Menu

 

A+ A A-

HATI YANG BERSIH DITEMPA OLEH MAKANAN

ADAKAH apa-apa produk yang mempunyai logo halal sebenarnya halal di sisi syariat Islam? Apakah definisi halal oleh JAKIM?

Halal bermaksud perkara-perkara yang diharuskan dan dibenarkan oleh Islam sama ada dari sudut penggunaannya atau perkhidmatannya. Haram pula lawan bagi halal, bermaksud yang ditegah, berdosa melakukannya dan mendapat balasan yang buruk di sisi Islam. Di antara kedua-dua halal dan haram ini ialah syubhah atau masybuh.

Allah menyuruh kita mendapatkan perkara-perkara yang halal untuk kegunaan seharian. Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 168 yang bermaksud: “Wahai manusia, makanlah daripada apa-apa yang dikeluarkan di atas muka bumi ini daripada yang halal lagi baik.” Halal merujuk kepada istilah makanan yang disediakan dengan kaedah hukum syarak dan baik merujuk kepada makanan yang bersih, selamat, berkhasiat dan bermanfaat.

halal haram

Berkenaan dengan penggunaan logo halal pada produk-produk khususnya makanan, JAKIM mempunyai logo yang standard dikeluarkan kepada pengeluar produk yang telah mendapat kelulusan sijil halal bagi produk-produk mereka. Selain itu, sijil halal juga dikeluarkan kepada premis dan juga pusat penyembelihan. Berdasarkan prosedur halal JAKIM, halal didefinisikan seperti berikut:

1.    Tidak terdiri daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau benda daripada binatang yang dilarang bagi orang Islam memakannya, atau tidak disembelih mengikut hukum syarak.
2.    Tidak mengandungi apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut hukum syarak.
3.   Disediakan, diproses atau dikilangkan dengan menggunakan alat-alat yang bebas daripada benda-benda najis mengikut hukum syarak.

Semasa menyedia, memproses atau menyimpannya, tidak bersentuhan atau berdekatan dengan apa-apa makanan yang tidak memenuhi kehendak-kehendak seperti prosedur Pertama, Kedua dan/atau Ketiga. Berdasarkan definisi di atas, jelaslah kepada kita logo-logo halal JAKIM yang terdapat pada produk-produk harian pengguna, menepati apa yang terkandung dalam kitab-kitab fiqah. Cuma ia digubal dalam bentuk standard dan diberikan definisi secara mudah untuk difahami khususnya penggiat industri. Walaupun begitu, terdapat juga pelbagai bentuk logo halal pada produk-produk tersebut. Justeru, pengguna dinasihatkan mengenali logo halal JAKIM untuk lebih yakin dan selamat tentang status produk tersebut. Sila rujuk www.halal.gov.my untuk kepastian logo halal JAKIM.

Mengapakah babi itu diharamkan oleh Allah s.w.t? apakah hikmahnya?

Sebelum menjawab sebab dan hikmah babi itu diharamkan, suka saya menyatakan bahawa segala apa yang dihalalkan dan diharamkan oleh Allah s.w.t., sudah tentu ada sebab musababnya. Walaupun begitu, sebagai seorang Muslim, asas aqidah iaitu percaya bahawa Allah itu menentukan kebaikan dan keburukan, qadak dan qadar menjadi paksi kepada apa-apa juga suruhan dan larangan Allah, halal dan haram yang ditentukan oleh-Nya. Justeru, sebagai Muslim, keimanan perlu mendahului segala hikmah atau sebab-sebab halal dan haramnya atas orang beriman. Menurut Dr Yusuf al-Qardawi dalam kitabnya “Halal dan Haram Dalam Islam”, terdapat 11 prinsip halal dan haram yang menjadi garis panduan kepada umat Islam dan salah satunya ialah setiap yang halal itu memberi manfaat dan kebaikan, dan setiap yang haram itu memberikan keburukan dan kemudaratan. Dalam al-Quran, Allah menyatakan empat tempat yang secara jelas mengharamkan babi
iaitu:
·    Surah al-Baqarah 2: 173
·    Surah al-Maidah 5: 3
·    Surah al-An’am 6: 145
·    Surah Al-Nahl 16: 115

Selain itu, terdapat beberapa bukti sains yang menunjukkan babi memberikan kemudaratan kepada manusia iaitu:
1.    Babi mempunyai kandungan belerang yang tinggi yang memberi kesan kepada tulang, otot dan saraf manusia
2.    Babi mempunyai dua bahan berbahaya iaitu Histamine dan Imidazole yang boleh membawa kesan penyakit kulit kepada manusia.
3.    Babi menyebarkan cacing Trichina yang sangat berbahaya dan boleh menyebabkan penyakit kepada manusia.
4.     Babi mengandungi lemak berlebihan dan zat beracun.
5.    Perangai dan sifat babi boleh mempengaruhi si pemakannya, seperti kuat seks, gopoh dan tidak malu.

Mengapakah terdapat banyak isu-isu penipuan tentang produk halal mutakhir ini? Apakah sebab sebabnya?

Berkenaan dengan soalan saudara, isu-isu produk halal ini sememangnya sukar untuk ditangani tanpa kerjasama dan sokongan daripada pelbagai pihak. Untuk pengetahuan saudara, perlu difahami bahawa halal bukan sekadar maksud yang dilihat dari sudut hukum syarak semata-mata, tetapi ia memberikan maksud yang berbeza kepada industri dan masyarakat bukan Islam. Bagi mereka, halal merupakan suatu produk yang bersih, suci, selamat, berkhasiat dan bermanfaat kepada industri dan juga alat pemasaran (marketing tool) yang amat berkesan bukan sekadar kepada umat Islam yang pasarannya melebihi 1.2 bilion orang, tetapi juga kepada semua pengguna secara global.

Ada yang mengatakan pasaran 1 bilion yang ketiga selepas Cina dan India ialah umat Islam. Justeru, apabila produk halal dilihat dalam perspektif perniagaan, maka sudah tentulah risiko di sebalik itu mengundang kepada pelbagai bentuk penipuan, kekeliruan, penyelewengan dan apa jua bentuk cara untuk memperdaya pengguna agar membeli produk mereka dengan logo halal.

Selain itu, logo dan sijil halal juga menjadi isu di peringkat tempatan dan global kerana tidak ada satu mekanisme yang dapat diguna pakai untuk menyatukan penggunaan logo dan sijil halal di dunia ini. Hal ini kerana negaranegara Islam tidak sepakat dalam menentukan standard halal yang perlu digunakan sebagai rujukan tunggal. Di peringkat nasional, Malaysia memainkan peranan yang begitu aktif bagi memastikan standard halal yang dikeluarkan oleh JAKIM benar-benar terjaga dengan mengambil kira hukum syarak dan kepentingan industri. Lantaran itu, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh kerajaan dan pihak swasta bagi menjana pembangunan dan kualiti produk halal ke pasaran global. Sebagai rujukan, saudara boleh melayari www.halal.gov.my.

 

Fahrul Irfan bin Ishak
Sumber artikel daripada mMajalah al-Ustaz isu No.1


Fahrul Irfan bin Ishak

Lulusan B.A (Hons) Syariah Islamiah Universiti al-Azhar Mesir. Kemudian memperolehi Master of Comparative Laws, IIUM. Kini sedang mengikuti pengajian PhD in Halal Product Managemenet, UPM. Bertugas sebagai pensyarah di Universiti Kuala Lumpur-MITEC

Kembali ke atas