TIDAK BELA ANJING BUKAN BEERTI BENCI
- Ditulis oleh Dr. Mohd Sukki Othman
- Kategori Hukum
- Read 5172 times
Keperluan atau Kemahuan
Kita dibenarkan membela anjing untuk menjaga kebun dan berburu. Namun kenapa kita tidak boleh membelanya sebagai haiwan peliharaan di dalam rumah seperti kucing?
Syaitan sentiasa melaksanakan tugasnya untuk menyesatkan manusia dalam segenap perkara. Oleh yang demikian, ia akan berusaha sedaya-upaya agar manusia melakukan larangan Allah s.w.t. Maka sesuatu perkara yang hendak dilakukan hendaklah diselidiki terlebih dahulu sama ada ia dibenarkan oleh hukum syarak atau sebaliknya.
Menurut Prof. Dr. Yusof al- Qaradawi dalam bukunya Halal wa Haram fi al-Islam, termasuk perkara yang dilarang oleh Nabi adalah memelihara anjing di dalam rumah tanpa ada sesuatu keperluan. Nabi bersabda maksudnya: “Sesiapa memelihara anjing bukan untuk keperluan berburu atau penjagaan, maka pahalanya akan berkurang sebanyak satu qirath setiap hari.” (Muttafaq ‘alaih).
Di samping itu, malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang terdapat di dalamnya anjing. Sabda Nabi maksudnya: “Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya anjing dan gambar.” (Muttafaq ‘alaih).
Malaikat Enggan
Kenapa malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya anjing? Adakah malaikat maut juga tidak masuk ke dalam rumah itu?
Jawapan :
Menurut Abdul Qadir Ahmad ‘Ata menerusi bukunya Haza Halal wa Haza Haram, antara sebab malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang mempunyai anjing ialah anjing merupakan binatang yang banyak makan benda-benda kotor serta mempunyai bau kurang menyenangkan yang tidak disukai oleh para malaikat. Sebahagian ulama pula berpendapat bahawa hikmah larangan memelihara anjing di rumah adalah apabila anjing itu menyalak, ia akan menakutkan tetamu yang berkunjung ke rumah.
Malaikat yang tidak memasuki rumah berkenaan hanya malaikat tertentu sahaja seperti Malaikat Jibrail dan Malaikat Rahmat. Manakala malaikat lain tetap akan masuk juga. Malaikat Raqib dan Atid akan tetap bersama insan di mana-mana kita berada untuK mencatat segala amalan. Begitu juga malaikat maut akan masuk mana-mana rumah untuk mencabut nyawa penghuninya yang sudah sampai waktu ajalnya.
Saya melihat, Islam melarang memelihara anjing tanpa sebarang keperluan kerana Islam merupakan agama yang mencintai kebersihan.
Masuk Syurga Kerana Anjing
Ada seorang lelaki yang bermusafir dalam keadaan sangat dahaga. Tiba-tiba dia menemui sebuah perigi. Oleh kerana tiada timba, diapun turun ke dalamnya. Setelah puas minum air, dia naik ke atas kembali. Lalu dia dapati ada seekor anjing terjelir-jelir lidahnya menjilat pasir kerana tersangat dahaga.
“Anjing ini haus seperti yang aku rasakan sebelum ini.”
Lalu dia turun semula ke dalam perigi dan mengisi air ke dalam kasutnya. Dia memegang kasut yang dipenuhi air itu dengan mulutnya sambil memanjat naik ke atas. Kemudian dia memberi anjing itu minum. Dengan tindakannya itu, Allah mengampunkan dosanya dan memasukkannya ke dalam syurga.
Mendengar kisah ini, para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, adakah dengan menolong haiwan kita mendapat pahala juga?”
“Ya! Menolong setiap makhluk bernyawa akan diberi pahala.” (Riwayat al-Bukhari)
Tidak Bela Bukan Benci
Saya memerhatikan orang Islam begitu membenci anjing. Padahal anjing itu haiwan peliharaan yang menyeronokkan dan paling bermanfaat bagi manusia berbanding kucing, burung dan ikan. Pada saya, biarpun anjing itu najis tetapi tidaklah sampai kita perlu memandangnya hina. Apa pandangan ustaz?
Jawapan :
Sememangnya kita dituntut untuk bersikap belas kasihan dan rahmat terhadap haiwan termasuklah anjing. Biarpun kita tidak boleh memelihara anjing, kita juga dilarang melakukan kezaliman terhadapnya.
Benarlah. Menurut jumhur fuqaha, anjing membawa najis mughallazah. Ini berdasarkan perintah Rasulullah agar membasuh bekas yang dijilat anjing sebanyak tujuh kali dimulai dengan air yang dicampurkan tanah.
Nabi bersabda, maksudnya: “Sucinya bejana (bekas) kamu yang dijilat anjing adalah dengan dibasuh bejana itu sebanyak tujuh kali dengan air dan pada basuhan pertama dicampurkan tanah.” (Riwayat Muslim)
Walaupun begitu sekali cara membasuh najis anjing, ini tidak bermakna Islam menganggap anjing sebagai makhluk hina yang wajib dibenci. Maka selain hukum khas ini, anjing itu sama sahaja dengan haiwan lain. Sekiranya seseorang itu melakukan kebaikan pada mana-mana makhluk Allah, maka sudah tentu dia akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah.
Wallahu a‘lam.
Dr. Mohd Sukki Othman
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 11
Dr. Mohd Sukki Othman
Sarjana Muda B. Arab dan Syariah, Universiti Yarmouk, Jordan. Sarjana Pengajian Islam, UKM. dan PhD dalam bidang I’jaz al-Quran, UM. Panelis Tanyalah Ustaz, TV9 ini merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM). Lebih daripada 12 buku karyanya telah berada di pasaran. Dekati beliau di www.ustazshauqi.com
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.