Menu

 

A+ A A-

SAYURAN BERBAJA NAJIS

Sayuran Berbaja Najis

SOALAN: Ada sayur-sayuran yang menggunakan baja tahi babi seperti sawi, lobak dan sebagainya. Apakah hukum memakannya? Perlukah disamak terlebih dahulu?

JAWAPAN: Ada dua jenis sayur-sayuran yang menggunakan najis sebagai baja. Pertama, baja itu terus terkena pada sayur. Contohnya, sayur kubis atau sawi terkena air kencing. Secara langsung, najis itu telah terkena daun sayur. Maka wajib membasuh daun sayur tersebut mengikut jenis najis. Sekiranya najis mutawassitah (pertengahan), maka wajib dibasuh dengan air bersih sahaja. Sekiranya najis mughallazah (berat), perlu dibasuh sebanyak tujuh kali dan salah satunya dengan air tanah.

Kedua, baja itu tidak terkena pada sayuran. Kerana baja ditabur di atas tanah, bukannya di atas daun. Kemudian, baja itu diserap oleh akar dan menyuburkan sayuran yang tumbuh. Jika begini, maka sayuran yang tumbuh itu tidak wajib dibasuh. Allah telah menjadikan penapis yang istimewa dalam akar. Yang diserap ke dalam tumbuhan bukan lagi najis, tetapi zat yang berkhasiat.

Sedar Terkena Najis

SOALAN: Jika tahi cicak atau sesuatu yang menghalang air mengenai anggota wuduk terkena pada pakaian, tetapi saya tidak perasan sehingga saya selesai solat. Perlukah saya mengulangi solat saya?

JAWAPAN: Lihat benda yang mengenai pakaian itu. Ada benda yang melekat pada pakaian sewaktu bekerja. Contohnya seperti penoreh getah. Biasanya getah akan melekat di badannya selepas pulang menoreh. Menurut ulama fiqah, kalau orang yang kerjanya begitu, jika hanya sedikit yang tidak dapat dilihat melainkan diperhatikan, maka dimaafkan. Tetapi kalau banyak, tidak dimaafkan.

Orang kerja jual ikan pula, bergelumang dengan ikan. Biasanya sisik ikan akan melekat pada badan. Ketika berwuduk, nampak macam tidak ada sisik ikan yang melekat. Tetapi lepas sembahyang, baru sedar ada sisik ikan yang melekat pada anggota wuduk. Maka ia dimaafkan kerana kecil. Tetapi kalau sisik ikan itu besar, tidak dimaafkan.

sayuran-berbaja-najis-1

Najis Dari Lalat

SOALAN: Saya menggunakan tandas awam, dan saya ternampak seekor lalat hinggap di atas tahi. Selepas itu, lalat itu hinggap di atas seluar saya pula. Adakah seluar saya bernajis?

JAWAPAN: Apabila lalat hinggap di atas najis kering, ia tidak melekat di kaki lalat. Tetapi kalau najis yang basah, maka najis itu melekat di kakinya. Maka lalat itu terbang dengan najis di kaki. Kemudian jika lalat itu hinggap di baju kita, sudah pasti najis itu melekat di baju kita. Jadi ulama kata, ia dimaafkan. Jika najis itu dapat dilihat dengan kanta pembesar sekalipun, ia tetap dimaafkan pada syarak kerana sangat sedikit. Secara hukumnya, najis pada lalat dimaafkan oleh syarak.

Wallahu a‘lam.

Ustaz Azhar Idrus
Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.19


Ustaz Azhar Idrus

Beliau mendapat pendidikan agama secara bertalaqqi dengan beberapa guru agama di sekitar Kuala Terengganu. Sekarang beliau bergerak aktif menyampaikan kuliah agama di seluruh negara. Cara penyampaian beliau yang humor, jelas dan mudah, menjadikan beliau amat diminati masyarakat.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas