ISTERI BERKERJAYA TETAP BERHAK TERIMA NAFKAH
- Ditulis oleh Dr Ali Jumuah
- Kategori Hukum
- Read 13632 times
Bolehkah seorang suami menjadikan gaji isterinya yang bekerja sebagai miliknya dan memantau semua perincian perbelanjaan isterinya itu? Dan bolehkah suami tidak menanggung nafkah makan minum dan perubatan isterinya atas alasan si isteri berkemampuan untuk menanggung dirinya sendiri?
JAWAPAN :
Seorang suami mempunyai tanggungan kewangan sendiri. Begitu juga isteri memiliki tanggungan kewangan sendiri. Maka seorang suami tidak boleh meminta semua atau sebahagian daripada gaji isterinya. Ini kerana gaji itu milik penuh isterinya dan dia bebas untuk membelanjakannya.
Seorang suami juga tidak boleh mengabaikan tanggungjawab nafkah dengan alasan isterinya memiliki wang untuk membiayai dirinya sendiri. Hal ini kerana nafkah isteri merupakan kewajipan ke atas suami meskipun isterinya lebih kaya daripadanya.
Taat Suami dalam Maksiat
SOALAN :
Saya ingin memakai hijab (tudung). Namun suami saya tidak membenarkan dengan alasan takut saya akan terasing dalam pergaulan masyarakat. Mohon nasihat.
JAWAPAN :
Tidak boleh taat kepada makhluk untuk bermaksiat kepada Allah. Dalam kes ini, seorang isteri boleh untuk tidak mentaati suaminya kerana si suami tidak memerintahkan sesuatu yang bersesuaian dengan syariat, malah bertentangan dengannya.
Perkara ini (iaitu keputusan tidak memakai tudung) tidak boleh dilakukan oleh suami ataupun isteri. Isteri akan dihisab di sisi Allah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Seseorang tidak akan menanggung dosa orang lain.”
Isteri tidak boleh mentaati suami dalam perkara ini. Kenyataan si suami itu jelas menunjukkan kekeliruan. Orang yang bertudung tidak terasing daripada pergaulan. Tudung telah menjadi perkara biasa diseluruh timur dan barat, dari Amerika hingga ke Jepun. Ia tidak menyebabkan pengasingan diri. Larangannya itu tidak lain hanya berpunca daripada syahwat dan tipu daya dunia yang menimpa hati manusia.
Wallahu a‘lam.
Menjaga Anak Yatim
SOALAN :
Saya merancang untuk mengambil dan menjaga seorang anak yatim dari rumah anak yatim. Namun pihak berkenaan tidak ingin menyerahkannya kepada saya. Jadi apa yang saya mampu lakukan untuknya adalah memberikannya wang, menziarahi dan membawanya berjumpa doktor apabila dia sakit. Adakah bentuk penjagaan anak yatim sebegini sah atau tidak?
JAWAPAN :
Ya, penjagaan sebegini adalah sah. Semoga Allah memberi anda ganjaran pahala yang berlimpah. Ibadah ini diterima, insya-Allah. Bentuk-bentuk pembelaan anak yatim sangat banyak antaranya:
- Membawanya untuk tinggal bersama di rumah.
- Melalui rumah-rumah anak yatim dengan memberikan wang kepada mereka.
- Membiarkannya tinggal bersama keluarganya yang miskin dan menanggung nafkahnya.
Mengambil anak seperti ini hukumnya fardu kifayah. Jika ada seorang Muslim telah melakukannya, maka gugur tuntutan ke atas orang Islam yang lain. Jika tiada seorang pun yang melakukannya, maka semuanya berdosa secara ijmak. Anak yatim tidak boleh terabai begitu sahaja dalam masyarakat. Semua orang Islam wajib mengetahui hukum ini.
Satu persoalan: Jika ada seseorang membela anak itu, siapakah yang wajib memberikan nafkah kepadanya jika si penjaga itu seorang miskin?
Pendapat kami: Setiap orang yang mengetahui perkara ini wajib membantunya. Antara bantuan yang boleh disalurkan adalah dengan menggunakan wang zakat yang dinafkahkan kepada anak ini hingga dia mencapai usia dewasa dan mampu menanggung diri sendiri.
Menikahi Ekspatriat
SOALAN :
Saya seorang Muslim yang menikahi wanita ekspatriat (orang yang bekerja di negara asing) sejak sepuluh tahun lepas. Usianya lebih tua daripada saya 20 tahun. Dia memeluk Islam dan istiqamah melaksanakan solat, puasa dan semua tuntutan agama yang lain. Masalahnya, dia mandul. Saya khuatir jika saya meninggalkannya dan bernikah dengan wanita lain, tindakan itu akan menjejaskan keislamannya. Hal ini kerana kami menetap di Amerika sekarang. Apa hukum syarak dalam masalah ini?
JAWAPAN :
Menyandarkan keislaman isteri dengan perilaku suami bukan suatu perkara yang disukai. Bagaimana jika suami menceraikannya atau mati dan sebagainya? Perkara ini mesti kita sedari. Meskipun begitu, saya menasihati agar si suami jangan bernikah lagi.
Tidak mengapa jika tidak memiliki anak kerana bukannya syarat pernikahan itu supaya zuriat dilahirkan. Bahkan kesetiaan dengan isteri yang mandul merupakan sebahagian daripada iman.
Imam al-Sya‘rani berkata: “Sesungguhnya antara tanda baiknya pergaulan dan iman seorang suami adalah menjaga aspek ini. Yakni aspek kesetiaan kepada isteri pertama melebihi keinginannya untuk mencari isteri yang lain ataupun anak.” Perkara ini telah ditekankan oleh fuqaha. Dan kes yang disebutkan ini lebih lagi.
Justeru saya nasihatkan, (bukannya mengarah) agar suami berpegang dengan nilai-nilai Islam, akhlak mulia dan setia kepada isterinya. Tindakan ini lebih baik berbanding mendapatkan anak daripada isteri baru.
Wallahu a‘lam.
Dr Ali Jumuah
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08
Dr Ali Jumuah
Ulama Mesir ini dilahirkan pada 3 Mac 1952. Setelah menghafal al-Quran, beliau melanjutkan pendidikan formalnya dalam ilmu-ilmu Islam di Universiti Ain Shams, Mesir. Pada tahun 1988, beliau menyempurnakan pengajian PhD di Universiti al-Azhar dalam bidang usul fiqh. Sejak September 2003 hingga ke saat ini, beliau memegang jawatan sebagai Mufti Mesir.