Menu

 

A+ A A-

AMALKAN ISLAM DALAM SETIAP DETIK HIDUP

SETIAP keluarga muslim pasti menginginkan agar dapat mewujudkan sebuah keluarga yang bercirikan ‘sakinah mawaddah warahmah’. Ia merujuk kepada sebuah keluarga yang selalu berada dalam suasana ketenangan dan ketenteraman, saling mencintai dan berkasih sayang. Walaupun tidak terlalu sukar untuk melakukannya, namun ramai antara Kita yang gagal untuk mewujudkannya.

Kita boleh dapati banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis Rasulullah yang menerangkan tentang bagaimana mewujudkan sebuah keluarga sakinah penuh berkat. Mungkin kita saja yang melupakan ajaran yang telah Rasulullah pamerkan semasa hayat Baginda. Malah, kita lebih tertarik dengan teori-teori yang berasal daripada para pemikir Barat, sehingga ramai yang mengambil contoh budaya Barat yang dirasakan lebih moden dan bertamadun untuk diterapkan dalam keluarga. Rumah yang sesepatutnya dijadikan sumber untuk membina keluarga sesuai dengan syariat islam, sebaliknya dijadikan arena untuk membuat maksiat.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tiga golongan yang tidak akan masuk syurga, iaitu orang yang derhaka kepada kedua-dua ibu bapanya, lelaki ‘dayyuth’ dan perempuan yang menyerupai lelaki.” ‘Dayyuth’ (dayus) yang dimaksudkan adalah seseorang lelaki membenarkan berlaku maksiat di hadapannya atau membiarkan rumahnya sebagai sumber berbuat maksiat. Dia inilah yang akan dimasukkan ke dalam neraka. Malang sekali bagi segelintir umat islam yang lalai untuk menegah keluarganya terutama isteri dan anak-anaknya terlibat meminum minuman keras, berzina, menonton filem-filem lucah dan lain-lain.

Rumah yang dijadikan tempat untuk melakukan perbuatan haram akan dipenuhi dosa, dibelenggu hawa nafsu dan syaitan, sehingga jauh daripada rahmat Allah. Para penghuninya pula akan merasa resah, stres, sehingga sukar untuk menyelesaikan masalah dalam hidupnya. Masakan akan wujud ketenangan, kedamaian dan ketenteraman akan terbit dalam kamus hidup mereka.

Sebaliknya keluarga yang dibina berlandaskan syarak dan memenuhi segala hukum-hukum Allah akan dipenuhi suasana saling menyayangi, aman tenteram dan bahagia selalu. Keadaan begini akan memberikan banyak manfaat kepada ahli keluarga malah kepada jiran tetangga juga.

Sebagai salah seorang ahli keluarga, kita mempunyai peluang yang banyak untuk mewujudkan suasana rumah yang islamik. setiap ahli keluarga harus saling membantu untuk menjaga suasana rumah agar tidak terpesong daripada landasan islam.

Pengarang buku kekeluargaan bertajuk, ‘25 Ciri Keluarga sakinah Penuh Berkah’ menukilkan, untuk mewujudkan suasana rumah yang islamik, semua ahli keluarga bukan sahaja perlu berakhlak mulia, malah harus mampu menghindar rumahnya daripada hal-hal yang akan menjauhkan rahmat Allah.

muhasabah

Tiga perkara yang menjauhkan rahmat Allah seperti yang dijelaskan dalam hadis Nabi s.a.w ialah:

Pertama – tidak terdapat anjing di rumahnya. Rumah yang mempunyai anjing, baik di dalam atau di luar, tidak akan dimasuki malaikat rahmat, kecuali anjing yang dipelihara untuk keperluan berburu dan menjaga ladang. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “sesiapa yang memelihara anjing selain anjing pemburu atau penjaga ladang, maka sesungguhnya pahala dari yang bersangkutan setiap hari akan berkurang dua ‘qirath’.” (riwayat al- Bukhari, Muslim, Malik dan an-Nasa’i)

Kedua – di dalamnya tidak terdapat gambar yang bersifat hidup, ukiran berbentuk makhluk yang hidup dan patung. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “sesungguhnya rumah yang di dalamnya terdapat ‘surah’ (gambar), tidak akan dimasuki oleh malaikat.” (riwayat al-Bukhari)

Ketiga – rumah yang tidak terdapat loceng padanya. Loceng yang dimaksudkan adalah seperti yang dimiliki oleh non-Muslim untuk menyeru pengikutnya melakukan ibadah ataupun untuk memenuhi ritual ibadah mereka. Rasulullah bersabda lagi yang bermaksud: “Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang ada loceng padanya.” (riwayat Abu Daud)

Lanjutan daripada itu, kita perlu prihatin menjalankan aktiviti-aktiviti yang menyumbang kepada pembinaan keluarga yang berakhlak islam seperti membaca al-Quran, mengadakan usrah dan perjumpaan, menjemput orang-orang soleh datang ke rumah, mengadakan majlis-majlis ilmu di rumah juga meraikan teman rapat anak-anak untuk mengeratkan silaturahim. Menjemput kawan-kawan kepada anak ataupun adik akan membantu setiap kita memantau setiap perkembangan mereka agar istiqamah dalam kebaikan.

Siapa lagi yang akan mewujudkan suasana ini kalau bukan kita sendiri yang memulakan. sebagai ahli keluarga, wujudkanlah segera agar suasana hidup dalam keluarga kita dilimpahi keberkatan, ketenteraman dan kebahagiaan.

muhasabah3

 

 

Mahfuzah Omar

Sumber artikel daripada Majalah Gen Q Isu 04

 


 

Mahfuzah Omar

B.A (HSc) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Pernah bertugas sebagai editor penerbitan di Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas