Menu

 

A+ A A-

TETAP BERADAB MESKI BERBEZA

Fenomena perbincangan berkaitan pelbagai pendapat dalam sesuatu amalan bukan sesuatu yang baru lagi. Kadangkala timbul perbalahan gara-gara ingin mempertahankan pendapat yang dipegang. Bagaimanakah sebenarnya adab terbaik yang patut seorang Muslim pamerkan ketika berbeza pandangan dengan orang lain?

Jawapan

Memang benar, mana-mana perdebatan yang berlaku hatta dalam hal agama sekalipun, ada kemungkinan akan mengundang perselisihan faham. Sedar tidak sedar, dalam hati sudah ada bara amarah yang menyala. Semoga Allah mengurniakan akhlak yang mulia kepada kita semua. Di sini saya sebutkan beberapa asas dalam menghadapi perbezaan dengan orang lain.

1. Tidak merasakan pendapat sendiri benar sebelum berlaku perdebatan atau perbincangan.

Ini prinsip yang dipegang oleh ulama silam ketika berdebat. Masingmasing mengakui bahawa kemungkinan mereka boleh tersalah dan pihak lawannya yang benar. Dengan itu, hati akan sentiasa lapang dan mudah menerima pandangan lawan.

2. Jaga sangka baik.

Saidina Umar pernah berkata: “Janganlah bersangka buruk terhadap perkataan yang keluar daripada mulut saudaramu padahal kamu masih boleh mencari jalan untuk memahaminya secara baik.”

3. Bersedia untuk tunduk kepada kebenaran lawan.

Imam al-Syafii berkata: “Aku tidak berdebat dengan seseorang melainkan aku berdoa: “Ya Allah, salurkan kebenaran melalui hati dah lidahnya. Jika kebenaan itu ada bersamaku, semoga dia akan mengikutiku, dan jika kebenaran itu ada bersamanya, moga-moga aku dapat mengikutinya.”

4. Menutup aib pihak yang salah dalam memberikan pendapat

Sesungguhnya Nabi menyuruh kita Agar menutup aib seorang muslim yang lain. Sabda Baginda: “Sesiapa yang menutup aib seorang Muslim yang lain, nescaya Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat kelak.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

tetap-beradab-meski-berbeza-2

Keliru

Saya keliru dengan pelbagai pendapat dalam kalangan ulama. Lebih mengelirukan jika dengan jelas pendapat ulama tersebut sememangnya lemah dan tidak boleh dijadikan pegangan. Apa yang patut saya lakukan?

Jawapan

Khilaf adalah suatu perkara normal. Ini kerana manusia berbeza-beza dari sudut kemampua berfikir, kefahaman, kecerdikan dan kecenderungan. Golongan agama juga tidak terkecuali, kerana gaya pemikiran dan kecenderungan masing-masing berbeza.

Sifirnya mudah sahaja. Apabila hati kita tenang dengan sesuatu pendapat berdasarkan disiplin ilmu yang jelas dan tepat, maka berpeganglah dengan pendapat tersebut.

Dalam masa yang sama, jagalah adab kita terutamanya terhadap para ulama. Bersangka baiklah terhadap mereka. Dan janganlah membina sangkaan bahawa mereka sengaja meninggalkan kebenaran yang telah jelas di sisi mereka.

Boleh jadi kita juga berada di pihak yang salah. Oleh itu, hindarkan diri daripada mengharapkan keburukan kepada mereka. Bahkan kita mesti menganggap terdapat pihak mereka apabila menghasilkan pandangan yang sedemikian.

Sabda Rasulullah: “Apabila seorang hakim memutuskan hukum, lalu dia ber ijtihad dan tepat ijtihadnya, maka baginya ganjaran pahala. Manakala apabila dia memutuskan hukum, lalu tersilap ijtihadnya, maka dia beroleh ganjaran pahala.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ibnu Taimiyah menyebut tentang hal ini: “ Ramai mujtahid salaf dan khalaf yang mengeluarkan kata-kata dan  melakukan amalan-amalan yang bidaah kerana tidak tahu bahawa perkara tersebut bidaah. Hal ini mungkin disebabkan oleh pegangan mereka dengan hadis daif yang dianggap sahih di sisi mereka. Ataupun ayat al-Quran yang difahami dengan cara yang tidak tepat seperti yang dikehendaki. Ataupun mereka mempunyai pegangan tersendiri. Ataupun disebabkan tidak sampai nas kepada mereka berkaitan dengan masalah yang timbul. Apabila seseorang itu telah berusaha untuk bertakwa kepada Tuhannya semampu mungkin, maka ia termasuk dalam golongan yang disebut oleh Allah:

“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa-apa yang tak terdaya kami memikulnya. Maafkanlah kami, ampunkanlah kami, berilah rahmat kepada kami.” al-Baqarah: 286)

tetap-beradab-meski-berbeza-3

tetap-beradab-meski-berbeza-4

USTAZ SALEHUDDIN ABU SAMAH

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.19


 

Ustaz Salehuddin bin Abu Samah

B.A (Hons.) Syariah, Islamic University of Madinah. Kini bertugas sebagai Assistant Manager, Syariah Department, Bank Islam Malaysia Berhad. Pernah bertalaqqi (menuntut ilmu secara bersemuka) dalam bidang Fiqah, Hadits dan ilmu-ilmu Islam yang lain dengan ulama-ulama terkenal di Masjid Al-Nabawi, Madinah al-Munawwarah. Antara guru yang dikagumi Prof.Dr. Yusuf al-Qaradhowi, Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili, al-Syeikh Abu Bakar al-Jazairi, al-Syeikh Muhammad Mukhtar al-Syanqiti dan al-Syeikh ‘Atiyyah Muhammad Salim.

Kembali ke atas