AWAS KHALWAT SIBER
- Ditulis oleh Dr. Mohd Sukki Othman
- Kategori Terkini
- Read 7073 times
SOALAN: Golongan ilmuwan kini juga tidak terkecuali daripada memanfaatkan Internet untuk berdakwah. Kadang-kala wanita yang mempunyai masalah akan menghubungi mereka melalui perbualan dalam talian (chatting) untuk menyelesaikan masalahnya. Maka adakah perkara seumpama ini juga mempunyai unsur tipu daya syaitan?
Rasulullah bersabda: “Agama adalah nasihat.” Para sahabat bertanya: “Bagi siapa wahai Rasulullah?”
Rasulullah menjawab: “Bagi Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin kaum Muslimin dan kaum Muslimin secara umum.” (Riwayat Muslim)
Hadis ini menunjukkan nasihat-menasihati merupakan sesuatu yang dituntut dalam Islam. Oleh yang demikian, seseorang yang mempunyai masalah boleh mendapatkan nasihat daripada seseorang yang berilmu dan dipercayai.
Namun begitu, kadang-kala tanpa disedari syaitan berjaya menipu manusia apabila berlangsungnya nasihat-menasihati antara dua orang yang bukan mahram secara sendirian walaupun di alam maya.
Syaitan sangat licik memperdayakan manusia terutamanya antara lelaki dan wanita. Hal ini kerana secara fitrahnya lelaki mudah tergoda dengan wanita.
Nabi bersabda: “Tidak ada suatu fitnah yang lebih besar bahayanya dan lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita.” (Riwayat al-Bukhari)
Perhubungan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram ibarat api yang dicurahkan minyak. ia akan mudah terbakar. Namakan saja jenis aplikasinya sama ada chatting, Whatsapp, WeChat ataupun sebagainya, syaitan tidak akan melepaskan kesempatan untuk mendorong manusia melakukan maksiat.
Muslihat Terancang
Pada mulanya ruangan chatting di Internet itu digunakan untuk mengadu masalah. Tetapi selepas itu syaitan akan menggoda untuk meluaskan perbincangan kepada isu-isu lain yang lebih bersifat peribadi. Akhirnya tanpa disedari mereka sudah termasuk dalam perangkap syaitan dan hanyut dalam gelombang maksiat.
Firman Allah: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orangorang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan dan memelihara kehormatan mereka.” (Surah al-Nur: 30-31)
Kefahaman ayat ini bukan hanya perlu difahami dalam konteks pertemuan secara zahir. Ia juga wajar difahami dalam bentuk pertemuan di alam maya melalui medium Internet supaya kita sentiasa dijauhkan daripada muslihat syaitan.
Muslihat Internet
SOALAN: Masih ramai pengguna Internet yang tidak sedar bahawa syaitan turut memperdayakan manusia dalam penggunaan Internet. Boleh ustaz jelaskan tentang hal ini?
Syaitan sentiasa berusaha untuk memperdayakan manusia dalam apa jua keadaan sekali pun. Maka Allah memerintahkan kita menjadikan syaitan sebagai musuh dan sentiasa berwaspada daripada perangkapnya.
Allah berfirman: “Sesungguhnya syaitan itu musuh bagimu, maka anggaplah ia musuhmu, kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka” . (Surah Fatir: 6)
Dengan kemudahan di hujung jari, para pengguna Internet dilihat gemar mencedok ilmu hanya daripada Internet. Apa yang merisaukan adalah mereka menganggapnya sebagai sumber ilmu yang utama.
Perlu diingat, tidak semua maklumat yang terdapat dalam Internet itu sahih. Malahan terdapat banyak fakta dalam Internet bercanggah dengan ajaran Islam sebenar. Kerana sesiapa sahaja boleh melontarkan ideanya dalam Internet tanpa sebarang sekatan. Dengan itu, manipulasi ilmu dan maklumat amat mudah dilakukan.
Selain itu, sesiapa yang tiada asas agama yang kuat akan mudah salah faham maklumat yang didapati daripada Internet. Akibatnya lain yang dimaksudkan, lain pula yang difahami.
Akibat tipu daya syaitan, ramai orang yang mempunyai kemudahan Internet mula meninggalkan majlis ilmu secara total. Alasan mudah yang diberikan adalah ilmu pada zaman moden ini semuanya di hujung jari. Jadi sekiranya seseorang itu mempunyai sebarang kemusykilan agama, memadai baginya untuk mencari jawapannya di Internet.
Saring Maklumat
Sebagai umat Islam, kita dikehendaki menapis terlebih dahulu setiap maklumat agar tidak menerima maklumat yang salah.
Firman Allah: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepadamu seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini kerana kejahilan kamu sehingga akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu.” (Surah al-Hujurat: 6)
Terlalu banyak maklumat palsu disebarkan dalam Internet secara meluas. Ajaran sesat juga tidak kurang hebatnya menggunakan Internet sebagai saluran untuk menyampaikan dakyah mereka. Sekiranya maklumat daripada Internet terus dijadikan sebagai ilmu dan pegangan, maka mudahlah seseorang untuk memahaminya dalam konteks yang salah dan seterusnya boleh terjerumus dalam kesesatan.
Wallahu a‘lam.
DR. MOHD SUKKI OTHMAN
Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.18
Dr. Mohd Sukki Othman
Sarjana Muda B. Arab dan Syariah, Universiti Yarmouk, Jordan. Sarjana Pengajian Islam, UKM. dan PhD dalam bidang I’jaz al-Quran, UM. Panelis Tanyalah Ustaz, TV9 ini merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM). Lebih daripada 12 buku karyanya telah berada di pasaran. Dekati beliau di www.ustazshauqi.com
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.