tempat untuk Abu Hanifah.

Di atas mimbar yang mulia itu Imam Abu Hanifah pun berseru, “Wahai sekalian manusia! Ketahuilah bahawa pada waktu sekarang ini Allah baru sahaja menjatuhkan yang batil, sebagaimana Dahri yang tadinya berada di atas mimbar telah diturunkan Allah ke bawah. Dan Allah telah menaikkan yang hak, sebagaimana aku yang tadinya berada di bawah telah dinaikkan ke atas mimbar ini!”

Sekeras-keras kejutan dirasakan tiba-tiba menyerang seluruh sendi dan saraf Dahri. Dia tertunduk malu. Tidak menyangka begitu mudah sekali dia dikalahkan oleh seorang remaja yang barangkali tidak ramai penduduk Baghdad mengenalinya.

Tempikan takbir yang bersahut-sahutan terus mencampakkan Dahri dalam kelemasan yang cukup menyeksakan.

Biodata Imam Hanafi
(Pengasas Mazhab HanAfi)
Nama: Nu’man bin Thabit bin Zautha bin Mahan al-Taymi
Lahir: Tahun 80H di Kufah, Iraq.
Wafat: Tahun 150H di Baghdad, Iraq.
Guru: Anas bin Malik, Abdullah bin Harith, Imam Hammad bin Abi Sulaiman, ’Atha bin Abi Rabah, Nafi’ Maula Ibn Umar Qatadah, al-Aswad bin Yazid, dan lain-lain.
Murid: Imam Abu Yusuf Ya’qub bin Ibrahim al-Anshari, Imam Muhammad bin Hasan bin Farqad al-Syaibani, Imam Zafar bin Hudzail bin Qais, Imam Hasan bin Ziyad al-Luluy dan lainlain.

Imam Hanafi juga merupakan seorang tabiin, generasi selepas Sahabat Nabi s.a.w. kerana beliau pernah bertemu dengan salah seorang Sahabat, yakni Anas bin Malik dan meriwayat hadis daripadanya dan sahabat yang lain. Imam Hanafi memiliki tubuh yang tegap, sederhana
tingginya dengan fikiran yang cerdas serta luhur. Apabila berkata, beliau berkata dengan perkataan yang lembut dan manis, kerana lidahnya yang fasih dan kemerduan suaranya dalam menyeru Islam dan tidak pernah bercakap hal-hal yang tidak bermanfaat.

Zuraimi Ismail
Sumber artikel daripada majalah Solusi 9

 


 

 

Kembali ke atas