Menu

 

A+ A A-

SOAL JAWAB FIQAH

BANGKAI SEMUT DAN NYAMUK

Saya ingin bertanya tentang bangkai semut, bangkai nyamuk, sayap kelekatu dan bulu kucing. Adakah semua ini dikira bangkai dan tidak boleh dibawa bersolat? Maksud saya, adakah solat tidak sah jika benda-benda ini terdapat pada tapak kaki atau pada pakaian semasa solat?

Jawapan: Binatang seperti semut, nyamuk dan kelekatu adalah bintang serangga yang darahnya tidak mengalir. Ia hanya dimaafkan pada makanan tetapi tidak pada pakaian. Kalau ia didapati terlalu banyak di tapak kaki atau pakaian semasa solat, maka solat tidak sah. Hukum najis ada empat iaitu:

1. Tidak dimaafkan seperti kencing dan tahi.

2. Dimaafkan di mana-mana sahaja iaitu najis yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar seperti lalat yang kakinya bernajis hinggap pada pakaian.

3. Dimaafkan pada pakaian tetapi tidak pada makanan seperti darah yang sedikit pada pakaian.

4. Dimaafkan pada makanan tetapi tidak pada pakaian seperti binatang yang tidak mengalir darahnya.

PINJAM TAK SEMPAT PULANGKAN

Saya meminjam buku dari seorang guru tetapi sebelum sempat memulangkan kembali beliau telah berpindah ke negeri lain dan saya tidak tahu alamatnya. Apakah hukumnya saya tidak memulangkan buku tersebut? Apakah cadangan untuk saya selesaikan masalah ini?

Jawapan: Adalah dianjurkan untuk berusaha keras mencari si pemilik buku itu sedaya upaya dengan apa cara sekalipun. Sekiranya buku itu (atau apa jua barangan yang kita pinjam) tidak dapat dikesan pemiliknya, maka barang tersebut bolehlah dimiliki sendiri, diberi kepada orang lain ataupun dijual dengan syarat seandainya pemilik datang membuat tuntutan maka kita kena serahkan kembali hak dia, sama ada berupa buku ataupun dinilai dengan wang jika kita sudah menjualnya.

TIDAK MENUTUP AURAT SEMASA BERWUDUK

Apakah hukum mengambil wuduk dalam keadaan tidak menutup aurat (tidak berpakaian sepenuhnya), contohnya dalam bilik air selepas mandi?

Jawapan: Hukum wuduk itu sah, tetapi perbuatan mengambil wuduk sedemikian adalah makruh. Sebaik-baiknya berpakaian sopan dan menutup aurat ketika berwuduk.

WANG MENANG EKOR

Seorang bukan Islam telah memenangi nombor ekor. Dia berhajat untuk membahagikan duit tersebut kepada rakan-rakannya, termasuk rakan Muslim. Adakah halal untuk kita menerima wang tersebut? Dia juga berhasrat untuk menderma kepada rumah anak-anak yatim Islam. Bagaimana Ustaz?

Jawapan: Duit itu haram dan tidak boleh diambil. Kalau nak ambil juga, maka boleh digunakan untuk faedah awam seperti membaiki jalan, tandas dan longkang.

MENGUBATI ORANG BUKAN ISLAM

Apakah hukumnya orang Islam mengubati orang bukan Islam dengan cara perubatan Islam, yakni menggunakan ayat-ayat al-Quran?

Jawapan: Hukumnya adalah harus, yakni dibolehkan. Tidak salah untuk orang Islam mengubati orang bukan Islam dengan gaya perubatan Islam. Sama kesnya seperti seorang doctor Islam merawat pesakit bukan Islam.

HUKUM LELAKI MEMAKAI GELANG

Apakah hukum lelaki memakai gelang tangan (bukan gelang emas)?

Jawapan: Hukumnya harus selagi tidak menyerupai perempuan apatah lagi kalau digunakan untuk perubatan, maka ia dibolehkan.

Ustaz Fadzli Al-Yamani

Sumber artikel daripada majalah Solusi 6


 

Ustaz Syed Mohd Fadzli bin Syed Ahmad al-Yamani

Dilahirkan di Kuala Ketil, Kedah, mendapat pendidikan awal di Pondok Penanti Bukit Mertajam, dan melanjutkan pengajian di Karachi, Pakistan sebelum ke Cittagong, Bangladesh. Selepas itu menyambung pengajian di Madrasah al-Hudaidah, Yaman selama 3 tahun. Kembali ke tanah air pada akhir 1993 dan menjadi tenaga pengajar selama setahun di Madrasah Tahfiz Seksyen 3, Shah Alam, sebelum menubuhkan sendiri Madrasah al-Yamani sebagai pengasas, sekaligus sebagai tenaga pengajar. Di samping itu menjadi penceramah bebas dalam bidang Feqah di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Terkini daripada Ustaz Syed Mohd Fadzli bin Syed Ahmad al-Yamani

Kembali ke atas