MENCIUM JENAZAH
- Ditulis oleh Ustaz Azhar Idrus
- Kategori Terkini
- Read 9992 times
Soalan: Adakah mencium jenazah itu amalan sunnah?
Jawapan: Ya, ia merupakan sunnah Nabi s.a.w. Baginda pernah mencium beberapa orang sahabat yang telah wafat. Antara jenazah sahabat yang pernah Nabi cium ialah Usman bin Maz’un.
Maknanya kalau tok imam atau tok bilal meninggal dunia, lalu kita pergi menziarahinya, maka sunat untuk kita menciumnya. Tapi kalua bukan mahram seperti isteri orang lain, maka tidak boleh dicium.
Selak Rambut
Soalan: Jika seorang Muslim itu mempunyai rambut ala-ala “Korea” yang menutup dahi. Setiap kali sujud, ia akan alihkan rambutnya. Sahkah solatnya?
Jawapan: Dia orang Malaysia tapi rambut Korea. Bercakap bahasa Korea tidak pandai, tetapi ingin memiliki rambut seperti artis Korea. Setiap kali hendak sujud, dia terpaksa menyelak rambutnya. Selesai sujud, ia biarkan kembali. Adakah batal solatnya? Jawapannya: kalau hanya sekali pergerakan, maka ianya tidak membatalkan solat.
Sebaiknya dia pakai songkok supaya tidak banyak bergerak. Perkara tersebut boleh kita usahakan. Kenapa perlu banyak bergerak dalam sembahyang? Itu petanda kurang perhatian kita kepada Allah.
Jika di luar sembahyang kita banyak buat dosa, banyak lalai, banyak bergerak, maka dalam sembahyang berilah tumpuan kepada Allah. Sungguh menghairankan, kenapa kita sangat berminat dengan orang Korea? Perbuatan itu memang tidak haram, tetapi jangan melampaui batas. Jangan sampai orang bertanya-tanya: “Kamu orang Melayu? Aku sangka engkau orang kafir tadi.” Bila telah berlaku seperti itu, maka ia menjadi satu masalah. Kerana telah melakukan “tasyabbuh” iaitu menyerupai orang bukan Islam.
Hukum Sembahyang Jamak ketika Sakit
Soalan: Kedua-dua kaki ibu telah dipotong kerana kencing manis. Sekarang ibu saya terpaksa diangkat untuk berwuduk dan lain-lain. Ini memerlukan orang menjaganya setiap masa. Ada pendapat yang mengatakan, ibu saya diharuskan menjamakkan solatnya. Harap dapat diberikan penjelasan.
Jawapan: Jumhur ulama mengatakan tiada jamak dengan sebab sakit melainkan mazhab Maliki dan beberapa ulama yang mengikut pendapat beliau. Jadi kalau kita hendak jamak solat juga disebabkan sakit seperti ini, maka hendaklah mengikut pendapat tersebut. Kerana ada kaedah menyebut: “Perkara-perkara jika sempit sangat, dilonggarkan hukumnya.”Khilaf ulama adalah rahmat bagi kita. Jamak solat boleh dilakukan sekiranya mengalami sakit berat seperti kena potong kaki, potong tangan, tubuh berdarah disebabkan kemalangan dan seumpamanya. Tidak boleh menjamakkan solat kerana sakit gigi atau siku berdarah sedikit kerana terjatuh. Maksud jamak di sini ialah menghimpun solat Zuhur dan Asar, namun qasar tetap tidak dibolehkan.
Kalau hendak cenderung kepada pendapat jumhur ulama, maka kita boleh sembahyang di hujung waktu. Caranya: ambil wuduk lima belas minit sebelum masuk waktu Asar, lalu lakukan solat Zuhur. Kemudian apabila waktu Asar masuk, lakukanlah solat Asar. Tidak perlu ambil wuduk dua kali.
USTAZ AZHAR IDRUS
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 13
Ustaz Azhar Idrus
Beliau mendapat pendidikan agama secara bertalaqqi dengan beberapa guru agama di sekitar Kuala Terengganu. Sekarang beliau bergerak aktif menyampaikan kuliah agama di seluruh negara. Cara penyampaian beliau yang humor, jelas dan mudah, menjadikan beliau amat diminati masyarakat.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.