Menu

 

A+ A A-

TAMBAH ILMU, JANGAN MELABEL

Perbezaan pendapat dan khilaf dalam kalangan masyarakat semakin menjadi-jadi sehingga timbul isu label-melabel antara satu sama lain. Adakah hal ini menunjukkan iblis dan syaitan telah Berjaya memperdayakan manusia?

Jawapan

Perbezaan pendapat dalam kalangan masyarakat adalah suatu perkara biasa. Apatah lagi dalam menangani isu-isu perbezaan pendapat (khilaf) dalam fiqah. Sepatutnya isu perbezaan yang membawa kepada perpecahan dalam masyarakat tidak timbul, apatah lagi dalam suasana umat Islam yang menghadapi ancaman yang lebih besar daripada musuh-musuh Islam.

Iblis dan syaitan sentiasa mencari kelemahan manusia dan berusaha untuk memporak-perandakan hubungan sesama manusia. Hanya ilmu yang boleh menyelesaikan masalah ini. Ilmu perlu dituntut dan ditambah dari semasa ke semasa supaya pengetahuan menjadi lebih luas. Dan dengan itu, masyarakat tidak mudah taasub dan fanatik pada mana-mana guru atau aliran tertentu sahaja.

Bagi orang yang berilmu, mereka sudah tentu mengetahui bahawa ada hukum-hukam fiqah yang disepakati dan diperselisihkan oleh ulama. Orang berilmu dapat menerima perbezaan pendapat kerana mereka memahami bahawa ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Bagi mereka perkara-perkara khilaf seperti qunut solat Subuh, talkin mayat, pahala bacaan al-Quran kepada si mati, bilangan rakaat solat sunat tarawih dan sebagainya dapat diterima dengan lapang dada. Sabda Nabi: “Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan padanya, maka akan difahamkan baginya perkara agama.” (Riwayat al-Bukhari)

Jelaslah di sini bahawa orang yang kurang ilmunya akan mudah diperangkap oleh syaitan untuk mewujudkan permusuhan sesama umat Islam semata-mata kerana perbezaan.

tambah-ilmu-jangan-melabel-2

 

Oleh itu, untuk menewaskan tipu daya syaitan, seseorang itu hendaklah memastikan dirinya tidak taasub kepada mana-mana mazhab secara membuta tuli. Mazhab bukanlah agama yang memansuhkan syariat Islam, bahkan ia aliran pemahaman syariah.

Setiap Muslim seharusnya menghayati akhlak-akhlak Islamiah dalam semua keadaan. Adab ketika berhadapan dengan masalah perbezaan pendapat perlu dijadikan keutamaan agar tidak menimbulkan kecelaruan dalam masyarakat.

Hukum Melabel

Bagaimanakah pula hukum melabel golongan yang tidak sealiran dengan pelbagai label seperti Wahabi, quburi dan sebagainya?

Jawapan

Allah berfirman: “Janganlah kamu panggil-memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk.” (Surah al-Hujurat: 11) Dalam ayat ini, Allah memperingatkan orang beriman supaya tidak memanggil dan menggelar orang lain dengan sesuatu yang tidak baik dan tidak disukai.

Islam melarang semua perbuatan sebegini kerana ia boleh menjejaskan hubungan persaudaraan sesame Muslim. Tabiat suka melabel dan memburukkan orang lain hanya akan

mencemarkan konsep perhubungan sesama manusia (hablun min al-nas) yang sangat dititikberatkan dalam Islam. Bukan itu sahaja, seseorang yang tidak menjaga hablun min al-nas dengan baik, ia akan menjadi muflis di akhirat nanti.

Punca dan Penyelesaian

Menurut pandangan ustaz, apakah punca yang menyebabkan perbuatan label-melabel ini berlaku dan bagaimanakah penyelesaiannya ?

Jawapan

tambah-ilmu-jangan-melabel-3Antara puncanya adalah terpedaya dengan bisikan syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkan manusia. Ada kalanya, syaitan berjaya meniupkan api permusuhan dalam kalangan umat Islam melalui percikan hasad dengki. Hasad dengki itu kemudiannya merebak dan menyebarkan permusuhan dengan orang lain dalam sekelip mata. Termasuklah antaranya memburukburukkan orang yang tidak sealiran atau sependapat dengannya.

Imam al-Ghazali menyebutkan sebab-sebab yang boleh menimbulkan perasaan hasad dengki, antaranya ialah:

  • Perasaan permusuhan dan kebencian
  • Berasa diri mulia,
  • Takbur,
  • Ujub,
  • Takut terlepas sesuatu tujuan dan habuan,
  • Ghairah menjadi ketua dan mencari populariti,
  • Busuk hati.

Menurut Jamaluddin al-Qasimi, penyakit ini berpunca daripada hati. Maka, ubatnya ialah ilmu dan amal. Seseorang itu hendaklah mengetahui bahawa sikap tersebut akan memudaratkan dirinya sendiri dan ia tidak langsung memberikan mudarat kepada orang yang dimusuhinya itu.

Selain itu, ia juga sebenarnya telah mengundang kemurkaan Allah. Oleh yang demikian, mudarat yang terhasil melibatkan risiko di dunia dan akhirat. Di dunia, seseorang itu akan berada dalam keadaan sengsara kerana tidak senang hati dengan orang lain. Manakala di akhirat, dia akan memperoleh balasan yang pedih sekiranya tidak bertaubat atas keburukan yang dilakukannya.

Ada satu lagi ubat mujarab bagi penyakit ini. Caranya adalah dengan menyemai sifat berlawanan kepada sifat permusuhan. Tidak lain dan tidak bukan, bersangka baik sesame Muslim dan semua manusia. Yang bersahabat bertambah erat, yang bermusuhan menjadi rapat.

Wallahu a’lam.

 

DR. MOHD SUKKI OTHMAN

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.19


 

Dr. Mohd Sukki Othman

Sarjana Muda B. Arab dan Syariah, Universiti Yarmouk, Jordan. Sarjana Pengajian Islam, UKM. dan PhD dalam bidang I’jaz al-Quran, UM. Panelis Tanyalah Ustaz, TV9 ini merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM). Lebih daripada 12 buku karyanya telah berada di pasaran. Dekati beliau di www.ustazshauqi.com

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas