Menu

 

A+ A A-

SOLAT TAHAJUD KEBIASAAN ORANG SOLEH

solat tahajud-1

Bangun Malam

Ayat ini menyuruh kita untuk bangun malam. Bolehkah ustazah jelaskan, apakah yang mesti kita lakukan jika terbangun di tengah malam?

Jawapan

Bangun malam yang dimaksudkan di sini adalah solat tahajud. Dari segi bahasa ia berasal dari kata “hajada” iaitu jaga malam. Secara istilah ia bererti bangun di tengah malam untuk melakukan ibadah seperti solat dan lain-lain.

 Ayat ini memang mengandungi suruhan bagi Nabi untuk bangun dan mengerjakan solat dan ibadah lainnya di malam hari. Perbuatan ini merupakan kebiasaan orang-orang soleh daripada umat-umat terdahulu.

Sebagai umat Nabi Muhammad, sangat baik jika kita boleh melakukan ibadah ini untuk mencontohi Baginda. Rasulullah bersabda: “Lakukanlah solat malam kerana ia adalah kebiasaan orang-orang soleh yang terdahulu. Solat malam akan mendekatkan kamu kepada Allah, menjauhkan kamu daripada maksiat, menghapuskan dosa serta mengusir penyakit daripada tubuh.” (Riwayat al-Tirmizi)

Ikut Kemampuan

Apakah jenis solat yang boleh dilakukan di waktu malam?

Jawapan

Saudari boleh melakukan solatsolat sunat yang saudari kehendaki seperti solat Tasbih, Hajat, Taubat, Witir dan lain-lain. Boleh juga saudari berniat untuk melakukan solat tahajud sebanyak 8 rakaat, lalu dilanjutkan dengan witir sehingga bilangannya menjadi 11 ataupun 13 rakaat.

Zaid bin Khalid dan Ibn Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah melakukan solat malam sebanyak 13 rakaat. Sementara Siti Aisyah berkata bahawa Baginda melakukan solat malam sebanyak 11 rakaat. Berkata Ibn Qudamah al-Maqdisi: “Kemungkinan Rasulullah melakukan 11 rakaat pada satu malam dan 13 rakaat pada malam yang lain.”

Pada pendirian saya silakan lakukan solat ini mengikut kemampuan kita. Jika tidak mampu sebanyak itu, buatlah walau hanya 2 rakaat sahaja. Asalkan solat malam menjadi salah satu rutin kita setiap malam.

Sunat untuk memulakan solat tahajud dengan solat dua rakaat ringan sebagai pembuka. Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi berkata, “ Jika salah seorang kamu yang bangun malam, hendaklah memulakan dengan dua rakaat solat yang ringan.” (Riwayat Muslim)

Bacaan Solat Tahajud

Apakah surah yang mesti kita baca dalam solat Tahajud? Adakah nada bacaan mesti dikuatkan atau diperlahankan?

Jawapan

Tidak ada surah khas yang mesti kita baca dalam solat Tahajud. Bacalah mana-mana surah yang kita hafal. Sebagaimana firman Allah: “Dan bacalah mana-mana ayat daripada al-Quran yang mudah bagimu…” (Surah al-Muzzammil: 20)

Jika saudari hafal seluruh al-Quran, eloklah jika saudari membacanya dalam solat malam ini. Bacalah satu juzuk satu malam agar dapat mengkhatamkan al-Quran dalam satu bulan.

 Adapun nada bacaan ketika melakukan solat malam, Siti Aisyah mengatakan bahawa Nabi memilih membaca dengan nada yang sederhana iaitu tidak perlahan atau kuat. (Riwayat al-Tirmizi)

Bacaan yang sederhana dapat membuat kita lebih menghayati dan memahami ayat-ayat yang kita baca tersebut.

Qada’ Tahajud

Alhamdulillah, saya terbiasa melakukan solat Tahajud. Namun pernah satu malam saya sangat penat setelah balik beraya di kampung dan tidak bangun malam. Saya baru terbangun setelah masuk waktu subuh. Saya menjadi sangat sedih sekali. Apa nasihat ustazah?

Jawapan

Tahniah kepada saudari kerana memiliki kebiasaan mulia ini. Sebenarnya saudari boleh mengqadak solat Tahajud saudari selepas subuh. Dr Wahbah Zuhaili dalam kitab al-Fiqh al-Islami berkata:

 “Sesiapa yang terbiasa melakukan solat Tahajud, lalu terlepas daripadanya, maka disunatkan baginya untuk mengqadak solat tersebut pada masa antara solat Subuh dan Zuhur.” Hal ini bersandarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Siti Aisyah.

solat tahajud-2
solat tahajud-2

 

USTAZAH SITI AISHA CHIK

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.19


 

Al-Ustaz

Majalah yang dilahirkan untuk merungkai segala persoalan feqah, akidah dan lain-lain perihal agama dalam kalangan masyarakat. Diwakili oleh pelbagai kolumnis pakar dalam pelbagai bidang. Majalah yang padat serta dikukuhkan berdasarkan Al-Quran & Hadis. Sesuai dijadikan sebagai sumber rujukan kepada persoalan-persoalan dan menjawab segala kekeliruan permasalahan di kalangan umat islam.

 

Dapatkan majalah Al-Ustaz keluaran terbaru di Addeen Online Store!

Kembali ke atas