MENTERNAK DENGAN BERPAHALA
- Ditulis oleh Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani)
- Kategori Hukum
- Read 10598 times
Penternak Kerjaya Mulia
Anak saya graduan sarjana muda pengajian Islam tetapi beria-ia hendak beralih bidang. Dia ingin menjadi penternak sedangkan saya mengharapkannya boleh menjadi ustaz. Apa nasihat ustaz dalam hal ini?
Jawapan: Kebanyakannya para nabi pun menggembala kambing. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Tidaklah Allah mengutus seorang nabi kecuali dia pernah menggembala kambing.” Lalu sahabat bertanya: “Tuan pun begitu?” Baginda menjawab: “Ya, aku juga pernah menggembala kambing orang Makkah dengan upah beberapa qirath.” (Riwayat al-Bukhari) Baginda juga diriwayatkan pernah menggembala kambing ketika kanak-kanak semasa bersama dengan keluarga susuannya di perkampungan bani Sa‘ad. Nabi-nabi lain seperti Nabi Musa, Nabi Daud dan Nabi Isa juga penggembala. Sebahagian mereka dikisahkanAllah dalam al-Quran seperti kisah Nabi Musa dalam firman Allah mafhumnya: “Berkata Musa: ‘Ini tongkatku, aku menongkat dengannya, aku pukul (daun) dengannya untuk kambingku dan bagiku ada lagi keperluan yang lain padanya.” (Surah Taha: 18)
Terdapat banyak hikmah dan pengajaran dalam tugas sebagai penggembala haiwan. Semuanya menjurus ke arah pembentukan keperibadian yang baik. Perhatikan, para penggembala perlu mencari dan menentukan tempat terbaik yang mempunyai makanan bagi binatang ternakan. Mereka juga perlu mengendalikan binatang ternakan ke arah yang betul supaya semuanya kembali ke kandang dengan selamat. Selain itu, penggembala juga perlu memastikan keselamatan ternakannya daripada binatang pemangsa. Keseluruhan proses penggembalaan itu melatih kesabaran, sikap belas kasihan terhadap yang lemah, tenang, kecekapan mengatur waktu dan mengendalikan urusan, keberanian, amanah terhadap tanggungjawab dan berbagai-bagai sifat terpuji lagi.
Ulama menjelaskan bahawa kebanyakan nabi yang Allah utus, pertama sekali mereka akan menggembala kambing. Dengan itu dapat mereka mengetahui, berlatih mengurus dan mengatur dengan baik. Allah menetapkan kambing sebagai haiwan gembala mereka kerana penggembala kambing biasanya akan menjadi tenang, lemah lembut dan berbelas kasihan.
Menyembelih Itu Ihsan
Seorang rakan non Muslim mengatakan bahawa Islam tidak sensitif dengan hak haiwan. Buktinya,Islam menggalakkan penyembelihan. Pada pandangannya menyembelih itu menyeksa haiwan sedangkan banyaklagi cara lain untuk mematikannya. Bagaimana saya hendak menjawab dakwaannya?
Jawapan : Islam agama yang menekankan kasih sayang dan belas kasihan. Maka Muslim itu secara automatiknya ialah seorang yang lemah lembut dan baik kelakuannya hatta terhadap haiwan sekalipun. Dalam Islam, haiwan hanya boleh dibunuh dengan dua sebab:
1. Membahayakan nyawa manusia.
2. Ada keperluan untuk memakannya
Tambahan pula, Islam turut menetapkan cara mengambil nyawa haiwan yang terbaik dan penuh belas kasihan. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan bahawa segala amalan harus dilakukan dengan belas kasihan. Jikalau seseorang itu perlu membunuh seseorang (seperti dalam peperangan atau pelaksana hukuman mati), bunuhlah dengan belas kasihan. “Begitu juga jika dia hendak menyembelih seekor haiwan, sembelihlah ia dengan belas kasihan. Asahlah pisau yang digunakan dan izinkanlah haiwan itu berehat sebanyak mungkin.” (Riwayat Muslim)
Pisau yang tajam akan memastikan pemotongan yang cepat dan bersih di saluran pernafasan dan saluran makanan dan minuman. Ini menyebabkan haiwan itu mati dengan sertamerta justeru mengelakkannya terseksa. Bahkan Rasulullah melarang kita mengasah pisau di hadapan haiwan tersebut untuk menjaga perasaannya. Subhanallah.
Sembelih Unta Berdiri
Saya pernah melihat rakaman video orang menyembelih unta. Terkejut saya melihat untadisembelih dalam keadaan ia sedang berdiri. Betulkah cara itu?
Jawapan: Ya. Menyembelih unta memang berbeza dengan haiwan ternakan berkaki empat yang lain seperti lembu dan kambing. Cara menyembelih unta disebut nahr. Caranya dengan memotong pada labbah iaitu lubang cekung pada pangkal leher dan dada pada bahagian leher paling bawah. Allah berfirman mafhumnya: “Maka dirikanlah solat kerana Allah dan berkorbanlah.”(Surah al- Kawtsar: 2) Berkorban dalam ayat ini menggunakan kalimah nahr. Selain itu, adalah sunnah menyembelih unta dalam keadaan tiga kakinya berdiri manakala satu kaki lagi terikat. Ini berdasarkan firman Allah mafhumnya: “Maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelih dalam keadaan berdiri (dan telah terikat). Kemudian apabila ia telah jatuh (mati), maka makanlah.”
(Surah al-Hajj: 36) Pada suatu hari Ibn Umar melihat seseorang merebahkan untanya untuk disembelih. Lalu dia berkata: “Bangunkanlah unta itu agar ia berdiri serta ikatlah salah satu kaki depannya. Itulah sunnah Rasulullah.” (Muttafaq ‘alaih) Maka makruh menyembelih unta dengan membaringkannya. Cara menyembelih lembu dan kambing pula disebut zabh. Caranya adalah menyembelih pada batas leher dan kepala iaitu bahagian leher paling atas serta membaringkannya. Sesungguhnya Rasulullah menyembelih unta dengan cara nahr dan berkorban dua ekor kibas yang bertanduk. Baginda menyembelih kedua-duanya dengan tangannya sendiri dengan cara zabh. (Muttafaq Alaih)
Wallahu a‘lam.
Dr. Abdul Basit Abd Rahman
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 11
Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani)
Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, dikenali juga sebagai Abu Anas Madani. Beliau adalah pendakwah yang tidak asing lagi di kalangan pencinta ilmu agama. Menjawat jawatan Pensyarah di Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Musyrif (Penyelia) Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan, Panel Penasihat Dakwah, Kerajaan Negeri Kelantan tahun 1428-1429H serta beberapa jawatan lain.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.