ABU ISHAQ AL-SYIRAZI
- Ditulis oleh Umar Muhammad Noor
- Kategori Tokoh
- Read 8662 times
Kehidupan
Beliau ialah Ibrahim bin Ali bin Yusuf al-Fairuz abad namun lebih terkenal dengan panggilan Abu Ishaq al-Syirazi. Beliau dilahirkan di Fairuzabad, sebuah bandar kecil di Parsi (Iran) pada tahun 303 H.
Dari kota kelahirannya, Abu Ishaq berpindah ke Syiraz untuk menimba ilmu. Kemudiannya beliau ke Basrah untuk berguru dengan Imam Abu Tayib al-Tabari, seorang tokoh besar mazhab Syafi‘i di Iraq.
Sejak kecil, Abu Ishaq terkenal sebagai anak yang sangat rajin belajar dan beribadah. Setiap ilmu yang dipelajarinya selalu diulang sebanyak seribu kali agar dapat benar-benar dihafal. Jika dalam satu masalah didapati ada satu bait syair sebagai dalil, beliau akan menghafal keseluruhan rangkapnya.
Dipendekkan cerita, Abu Ishaq kemudiannya terkenal sebagai seorang ulama mazhab Syafi‘i yang sangat fasih dan pandai berdebat serta seorang sasterawan yang pandai menggubah syair.
Apabila Wazir Nizam al-Mulk membina madrasah al-Nizamiah di Baghdad, Abu Ishaq diminta untuk menjadi guru besar dan mudirnya. Sejak saat itu, murid-muridnya tersebar di seluruh negeri. Abu Ishaq berkata: “Aku pernah berkunjung ke Khurasan. Tidaklah aku masuk ke desa atau bandar dalam negeri tersebut, melainkan kadi, mufti atau khatibnya ialah murid-muridku.”
Alim dan Amil
Menurut Abu Ishaq, ilmu yang bermanfaat mesti melahirkan amal soleh. Dan tanda ilmu itu tidak bermanfaat ialah apabila ilmu itu menjadikan seseorang sekadar alim (tahu), tetapi tidak menjadikannya amil (beramal).
Itu sebabnya, Abu Ishaq mengamalkan gaya hidup zuhud. Al-Qadi Abu al-Abbas al-Jurjani berkata: “Abu Ishaq tidak memiliki apa-apa kekayaan duniawi. Dek kefakirannya, kadangkala beliau tiada apa untuk dimakan atau dipakai.”
Beliau juga sangat warak dan menjaga diri daripada perkara yang haram. Jika beliau tidak yakin dengan kehalalan sesuatu benda, beliau segera meninggalkannya.
Ibn al-Samani bercerita: “Suatu hari Abu Ishaq masuk ke dalam masjid untuk makan tengah hari kemudian beliau keluar semula. Lalu dia dapati satu dinarnya tercicir. Beliau pun kembali ke masjid dan menjumpai wang satu dinar. Namun beliau terfikir: “Boleh jadi wang ini milik orang lain yang juga tercicir di masjid.” Lantas beliau tidak jadi mengambilnya.
Karangan
Tokoh besar mazhab Syafi‘i ini sangat rajin menulis buku. Setiap karangannya selalu menjadi rujukan umat Islam hingga ke hari ini. Antara buku-buku itu:
1. Muhazzab fi Fiqh al-Syafi‘i. Kitab rujukan penting dalam mazhab Syafi’‘i ini ditulis oleh Abu Ishaq dalam tempoh 14 tahun bermula pada tahun 455 H dan diselesaikan pada tahun 469 H. Setiap kali selesai satu fasal daripada kitab al-Muhazzab, beliau solat dua rakaat. Kitab ini telah disyarahkan oleh ramai ulama antaranya Imam al-Nawawi dalam kitabnya yang bertajuk al-Majmuk.
2. Al-Luma‘ fi Usul al-Fiqh.Kitab ini merakamkan kaedah-kaedah usul fiqah yang menjadi pegangan ulama mazhab Syafi‘i. Buku ini juga banyak disyarahkan oleh para ulama antaranya Syeikh Yasin al-Fadani, seorang ulama Nusantara yang menetap di tanah Arab.
3. Tabaqat al-Fuqaha.Kitab ini pula ibarat himpunan biografi para ulama mazhab Syafi‘i sejak awal hingga pada masa beliau.
Wafat
Abu Ishaq wafat di Baghdad pada 21 Jamadilakhir tahun 476 H. Jenazahnya dimandikan oleh Imam Ibn ‘Aqil al-Hanbali dan Khalifah al-Muqtadi turut menghadiri solat jenazahnya.
Wallahu a‘lam
USTAZ UMAR MUHAMMAD NOOR
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09
Umar Muhammad Noor
Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.