Menu

 

A+ A A-

BERIRINGIAN PAHALA KE MASJID

Menunggu Solat

SOALAN: Ayah saya suka pergi awal ke masjid. Saya sangat kagum dengan sifatnya ini. Adakah seseorang itu mendapat pahala apabila duduk di dalam masjid sementara menunggu waktu solat?

Jawapan: Ya, seseorang yang duduk menunggu masuknya waktu solat akan mendapat pahala. Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya: “Seseorang hamba itu sentiasa dalam keadaan solat selagi dia masih berada di tempat solatnya dan menunggu untuk solat. Para malaikat akan berdoa untuknya: ‘Ya Allah, ampunkanlah dia, rahmatilah dia dan terimalah taubatnya’ selagi dia masih dalam keadaan berwuduk dan tidak berhadas.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Ayah saudara telah menunjukkan contoh yang terpuji. Semoga Allah sentiasa merahmatinya. Semoga anakanaknya akan mengikut jejak langkahnya.

Terkejar-kejar

SOALAN: Salahkah orang terkejar-kejar pergi ke masjid apabila terdengar azan lebih-lebih lagi apabila sudah iqamat dengan niat ingin takbir bersama imam?

Jawapan: Tidak boleh bahkan perbuatan ini menyalahi sunnah Nabi kita yang mulia. Sabda Rasulullah maksudnya: “Apabila kamu mendengar iqamat, maka berjalanlah menuju solat dalam keadaan tenang dan janganlah tergesa-gesa. Mana-mana perbuatan imam dalam solatnya yang kamu sempat, maka ikutlah. Mana-mana yang tidak sempat, kamu sempurnakanlah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

HURAIAN: Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj menyatakan bahawa dalam hadis ini terdapat gesaan Rasulullah agar seseorang yang mahu pergi mendirikan solat berjemaah sewajarnya mendatanginya dengan tenang. Baginda melarang sifat tergesa-gesa dan terkejar-kejar untuk pergi mendirikan solat berjemaah sama ada dalam solat Jumaat atau solat-solat fardu yang lain. Begitu juga sama ada takut terlepas takbiratulihram bersama imam atau tidak. Jika terkejar-kejar untuk ke solat berjemaah dalam keadaan sudah iqamat pun dilarang, maka apatah lagi jika sebelum iqamat.

DOA F

Ulang Kaji Adab-adab

Solat berjemaah di masjid adalah antara sunnah Nabi dan syiar Islam yang paling menonjol. Sudah tentu amalan ini ada adab-adabnya. Andai dijaga dan dilaksana, pasti lebih sempurna dan makin lebat pahala. Mari kita ulang kaji adab-adab pergi ke masjid.

1. Berwuduk sebelum pergi ke masjid.

Sabda Rasulullah maksudnya: “Seseorang lelaki yang bersuci dan berwuduk dengan sempurna kemudian ke masjid, nescaya Allah akan mengurniakan untuk setiap langkahnya itu satu kebaikan, terangkat satu darjat dan terhapus satu kesalahannya.” (Riwayat Muslim)

2. Menjauhi daripada bau-bauan yang tidak elok dan tidak disukai oleh para jemaah.

Sabda Rasulullah: “Sesiapa yang makan bawang merah atau bawang putih, janganlah dia mendekati masjid kami! Sesungguhnya para malaikat juga berasa tidak selesa dan tidak suka kepada perkara-perkara yang tidak disukai oleh anak Adam.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

3. Memakai pakaian yang elok, bersih dan cantik.

Firman Allah mafhumnya: “Wahai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah setiap kali kamu memasuki masjid.” (Surah al-A‘raf: 31)

4. Masuk ke dalam masjid dengan kaki kanan.

Ibn Umar memulakan kaki kanannya ketika masuk ke dalam masjid. Apabila dia keluar daripada masjid, dia akan memulakannya dengan kaki kirinya. (Riwayat al-Bukhari)

5. Membaca doa masuk masjid:

DOA 5

6. Solat sunat Tahiyyat al-Masjid sebelum duduk.

Sabda Rasulullah maksudnya: “Apabila salah seorang antara kamu memasuki masjid, janganlah dia duduk sehinggalah dia mendirikan solat sunat dua rakaat dahulu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

7. Memilih tempat untuk bersolat di saf sebelah kanan imam.

Hal ini jika dia mampu berbuat demikian dengan tanpa berebut-rebut, bersesak-sesak dan menyakiti jemaah lain yang datang lebih awal. Sabda Rasulullah maksudnya: “Sesungguhnya Allah memuji dan para malaikat mendoakan kebaikan kepada mereka yang berada di saf sebelah kanan.” (Riwayat Abu Dawud dan Ibn Majah)

8. Keluar dari masjid dengan kaki kiri.

Anas bin Malik: “Adalah dikira daripada sunnah Rasulullah apabila kamu melangkah masuk ke masjid dengan kaki kananmu dan melangkah keluar dengan kaki kirimu. (Riwayat Muslim)

9. Membaca doa keluar masjid:

DOA 9

Ustaz Salehuddin Abu Samah
Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.11


Ustaz Salehuddin bin Abu Samah

B.A (Hons.) Syariah, Islamic University of Madinah. Kini bertugas sebagai Assistant Manager, Syariah Department, Bank Islam Malaysia Berhad. Pernah bertalaqqi (menuntut ilmu secara bersemuka) dalam bidang Fiqah, Hadits dan ilmu-ilmu Islam yang lain dengan ulama-ulama terkenal di Masjid Al-Nabawi, Madinah al-Munawwarah. Antara guru yang dikagumi Prof.Dr. Yusuf al-Qaradhowi, Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili, al-Syeikh Abu Bakar al-Jazairi, al-Syeikh Muhammad Mukhtar al-Syanqiti dan al-Syeikh ‘Atiyyah Muhammad Salim.

Kembali ke atas