Menu

 

A+ A A-

9 RABIULAWAL YANG MENGUBAH DUNIA

Tarikh Lahir Rasulullah

SAYA membaca satu tulisan yang mengatakan bahawa Baginda s.a.w. dilahirkan pada 9 Rabiulawal. Bukankah tarikh kelahiran Baginda pada 12 Rabiulawal?

Tarikh kelahiran Nabi s.a.w. sebenarnya masih diperselisihkan oleh para ulama sejarah. Tarikh 12 Rabiulawal sebenarnya tarikh yang masyhur disebut oleh sebahagian ahli sejarah seperti yang direkodkan dalam Sirah Ibn Ishaq dan Musannaf Ibn Abi Syaibah. Walau bagaimanapun, tarikh 9 Rabiulawal lebih sahih dan bertepatan dengan kajian ilmu falak moden. Seorang ahli falak moden yang berasal dari Mesir, Mahmud Pasya ketika membuat kajian mengenai tarikh gerhana matahari semenjak zaman Nabi s.a.w. mendapati tarikh kelahiran Nabi s.a.w. yang paling tepat ialah 9 Rabiulawal. (Al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 71 www.darulkautsar.net)

Hari Lahir Rasulullah

Bagaimana pula dengan hari Isnin? Adakah benar Rasulullah dilahirkan pada hari tersebut?

Ya. Hal ini dinyatakan sendiri oleh Rasulullah s.a.w. Ketika menceritakan kelebihan berpuasa pada hari Isnin, Baginda bersabda yang bermaksud: “Itulah hari aku dilahirkan, hari aku dibangkitkan atau al-Quran mula diturunkan kepadaku.” (Riwayat Muslim) Menariknya, banyak peristiwa penting melibatkan Baginda berlaku pada hari Isnin. Ibn Abbas r.a. menyebut: “Nabi s.a.w. dilahirkan pada hari Isnin, dilantik sebagai nabi pada hari Isnin, wafat pada hari Isnin, keluar berhijrah pada hari Isnin, tiba di Madinah pada hari Isnin dan mengangkat Hajarulaswad pun pada hari Isnin.” (Riwayat Ahmad)

9-rabiulawal-mengubah-dunia-1

Kesahihan Kajian

Berbalik kepada tarikh 9 Rabiulawal, bagaimana tarikh yang berlalu hamper 1500 tahun itu dapat dikaji dan dikatakan paling dekat dengan kebenaran?

Tarikh kelahiran Nabi dapat dikira secara lebih tepat dengan menggunakan ilmu falak atau astronomi. Ilmu ini sebenarnya amat saintifik dan bertepatan dengan roh Islam. Al-Quran sendiri menyatakan prinsip ilmu falak dalam banyak ayatnya antara dalam surah Yunus 10: 5, Ibrahim 14: 33, al-Isra’ 17: 12, al Kahf 18: 25, al-Furqan 25: 45, Luqman 31: 29, Fatir 35: 13, Yasin 36: 37-40 dan al-Zumar 39: 5.

Contoh pengiraan tepat tentang perbezaan antara kiraan tahun Masihi dan tahun Hijrah adalah seperti dalam peristiwa pemuda Kahfi. Allah menjelaskan bahawa 300 tahun Masihi bersamaan dengan 309 tahun Hijrah. Firman-Nya yang bermaksud: “Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka selama 300 tahun (dengan kiraan Ahli Kitab berdasarkan pergerakan matahari) dan tambahlah sembilan lagi dengan kiraan kamu (berdasarkan pergerakan bulan).” (Surah al-Kahf 18: 25) (Tafsir Ibn Kathir) Jadi menurut hasil kiraan ilmu falak, hari Isnin pada minggu kelahiran Nabi s.a.w. secara tepatnya jatuh pada 9 Rabiulawal, bukannya 12 Rabiulawal.

Perbezaan Tarikh

Rasanya masih ramai masyarakat di luar sana yang tidak tahu berkenaan perselisihan pendapat para ulama sejarah tentang tarikh sebenar kelahiran Nabi s.a.w. Apa nasihat ustaz?

Kita hendaklah sama-sama menyedari bahawa matlamat sebenar pengutusan Nabi Muhammad s.a.w. bukannya terletak pada tarikh lahirnya. Apa yang lebih penting untuk kita nilai sejauh mana kita benar-benar mengikuti ajaran Baginda s.a.w. Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Jika benar-benar kamu mengasihi Allah, maka ikutilah daku. Pasti Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.’” Perbezaan pendapat tentang tarikh lahir Nabi s.a.w. tidak sepatutnya menghanyutkan umat Islam dalam pergaduhan yang meruncing. Perbincangan berkenaannya sepatutnya dilihat sebagai manifestasi semangat menuntut ilmu dan mencari kebenaran berdasarkan kajian kepada sunnah alam ciptaan Allah.

Ulang Tahun Kelahiran Rasulullah

Apa pula pandangan ustaz berkenaan sambutan maulidur rasul?

Pertama dari segi sorotan sejarah. Para ahli sejarah mendapati bahawa kerajaan Fatimiyyah (bermazhab Syiah) di Mesir merupakan kerajaan pertama yang mengadakan sambutan Maulidur rasul. Mereka juga membuat sambutan mauled (sambutan sempena lahir) banyak tokoh-tokoh Ahli Bait yang lain seperti sambutan maulid Sayidina Ali dan Hussin. Bagaimanapun sambutan ini kemudiannya dihentikan pada tahun 488 hijrah oleh Khalifah al-Musta‘la Billah.

Kemudiannya sambutan maulid berlaku secara rasmi pada awal kurun ke-7 hijrah atas saranan pemerintah Bandar Irbil, Muzaffar al-Din (bermazhab Sunni). (Fatwa Syeikh ‘Atiyyah Saqr, Mei, 1997 dalam Fatwa al-Azhar) Para ulama juga berselisih pendapat tentang sambutan mauled Nabi. Majlis Fatwa Arab Saudi menghukumnya sebagai perbuatan bidaah yang mungkar kerana ia tidak pernah dilakukan oleh para sahabat dan generasi awal Islam. Namun ada juga ulama yang mengharuskannya sebagai sat usaha untuk menyegarkan kembali rasa cinta kepada Baginda Rasulullah s.a.w. dengan syarat sambutan itu tidak bercampur dengan perkara yang bertentangan dengan Islam. (Syeikh ‘Atiyyah Saqar, Fatwa al-Azhar dan Prof. Dr. Yusuf al- Qaradawi, qaradawi.net)

Abdullah Bukhari Abdul Rahim
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.5


Al-Ustaz

Majalah yang dilahirkan untuk merungkai segala persoalan feqah, akidah dan lain-lain perihal agama dalam kalangan masyarakat. Diwakili oleh pelbagai kolumnis pakar dalam pelbagai bidang. Majalah yang padat serta dikukuhkan berdasarkan Al-Quran & Hadis. Sesuai dijadikan sebagai sumber rujukan kepada persoalan-persoalan dan menjawab segala kekeliruan permasalahan di kalangan umat islam.

 

Dapatkan majalah Al-Ustaz keluaran terbaru di Addeen Online Store!

Kembali ke atas