Menu

 

A+ A A-

PESAKIT, AWAS BISIKAN SYAITAN

Soalan: Minggu lepas, saya berkunjung ke hospital untuk menziarahi pak cik saya yang terkena sakit kencing manis. Beliau hanya terlantar sahaja di atas katilnya. Saya terkejut apabila beliau mengatakan sudah tiga hari tidak melakukan solat. Apabila saya tanyakan sebabnya, beliau mengatakan tidak tahu bagaimana cara hendak solat. Apa komen ustaz?

Jawapan:

Syaitan mudah menipu manusia yang kurang ilmunya. Dengan sebab itu, terdapat mereka yang sakit tidak menunaikan solat seolah-olah solat tidak lagi wajib dilakukan ketika sakit.

Biasanya jika dilakukan “ziarah” ke hospital untuk melawat pesakit, kita akan dapati hanya beberapa orang sahaja yang menunaikan solat di tempat perbaringannya. Sementara yang lain seakan-akan tidak menyedari langsung tentang kewajipan menunaikan solat. Alasannya mudah sahaja, bagaimana melakukan solat dalam keadaan sakit?

Begitu juga orang yang menziarahi pesakit, jarang yang memberi ingatan kepada pesakit untuk menunaikan solat apabila tiba waktu solat. Sebaliknya penziarah hanya membawa makanan atau buah-buahan untuk diberikan kepada pesakit, padahal dia tahu bahawa orang sakit tidak berselera makan sebagaimana orang sihat.

Hal ini menunjukkan betapa ramai yang tertipu oleh syaitan akibat kedangkalan ilmu. Orang yang sakit diberikan kemudahan dalam ajaran Islam untuk menunaikan solat mengikut keupayaannya. Ajaran Islam tidak memaksa pesakit berdiri untuk menunaikan solat sekiranya dia tidak mampu untuk berdiri. Namun, solat hendaklah dilakukan menurut kemampuan dan keupayaan masing-masing.

Seorang sahabat bertanya kepada Nabi bagaimana melakukan solat dalam keadaan beliau mempunyai penyakit buasir? Nabi menjelaskan: “Hendaklah kamu menunaikan solat dalam keadaan berdiri, jika kamu tidak mampu, maka lakukanlah dalam keadaan duduk dan sekiranya kamu tidak mampu juga, tunaikanlah solat dalam keadaan berbaring.” (Riwayat al-Bukhari)

SAKIT

Imam Memanjangkan Bacaan

Soalan:

Saya pernah menghadiri solat berjemaah di surau kampong saya. Saya perhatikan ramai orang yang solat sambil duduk di barisan belakang. Pernah satu ketika, imam memanjangkan solat dan bacaan surah sehingga meresahkan makmum yang sakit dan uzur. Apa pendapat ustaz tentang imam sebegini?

Jawapan:

3Imam sewajarnya bersederhana pada bacaan solat atau dalam kata lain tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek. Kadang-kala seseorang itu dianugerahkan dengan suara yang lemak merdu ketika mengalunkan bacaan al-Quran. Justeru, kadangkala syaitan berjaya memperdayakan manusia dengan membisikkan agar membaca ayat dengan panjang walaupun ketika menjadi imam solat agar makmum terpegun dengan bacaannya itu. Dalam masa yang sama, imam tersebut ‘terlupa’ bahawa makmumnya terdiri daripada pelbagai keadaan orang sama ada yang uzur, sakit, budak kecil dan sebagainya.

Rasulullah bersabda: “Jika salah seorang antara kamu solat dengan yang lain, hendaklah memendekkannya, sebab antara mereka ada yang lemah, sakit dan ada pula yang tua. Apabila salah seorang antara kamu melakukan solat sendirian, silakan memanjangkan solat sekehendaknya.” (Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini menjelaskan bahawa seorang imam dituntut untuk tidak terlalu memanjangkan bacaan surah atau ayat. Justeru, seseorang hendaklah memendekkan solatnya ketika menjadi imam dalam solat fardu. Selain itu, hendaklah juga dipendekkan bacaan dalam solat-solat sunat yang disyariatkan untuk dilakukan dengan berjemaah seperti solat hari raya dan sebagainya.

Wallahu a‘lam.

 

DR. MOHD SUKKI OTHMAN

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 13

 


 

Dr. Mohd Sukki Othman

Sarjana Muda B. Arab dan Syariah, Universiti Yarmouk, Jordan. Sarjana Pengajian Islam, UKM. dan PhD dalam bidang I’jaz al-Quran, UM. Panelis Tanyalah Ustaz, TV9 ini merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM). Lebih daripada 12 buku karyanya telah berada di pasaran. Dekati beliau di www.ustazshauqi.com

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas