Menu

 

A+ A A-

CARA SUJUD TILAWAH

Mengikut istilah ulama fiqah, sujud tilawah ialah sujud yang disebabkan membaca ayat-ayat sajdah dalam al-Quran.

Ulama bersepakat bahawa pensyariatan sujud tilawah adalah berdasarkan beberapa ayat al-Quran dan hadis. Namun mereka berbeza pendapat tentang jenis arahannya, sama ada wajib ataupun sunat.

 

 

Pendapat Ulama Tentang Hukum Sujud Tilawah

Ulama Syafii dan Hanbali: Sunat muakkad, dilakukan selepas membaca ayat sajadah.

Ini berdasarkan firman Allah: “Sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk sujud. Dan mereka berkata: ‘Maha Suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap terlaksana’. Mereka menyungkurkan wajah sambal menangis dan mereka bertambah khusyuk.” (Surah al-Isra’: 107-109)

Rasulullah bersabda: “Apabila anak Adam membaca ayat Sajdah lalu dia sujud, maka syaitan berlalu sambil menangis. Katanya: ‘Celaka aku! Anak Adam disuruh sujud, maka dia sujud, lalu mendapat syurga. Aku disuruh sujud, tetapi aku enggan maka untukku neraka’.” (Riwayat Muslim)

Imam al-Bukhari menceritakan dalam satu hadis bahawa Umar membaca surah al-Nahl pada hari Jumaat di atas mimbar sehingga apabila tiba pada ayat sujud, beliau turun kemudian bersujud. Lalu Jemaah pun bersujud. Apabila tiba Jumaat selepas itu, beliau membaca surah yang sama. Apabila tiba pada ayat sajadah, beliau berkata: “Wahai manusia, sesungguhnya kita sedang melalui ayat sajadah. Sesiapa yang bersujud, maka dia mendapat pahala dan sesiapa yang tidak bersujud, maka tidak ada dosa ke atasnya. Dan Umar tidak sujud.” (Riwayat al-Bukhari)

Pendengar lebih dituntut melakukan sujud tilawah daripada pembaca sama ada mendengar dengan niat ataupun tidak. Tetapi, pendengar dengan niat lebih dituntut melakukannya.

cara-sujud-tilawah-2

Ulama Maliki: Berbeza pendapat, sama ada sunat muakkad atau fadilat sahaja.

Pendapat yang mengatakan sunat dipelopori oleh Ibn Ataillah, Ibn al- Fakihani dan majoriti ulama Maliki. Manakala pendapat yang mengatakan fadilat adalah pendapat al-Baji, Ibn al-Katib dan Ibnu Hajib.

Ulama Hanafi: Wajib.

Mereka berdalilkan hadis Abu Hurairah: “Apabila anak Adam membaca ayat sajadah, kemudian dia sujud, syaitan akan menjauhi dalam keadaan menangis sambil berkata: Celakalah ke atasku. Anak Adam diperintahkan untuk sujud, lalu dia sujud, maka baginya syurga. Dan aku diperintahkan untuk sujud lalu aku ingkar, maka bagiku neraka.”

Cara Sujud Tilawah

Bagaimanakah caranya melakukan sujud tilawah? Adakah ia hanya dilakukan ketika dalam solat?

Jawapan

Ada dua cara melakukan sujud tilawah:

1. Dalam solat.

Sesiapa yang hendak melakukan sujud tilawah ketika solat, sama ada dia imam, makmum atau berseorangan, hendaklah berniat sujud dalam hati. Sekiranya dia berniat dengan lidah, solatnya batal. Niat adalah wajib bagi imam dan berseorangan. Manakala niat bagi makmum adalah sunat.

Ibn al-Rifah dan al-Khatib berkata: “Sujud ini tidak memerlukan niat kerana niat solat sudah meliputinya. Sunat bertakbir untuk turun bersujud tanpa mengangkat tangan kerana tangan tidak diangkat ketika hendak sujud dalam solat. Begitu juga tidak perlu bertakbir ketika mengangkat kepala daripada sujud sebagaimana sujud dalam solat. Apabila mengangkat kepala daripada sujud, dia hendaklah berdiri dan tidak duduk istirahat.

Apabila dia bangun, sunat baginya membaca sesuatu atau menyambung bacaannya sebelum rukuk. Dia dibolehkan bangun dan kemudian rukuk tanpa membaca sesuatu, dengan syarat dia telah membaca surah al- Fatihah sebelum sujud.

Ulama bersepakat wajib berdiri betul kerana rukuk selepas itu wajib. Imam Nawawi berkata: “Sekiranya dia menyangka memperoleh rukuk apabila bangkit daripada sujud tilawah kepada rukuk dengan tidak berdiri, pendapat ini salah.”

2. Di luar solat.

Ada empat rukun sujud tilawah di luar solat: Niat, takbiratulihram, sujud dan salam. Sunat bagi sesiapa yang ingin sujud tilawah untuk melafazkan niat, kemudian mengucapkan takbiratulihram sambil mengangkat tangannya sebagaimana takbiratulihram dalam solat.

Kemudian dia bertakbir untuk sujud tanpa mengangkat tangan dan bersujud sekali. Seterusnya dia mengangkat kepalanya sambil bertakbir. Selepas itu, dia duduk dan memberi salam seperti dalam solat tanpa membaca tasyahud.

Hanabilah berkata: “Sesiapa yang hendak sujud tilawah di luar solat, dia hendaklah bertakbir untuk sujud bukan takbiratulihram. Ini berdasarkan hadis Ibn Umar: “Rasulullah membaca al- Quran bersama kami. Apabila melalui ayat sajadah, Baginda bertakbir dan sujud, lalu kami sujud bersamanya.”’ (Riwayat Abu Dawud)

Hadis ini menunjukkan Nabi hanya bertakbir sekali sahaja dan Baginda bertakbir apabila bangkit daripada sujud kerana ia hanya sekali. Kemudian Baginda duduk selepas bangun daripada sujud. Selepas itu, Baginda memberi salam sekali ke kanan (mengikut pendapat yang sahih). Imam Ahmad berpendapat memberi salam adalah rukun.

Wallahu a‘lam.

cara-sujud-tilawah-3

USTAZ FUAD ISMAIL

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.18


 

Fuad Ismail

Sarjana Muda Syariah di Universiti Al-Bayt, Jordan. Berpengalaman dalam bidang penulisan buku-buku agama dan bahasa Arab untuk sekolah rendah agama (SRA), KAFA, j-QAF dan untuk sekolah menengah. Kini menjawat jawatan sebagai Editor di Telaga Biru Sdn. Bhd.

Kembali ke atas