Menu

 

A+ A A-

RIBUT MEMBAWA PENGAJARAN

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
 “ATAU (BANDINGANNYA) SEPERTI (ORANG-ORANG YANG DITIMPA) HUJAN LEBAT DARI LANGIT, BERSAMA DENGAN GELAP-GELITA, DAN GURUH SERTA KILAT; MEREKA MENYUMBAT JARINYA KE DALAM TELINGA MASING-MASING DARI MENDENGAR SUARA PETIR, KERANA MEREKA TAKUT MATI. (MASAKAN MEREKA BOLEH TERLEPAS) SEDANG (PENGETAHUAN DAN KEKUASAAN) ALLAH MELIPUTI ORANG-ORANG YANG KAFIR ITU.”

Peringatan yang terbaik ialah yang datangnya daripada Allah melalui al-Quran. Terlalu banyak kisah dan perbandingan yang diberikan sebagai pengajaran kepada umat manusia. Maka amat malangnya jika kita yang diberikan oleh Allah akal fikiran yang mampu mencipta teknologi tetapi tidak mampu berfikir kejadian yang dijadikan Allah sebagai bukti kebesaran ciptaan-Nya yang tiada tandingnya.

Ayat 19 dalam surah al-Baqarah ini merupakan salah satu bukti kebesaran Allah Pencipta Alam dan pengajaran Ilahi kepada hambanya yang beriman. Dalam ayat ini, Allah memberikan perbandingan antara kisah orang munafik dengan perihal fenomena ribut petir juga taufan yang merupakan fakta sains yang tidak dapat dinafikan lagi. Hebat! Ayat ini menggambarkan bagaimana satu fakta sains iaitu fenomena ribut petir dan juga taufan menjadi bukti kehebatan al-Quran sebagai wahyu daripada Allah.

Kata-kata “hujan lebat” itu disertai guruh, kilat, halilintar dan badai yang berlaku di malam yang gelap gelita. Fenomena yang digambarkan dalam ayat ini  merupakan fenomena kejadian ribut petir dan pembentukan siklon atau taufan yang amat dahsyat. Ribut petir merupakan satu sistem ribut yang dikenali dengan kehadiran kilat dan petir yang dihasilkan oleh awan kumulonimbus selain hujan (sering berlaku) atau hujan batu yang lebat (boleh berlaku). Sementara siklon atau taufan yang juga dinamakan siklon tropika merupakan ribut akibat haba yang dilepaskan apabila udara panas naik dan wap udara di dalamnya memeluwap. Dinamakan siklon tropika kerana sering berlaku di kawasan tropika, putarannya melawan arah jam di hemisfera utara dan mengikut arah jam di hemisfera selatan.

ribut membawa pengajaran

Proses pembentukan taufan adalah seperti berikut:

1. Gangguan tropika – Sistem ribut petir ini bertumpu di kawasan bertekanan rendah dengan kelajuan angin kencang kurang daripada 60 km/j. Mata taufan tidak terbentuk pada peringkat ini.

2. Ribut tropika – Sistem ribut petir kuat dengan kitaran permukaan tertentu serta kelajuan angin maksimum antara 60-120 km/j. Bentuk siklon sudah mula terbentuk, tetapi mata taufan biasanya masih belum terbentuk.

3. Taufan – Ribut tropika dengan angin kencang melebihi 120 km/j. Mata taufan mula terbentuk, memudahkan taufan dikesan melalui imej satelit.

Melalui maklumat ringkas di atas, kita dapat membuat kesimpulan bahawa Allah telah memberikan gambaran jelas akan fenomena ribut petir dan kejadian taufan dengan memberikan ciri-ciri asas iaitu:

• Proses Awan
• Hujan
• Guruh
• Kilat
• Petir
• Kegelapan

Ciri-ciri ini adalah bagi mereka yang berfikir untuk mencari hidayah daripada kejadian alam ciptaan Allah. Namun kisah ayat ini tidak berakhir sekadar kejadian alam, malah ia merupakan perbandingan kepada golongan munafik. Apakah perbandingan yang dapat kita pelajari daripada ayat tersebut?

Perbandingan ini dapat digambarkan seperti berikut:

ribut membawa pengajaran1

Pengajaran ayat :
1.    Merasa kebesaran Allah dengan melihat ciptaan-Nya.
2.    Menjadikan al-Quran sebagai panduan.
3.    Menghakis diri daripada sifat munafik dengan mempelajari Islam dan mengamalkannya.
4. Mencari kebahagian hakiki di syurga.¤

Ustaz Amly Asenar
Sumber artikel daripada majalah Gen Q Isu Perdana

 


 

Ustaz Amly Asenar

Sarjana Muda Syariah Universiti al-Azhar. Mempunyai pengalaman dalam bidang perguruan. Terlibat dalam penulisan buku dan majalah. Selepas buku pertamanya Ayuh Bersahur, kini karya keduanya Ayuh Haji sedang berada di pasaran. Kini editor Syariah di Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas